Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Kalau sebelumnya bicara sekitar Lambir Hill National Park, kali ini giliran Taman Negara Bako pula.
Kedua-duanya adalah Taman Negara. Tapi apa bezanya? Pasti berbeda. Taman Negara Bako merupakan taman negara yang tertua di Sarawak. Mula diwartakan sebagai sebuah taman negara pada tahun 1957, ianya terletak 37 KM perjalanan darat dari Kuching.
Walaupun ia terkenal sebagai sebuah taman negara terkecil di Asia Tenggara, namun ia mempunyai hampir kesemua jenis tumbuhan yang terdapat di Borneo. Untuk sampai ke taman negara ini, pengunjung perlu menaiki bot dari Kampung Bako dengan perjalanan selama kira-kira 20 minit.
Di sana, pengunjung disediakan lebih bilangan trek jika dibandingkan dengan Taman Negara Bukit Lambir. Antara trek yang disediakan adalah seperti Telok Tajo Beach (4KM), Tanjung Rhu (4.3KM), Tajor Waterfall (3.5KM), Lintang Trail (5.8KM), Telok Pandan Besar Beach (1.9KM) dan trek pilihan kami adalah Telok Pandan Kecil Beach (2.6KM).
Sebuah taman negara yang sangat menarik. Bak kata tuan rumah, Najib Wak, "Taman Negara Bako ini adalah satu pakej lengkap untuk peminat sebuah taman negara seperti kalian". Kenyataan ini didasari dengan perjalanan untuk ke terminal taman negara saja kami perlu menaiki bot. Kemudian sampai di HQ kami dihidangkan dengan mangrove forest yang memacak ratusan benih bakau. Bukan tak pernah jumpa bakau tapi terasa pakej sebuah taman negara yang sangat berbaloi.
Awal penjelajahan, kami mendaki bukit setinggi 500M dari aras laut. Ketahanan fizikal kami teruji apabila terpaksa menempuh laluan berbukit sejauh kira-kira satu kilometer lebih. Namun apapun halangannya kami tetap bersemangat untuk meneruskan penjelajahan.
Sesampai di puncak bukit, trek menjadi rata untuk beberapa ratus meter ke hadapan. Kemudian kami menghampiri 300 meter terakhir trek dan kami dapati satu pemandangan laut yang cukup mengagumkan pada sebuah hamparan batu besar dengan permukaannya yang tidak rata tapi membentuk corak yang sungguh menarik hasil daripada proses luluhawa semulajadi alam. Umpama hamparan batu memandang ke pantai di sebuah pulau gugusan Kepulauan Belitung yang menjadi tapak untuk sang Lasykar Pelangi melihat pelangi.
Lantas kami beramai-ramai mengabadikan potret diri berlatar belakangkan Laut China Selatan. Penjelajahan diteruskan dengan kami menuruni bukit untuk sampai ke matlamat kami iaitu Pantai Teluk Pandan Kecil.
Menuruni bukit juga bukanlah semudah yang disangkakan. Dengan anak tangga merupakan akar pokok yang menjalar, ditambah dengan daun kering yang gugur membasah menyerap embun, langkah kaki kami terkadang terlajak sedikit. Akhirnya kami sampai di pantai.
Niat di hati mulanya tak mahu mandi. Melihat gelagat seorang rakan yang bersama-sama memandikan kamera digital dan telefon tangannya, kami sepakat mahu terjun bersama. Keletihan bersuka-ria dengan air masin pantai, kami menyewa sebuah bot untuk pulang ke HQ.
Dari HQ untuk ke terminal sekali lagi kami menaiki bot. Dalam perjalanan pulang, hujan lebat mula turun. Tatkala itu juga, kami baru memulakan perjalanan pulang menaiki bot. Jauh di sudut hati, risau. Tapi terselit juga rasa syukur dan gembira dapat menikmati hujan lebat di tengah lautan luas dalam sebuah bot seramai 9 orang termasuk pakcik awak-awak seorang. Itulah dia pakej Taman Negara Bako yang tak dapat kami lupakan. Kenangan itu terlalu indah untuk dibicara dengan mulut. Malamnya kami terpaksa berkejar tiket pulang ke semenanjung menaiki AirAsia. Kami berlepas pulang jam 0035 dari Kuching biarpun terlewat 2 jam dari jadual penerbangan sebenar.