Malaysia sebuah negara berbilang bangsa. Kedatangan para imigran terutama dari Tanah Besar China dan India ke Tanah Melayu tidak berapa lama dulu telah memberi makna baru buat Tanah Melayu [baca : Tanah Orang Melayu] setelah perkenan Tuanku memberi status kerakyatan kepada mereka.
Kini, setelah lebih 50 tahun Tanah Melayu mengecapi kemerdekaan pecahan bangsa Melayu, Cina dan India ini telah disatukan dengan slogan 1Malaysia seperti yang diwar-warkan dalam semua majlis kerajaan oleh YAB Najib Razak. Namun, setakat mana penghayatan kepada konsep yang dibawa itu masih tidak menampakkan hasil.
Sedang rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini hendak disatukan pada satu slogan, 1Malaysia; orang-orang Melayu makin berpecah. Kuasa duit UMNO, kedudukan dalam parti PKR dan kesederhanaan PAS memecah corak fikir orang Melayu kepada dua. Satu yang menyokong UMNO-BN dan satu lagi menyokong PAS/PKR-PR.
Itu landskap politik Malaysia. Dada akhbar tak sudah-sudah melariskan cerita telagah politik ini saban hari. Media arus perdana pun tak kering-kering menjaja isu-isu yang memberi kepentingan politik masing-masing.
Hasilnya, yang sibuk berpolitik sangat asyik mencari peluang untuk naik dan yang marhaen tak sudah-sudah tersepit dengan tekanan ekonomi dan tak lupa juga generasi pelapis habis terkena kudis.
Saya ingin berkongsi satu luahan generasi pelapis ini yang ditulis pada tiang jejambat pelintas jalan kaki berhadapan dengan stesen Komuter Sungai Buloh. Ia berkisar cinta. Ya, CINTA.
Katanya :
C - Ciuman pertama
I - Insan yang dikehendaki
N - Nak mencuba
T - Tempat buat maksiat
A - Anak hasilnya
Ini tafsir CINTA anak-anak sekolah generasi pelapis kepimpinan negara. Adakah sama dengan tafsiran CINTA yang sepatutnya difahami oleh kita semua? Fikir-fikirkanlah.