Friday, 9 December 2011

Bidadari Telah Menyentuh Hatiku

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Setelah sekian detik aku meninggalkan lembar ini untuk mengukir tiap segi huruf-huruf yang bersatu membentuk kata, dan tersusun menjadi ayat, kini aku kembali.

Malam adalah masanya yang paling nyaman bagi aku untuk mengukir. Dingin angin malam dan alunan musik yang membuai bergabung menghantar aku ke satu dunya yang asing. Dengan berbekalkan pahat dan tukul, aku mula mengukir.

Hati aku telah disentuh bidadari.

Malam aku di hospital menjadi teman seorang rakan yang kesulitan, aku berbaring di atas katil. Sementara aku cuba untuk melelapkan mata aku batuk bertalu-talu. Kerap. Teman yang diuji dengan kesulitan sedang bergembira dengan teknologi di sisi katil. Duduk khusyuk merenung skrin teknologi.


Satu detik aku terfikir. "Batuk aku ni kuat juga ni. Takut-takut mengganggu orang lain saja". Rasa bersalah mula menyerap masuk dalam fikiran. Aku terus saja usaha untuk lelap supaya tiada lagi batuk kedengaran di dalam wad 12-C, Hospital Kasr El-Ainy.

Selang beberapa detik hati aku berbisik demikian tiba-tiba kedengaran seseorang mengetuk meja tanda meminta izin. Teman aku yang pergi menyelak tirai. Kedapatan seorang wanita separuh usia sedang menghulur secawan yansoun. Katanya, "Untuk rakanmu yang batuk itu". Dia lalu beransur pergi.

Teman yang menyambut itu membalas dengan senyuman dan dia kembali mendapatkan aku dengan secawan yansoun di tangan. Sekali lagi, rasa bersalah kembali ke fikiran. Dihulurnya yansoun itu kepada aku yang segera bangkit dari pembaringan. Aku hirup yansoun untuk melegakan batuk. Ya Allah, sungguh hatiku telah disentuh oleh sang bidadari!

Yansoun yang aku minum berbaki suku. Aku masih beristirehat di atas katil dan teman aku masih tekun duduk di atas kerusi. Bunyi sepasang tapak kasut kedengaran menuju ke katil kami. Seorang jururawat lelaki datang sambil membawa sphygmomanometer. Aku bergegas untuk bangkit turun dari katil sambil menarik lengan teman untuk menggantikan tempat aku.
"Eh, bukan kau kah yang sakit?", jururawat menyapa. Aku kata, "Tidak. Kawan aku yang ini yang sakit. Tengok lengannya ada IV cannula".

Bacaan tekanan darah selesai direkod. Dia bergegas meninggalkan kami. Sesampai di kaki katil seorang pakcik sebelum pintu ke luar, dia disapa wanita separuh usia yang memberikan aku secawan yansoun tadi.

"Laaa, yang aku bagi yansoun tadi tu yang sihat ke?".

Be gentle with your clothes.

Satu pagi aku di kelas tutorial Internal Medicine, Hospital Batnah Kasr El-Ainy. Aku yang baru tiba di dalam kelas meminta izin untuk ke tandas sebentar di hadapan Prof Dr Khediga yang masih belum mula mengajar. Aku rimas dengan peluh yang keluar setelah berjalan kaki selama 20 minit berkejar mahu ke kelas. Dalam kepala, this is eczema from excessive sweating!

Aku kembali ke kelas. Prof Dr Khediga sudah bersedia untuk mengajar. Tanpa sedar, pandangannya fokus pada gerak-geri aku. Tanpa semena-mena juga aku separuh menghempas sweater vest yang siap aku lipat empat ke atas kerusi.

"Kenapa kau begitu kasar dengan pakaianmu?".

Dush! Sekali lagi hati aku disentuh bidadari!

"Be gentle with your clothes". Beliau memberi nasihat. Satu kelas mengalih pandangan berpaling ke arahku.

"...tetapi masih buta hatinya"

Sedang aku menatal paparan skrin komputer satu petang, aku tertarik dengan satu video yang dimuat naik di laman YouTube. Tajuknya 'Sejernih Sinar Matamu'. Ia berkisah tentang perjalanan hidup menjadi seorang doktor yang mengetengahkan Prof Dr Muhaya Mohamad sebagai watak utamanya.


Di dalamnya beliau menyebut, "..doktor adalah insan yang dapat mengkaji ciptaan Allah yang paling tinggi. Kalau doktor yang belajar kajian Allah, tetapi masih buta hatinya, memang dia adalah orang yang paling buta".

Sedetik lagi hati aku disentuh bidadari. Kali ini aku tidak tertahan. Manik-manik jernih mula menitik jatuh dari kelopak mata. Rasa sesalan timbul di dalam jiwa.

Bidadariku.

Malam ini, sambil aku duduk memahat tiap inci dan segi huruf-huruf di sini, digabung menjadi kata, disusun menjadi rasa, aku berdoa ke hadrat Ilahi.

"Bidadari telah menyentuh hatiku, bidadari juga telah menyapa jiwaku, memberikan makna. Ya Allah, segerakan aku menjemput dia bidadariku bersama menuju-Mu".