Saturday 28 March 2009

Esok yang pasti tiba

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


esok yang datangnya entah bagaimana
penuh persoalan
membelitkan lidah yang berbicara
mematikan akal yang berfikir
cukup rahsia.

yang pasti esok bakal menjelma
tanpa perlu diseru datang
tanpa perlu diusir kunjung
sama ada esok bersama kita
atau esok tanpa kita.

soalnya hati dan perasaan
serahkan kepada pemiliknya
Yang Maha Mengetahui
buruk baiknya
kaca permatanya
lumpur mutiaranya.

malam ini
labuhkan tirainya dengan tenang
pejamkan mata
dengan penuh rasa ubudiah dan tawakal pada-Nya
kita nanti kemunculan esok yang pasti
sambil menampal lompang semalam
membersih kelambi mensuci diri
esok yang pasti tiba.


23:34
27 Feb 2009
-kaherah-

Saturday 14 March 2009

Saya dan hari-hari berlalu.

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


saya merasakan 'common sense' saya merudum.
'sixth sense' saya semakin lenyap.
kemesraan saya dengan kawan-kawan juga berkurang.

saya diserang kemurungan dan kebosanan.

kalau dulu saya banyak setuju dengan orang lain, tapi sekarang semua hujah saya nak bidas. kalau dulu melihat riak wajah orang saya tahu dia sedang gembira, tapi sekarang orang bersedih pun saya anggap gembira. kalau dulu waktu kami makan sedulang, strawberi saya suapkan ke mulutnya, tapi sekarang semuanya dah jadi kenangan semata.

begitulah hidup. kita berputar sekitar roda yang berpusing. ada masa naik nampak langit. masa lain pula tunduk sembah tanah.

menjalani hidup seharian dengan kemurungan dan kebosanan suatu yang parah. masak sambal dalam kuali, sambal terlebih pedas. panggang ayam atas bara, ayam hitam kehangusan.

murung dan bosan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa rawatan dan terapi yang sepatutnya. kelak manusia akan menanggung beban lebih berat lagi.

manusia yang kebosanan kesannya dalam kehidupan direalistikkan dalam bentuk kerja yang tidak produktif, hilang komitmen dalam bekerja, mendorong kepada sifat marah dan banyak lagi kesan negatif yang lain.

hubungannya dengan manusia lain pun kelihatannya akan mula goyah. timbul sifat suka mengganggu, sikap antipati, penyuburan perilaku hipokrit, dorongan untuk melakukan kezaliman dan akhirnya berhadapan dengan sebuah kekecewaan.

ini semua kita dapat bila bosan itu mula membarah. kalau dalam istilah Pathologi boleh diibaratkan sebagai malignant. bukan organ yang terlibat sahaja rosak bahkan ia rosak dan merosakkan.

ini yang perlu kita basmi dan tangani. kalau kita sudah mula rasa simptom-simptom sebagai tanda yang kita sudah berada di border line untuk sampai ke tahap bosan maka carilah penawarnya.

saya cuba untuk mempraktiskan terapi-terapi kebosonan yang akan saya kongsikan di bawah dan terbukti ia memberangsangkan.

terapi kebosanan.

1) rehat sekejap
2) ubah persekitaran
3) kebersihan dan kerapian
4) cari kesibukan lain
5) memakan buah segar
6) lakukan pemicitan
7) mandi air sejuk
8) meluahkan perasaan
9) cari hiburan sihat


dan seperti biasa saya akhiri tulisan saya kali ini dengan perenggan penutup yang tergantung sama seperti tulisan yang lepas. 

semoga perkongsian yang sedikit ini besar manfaatnya dalam kehidupan anda!

sekian.

Monday 9 March 2009

Berminat dengan manusia

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


hidup kita seharian tidak dapat lari daripada berjumpa dan berurusan dengan manusia. manusia yang atypical semuanya, manusia yang bukan satu ragam tapi manusia yang setiap seorang mewakili diri sendiri. bayangkan dalam sehari kita berjumpa dengan 1000 manusia, maka 1000 jenis ragam manusia kita dah jumpa hari itu.

berurusan dengan makhluk Allah yang dikurniakan dengan kelebihan akal dan perasaan ini bukan satu perkara yang dapat dipelajari dalam kelas atau dengan pembacaan semata-mata. memang tidak dinafikan membaca dapat menambah input untuk kita amalkan tapi input sahaja tidak mencukupi.



jejaka batch Gen6 MedCairo sahaja berjumlah 48 orang semuanya


ia lebih bersifat praktikal dan memerlukan kita berjumpa dengan ramai orang. lagi ramai orang kita jumpa, lagi banyak pengetahuan kita dalam memahami manusia. inilah nilai tambah yang tidak ramai dimiliki oleh para pendakwah muda saya kira.

alhamdulillah, saya dikurniakan rezeki untuk mempelajari secebis ilmu Ilahi dalam pengkhususan bidang perubatan. seperti yang selalu saya tekankan, bidang perubatan ini adalah satu bonus kepada kami para doctor-to-be kerana medan dakwah para doktor terbentang luas ke hadapan.



bila kita dikelilingi oleh ramai manusia, kadang-kadang kita jadi kalut. kenapa?


sebab apa saya berkata demikian? awal tadi saya katakan urusan dakwah ini memerlukan direct person-to-person contact yang berterusan antara daie dengan madhu'nya. hubungan dua hala yang berterusan ini dimudahkan jalannya oleh Allah bagi pendakwah di kalangan para doktor. mereka akan berjumpa dengan manusia y
ang berloghat jawa, manusia berkampung di hulu, manusia memperjuangkan bahasa dan bangsa, manusia yang merempit dan bermacam jenis lagi manusia.

jadi, saya dan sahabat sekalian perlu bersedia untuk turun ke medan dengan bekalan yang cukup. tempoh masa kita sedang mengejar ilmu dengan tamaknya sebagai tanda kita ikhlas menuntut ilmu ini perlu dihiasi dengan pembangunan skil untuk berhadapan dengan manusia kelak.


saya membaca buku 'Petua Membuat Orang Jatuh Cinta' karangan Dr. Hj. Mohd Fadzilah Kamsah dan sahabat-sahabat.


jodoh-fokus-fobia-restu-hati-akhlak-cantik
agama-keturunan-cerewet-cemburu-kelakar
matang-bahasa badan-segak-romantik-macho-doa




itu adalah perkataan yang tersusun cantik di kulit hadapan buku 'Petua Membuat Orang Jatuh Cinta'. bila saya baca buku ini ramai sahabat yang beranggapan saya akan kahwin tidak lama lagi. saya hanya tersenyum.

pada pandangan peribadi, saya membaca buku ini dengan skop yang lebih luas lagi. bukan semata-mata cinta itu untuk pasangan hidup yang bakal kita ketemu satu hari nanti tapi
cinta itu untuk orang yang kita ketemu hari-hari.


sahabat-sahabat di sebelah adalah medan tarbiah yang paling hampir dengan kita


banyak yang saya belajar daripada buku sebegini. selepas membaca, saya mula sedar yang saya perlu bangunkan akhlak seorang doktor dalam diri pada hari pertama saya mula menjejakan kaki di kuliah perubatan lagi. saya perlu kenal Allah dan kenal manusia. itu tugasan pertama saya.

tidak hairanlah satu hari semasa pembentangan kertas kerja dalam 'Seminar PERUBATAN Kali Ke-2, Kelahiran dan Kematian' anjuran Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia Mesir bulan sudah, pembentang Dr Ahmad Shuib B Yahaya menggambarkan jantina di dunia ini ada 3 jenis. lelaki, perempuan dan DOKTOR.

kenapa doktor? sebab doktor perlu jadi lain dari yang lain. lain dari pesakit lelaki, lain dari pesakit perempuan. doktor perlu lebih daripada orang awam. doktor perlu lebih berakhlak, lebih abid kepada Ilahi, lebih banyak istighfarnya kerana dosanya lebih. doktor perlu sedar 'doktor' itu adalah wasilah paling utama untuk orang ramai menuju Ilahi, sampai kepada-Nya. jadi doktor kena dahulu berjalan menuju-Nya, sampai kepada-Nya.

sebagai akhirnya, saya bawakan petikan daripada artikel saifulislam.com yang mungkin dapat menggambarkan sedikit tentang peribadi saya. selamat berkenalan.

"Saya suka menelaah kelakuan manusia, mengkaji kecenderungan yang mencorakkan kehidupan manusia malah meyakini bahawa warna-warna alam sekitar hari ini adalah terjemahan kepada kemanusiaan manusia."

ia tidak lari dengan tema ini:

"Peribadi insan dari pelbagai latar belakang berinteraksi dengan pengaruh alam sekitar untuk membentuk budaya dan kehidupan."

Tuesday 3 March 2009

saya menulis?


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang



saya mula memikirkan bagaimana saya dapat kembali menulis dengan sepenuh rasa supaya mesej saya sampai kepada para pembaca.


satu hari, saya membelek sebuah buku dari rak buku akir yang saiznya 2m x 1.5m. saya baca kata aluan di muka hadapan kedapatan nama ust hairul nizam di hujung muka surat. lantas saya baca apa kata-katanya untuk mengalu-alukan buku tersebut berada di pasaran. buku itu adalah buku yang bercop PMRAM.


saya baca dari mula 'bismillah' sampai akhir 'sekian'. saya tertarik dengan satu perenggan daripada muka surat itu.



isinya lebih kurang begini (ayat mengikut pemahaman saya).

"kita perlu semai budaya menulis di kalangan mahasiswa terutama mahasiswa di Mesir untuk tujuan penyuburan suasana ilmu yang lebih efektif di samping penulisan itu menjadi platform kita untuk berkongsi pendapat, menterjemah pemahaman ataupun sekadar berkongsi pengalaman hidup"



saya amat setuju dengan perkongsian itu. saya perlu menulis. saya perlu catat sesuatu. setidak-tidaknya upaya fikir saya tidak beku dengan diari peribadi sahaja.


sejak dari itu saya mula terfikir untuk berblog. huh. banyak juga cabarannya. tidak mengapalah. malas saya mahu bicara pasal berblog. tapi saya mahu fokus pada penulisan. tidak kira pada mana-mana platform sekali pun.


itu cerita saya berblog. fikir punya fikir, terfikir payahlah mahu update blog selalu.


saya ambil keputusan untuk ber'photo-blogging' seperti saranan seorang kawan. memandangkan cenderung saya seiring dengan kamera dan yang seangkatan saya upload banyak gambar di blog. saya gembira berkongsi rasa dengan kepingan gambar.



sekarang saya menanam cita-cita untuk memiliki sebuah kamera sendiri. tapi saya perlu bersabar. saya perlu pulang ke Malaysia dulu.


berbalik pada cerita asal, saya sedang bertatih kembali untuk menulis selepas suatu ketika saya pernah sampai tahap hampir berlari dalam menulis. apa boleh buat. dulu semasa tingkatan 5, setiap minggu ada sahaja esei yang saya tulis. sekarang? hendak dapat satu muka kertas A4 pun seminggu belum tentu dapat. nasib badan.


jadi, bermula dari sini, saya mula berazam untuk menulis setidak-tidaknya dua tiga esei untuk sebulan. tengoklah topik apa saya cenderung untuk kongsi.


untuk sahabat yang mengharap saya untuk menulis sesuatu dalam blog ini, di sini saya mulakan penulisan sulung saya. terima kasih atas keprihatinan sahabat.


sekian.