Friday, 25 December 2009

Apa khabar kamu remaja muda belia?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Jumaat. Sayyidul Ayyam.

Penghulu segala hari.

Hari Raya Umat Muslimin.

Hari tiada solat zohor dan hari dibacakan khutbah sebelum solat Jumaat.

-----------------------------------------------------

Suara mimbar masjid tadi berkisar tentang Hijrah : Peranan Syabab dan Fatayat.

Tiga pemuda/pemudi contoh yang dikemukakan dalam peristiwa hijrah Nabi s.a.w patut menjadi contoh teladan kita remaja muda belia. Ditekankan juga dalam khutbah tadi oleh khatib bahawa peristiwa hijrah Nabi s.a.w itu paksi kejayaan dan strateginya adalah pada kekuatan @ taqah generasi remaja muda belia.

Satu. Abdullah Ibn Abu Bakr As-Siddiq. Anak kepada Khalifah Pertama Abu Bakr As-Siddiq berperanan dalam mengumpul maklumat untuk dikhabarkan kepada Nabi s.a.w dan bapanya Abu Bakr ketika Baginda dan sahabat Khalifatul Ula bersembunyi di Gua Thur.

Abdullah Ibn Abu Bakr berulang-alik dari Mekah ke Gua Thur selama Nabi bersembunyi di Gua Thur. Siangnya beliau bermuamalah dan bergaul dengan masyarakat Quraisy Mekah untuk mengintip info. Malamnya beliau ke Gua Thur mengkhabarkan berita kepada Nabi s.a.w. Waktu ketika itu, Abdullah adalah remaja muda belia.

Dua. Ali Ibn Abi Talib. Sepupu Nabi s.a.w yang menggantikan baginda di pembaringannya. Kafir Quraisy yang mengepung rumah Nabi s.a.w menyangkakan bahawa susuk tubuh yang sedang tidur atas pembaringan Nabi adalah baginda s.a.w. Mereka terpedaya.

Datang seorang kafir bertanya, apa yang kamu semua sedang lakukan keliling rumah Muhammad? Aku terserempak dengannya dan seorang sahabat bahawa mereka telah keluar dari Mekah. Sungguh mereka telah dilalaikan oleh Allah tatkala Nabi s.a.w mencampakkan gumpalan pasir pada mereka. Saat peristiwa ini, Ali Ibn Abi Talib adalah remaja muda belia.

Tiga. Asma Binti Abi Bakr. Anak gadis Abu Bakr r.a yang sedang hamil menyediakan makanan di rumah untuk dijamu kepada Rasulullah dan bapanya Abu bakr di Gua Thur. Saban hari Asma berjalan keluar Mekah menuju Gua Thur meredah debu padang pasir semata-mata untuk menyediakan makanan kepada dua insan mulia dalam peristiwa hijrah dengan keadaan beliau sedang hamil. Kemudian kembali ke Mekah dan begitulah rutin hariannya tatkala Nabi bersembunyi di Gua Thur. Kala ini, Asma Binti Abi Bakr adalah remaja muda belia.

-----------------------------------------------

Ini peranan remaja muda belia dalam peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w.

Hari ini kita lihat, kita semua nampak apa yang berlaku pada remaja muda belia kita. Tak terlepas kita juga remaja muda belia. Apa yang telah KITA remaja muda belia sumbangkan untuk kegemilangan Islam?


Remaja Muda Belia

Di mana kita tatkala berlangsungnya perlawanan bola sepak?

Apa khabar kamu remaja muda belia?

Di mana kita bila SNSD berkunjung ke ibu negara?

Apa khabar kamu remaja muda belia?

Di mana kita saat Mesir membuat jidar sedalam 30 meter di sempadan Gaza?

Apa khabar kamu remaja muda belia?

Di mana kita andai duit di tangan jumlahnya beratus-ratus dollar?

Apa khabar kamu remaja muda belia?

Sunday, 13 December 2009

Kita dan Non-Kita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kali ni adalah entri menegur diri sendiri dan kawan-kawan di sekeliling!

Sebuah buku karangan Dr Yusuf bertajuk 'Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Yang Lain' mungkin menjadi penerang dan pencerah terbaik untuk pembacaan seterusnya daripada tajuk ini.

Dalam buku 'Doktor : Fiqh & Adab' tulisan Dr Zuhair Ahmad As-Sibaie dan Dr Muhammad Ali Al-Bar menggariskan salah satu akhlak yang perlu ada pada seorang doktor muslim adalah dengan kita coexist dengan orang lain.

Coexist/commensualism/symbiosis adalah satu seni. Ia adalah tempat bercampur-aduknya perasaan saling sayang-menyayangi, toleransi dan ganjaran dan tertib teratasnya itulah Taqwa.

Sebagai seorang doktor, kita tidak boleh melihat pasien kita sebagai non-kita kerana mereka berhak keatas kita. Kita perlu jalinkan hubungan hati dan akal sesama manusia dengan hikmah dan bijaksana.

Jangan sesekali melihat seseorang sebagai non-kita kerana timbangan Allah adalah pada taqwa, bukan kita atau non-kita.

Justeru, pandanglah orang lain i.e. non-kita dengan pandangan kasih mesra kerana mahabbah itu tempat keluarnya adalah dari hati yang memancarkan cahayanya kepada orang lain lalu terpantul kembali kepada tuannya dengan memancarkan kesucian dan keredhaan hati si pemilik.

Dengan kasih sayang manusia menjadi pemaaf, mampu memberi, berbuat baik dan berbuat kebajikan.

Sebelum mengakhiri pembacaan, mari kita sama-sama renungi set di bawah ini.



Semua B adalah A. C terdiri daripada sebahagian A dan B. A terdiri daripada SEMUA B dan sebahagian C.

Jika Kita = B. Adakah Non-Kita = C?

Sunday, 6 December 2009

Kaunseling Kelompok

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Baru-baru ini aku temui satu buku bertajuk 'Pengenalan Kaunseling Kelompok' kepunyaan Abang Kadir barangkali. Buku ini terlalu ilmiah untuk dibaca tetapi serba sedikit aku ketemu pada perenggan-perenggan yang aku carikan.

Perkataan 'kaunseling' seringkali dipandang serong atau disalah anggap oleh kebanyakan orang. Bagi mereka kaunseling ini hanya untuk mereka yang bermasalah sahaja. Memang tidak dinafikan kaunseling itu merupakan satu terapi. Tapi dalam pada itu juga kaunseling boleh bertindak sebagai satu pencegah dan pengembang kepada potensi dalam diri.



Bukan kaunseling itu untuk manusia bermasalah sahaja tapi ia untuk kita manusia normal yang menjalani kehidupan secara normal dan dalam masyarakat yang normal. Bahkan peranan kaunseling itu lebih berkesan dan berkembang biak subur pada peranan seorang manusia yang normal!

Bukan kaunseling yang aku carikan tapi kelompok itu yang memberi pengertian besar bagi aku.

Kaunseling Kelompok. Apa itu kaunseling kelompok. Secara kasarnya Kaunseling Kelompok ini dipandang sebagai proses penyesuaian diri dengan menggunakan pengalaman-pengalaman kelompok sebagai penggalak perkembangan diri ahli-ahli.

Aku temukan objektif Kaunseling Kelompok ini seakan-akan ataupun sama dengan sebahagian objektif Usrah ataupun Smart Circle SC. Biar aku kongsikan apa objektif Kaunseling Kelompok ini.

1. Menolong setiap ahli mengenal dan memahami diri masing-masing.
2. Ahli dapat menerima diri sendiri dan menganggap dirinya sebagai berguna/berperanan
3. Membina kemahiran berhubung di antara ahli agar membolehkan mereka menggunakannya di dunia luar.
4. Membina kepekaan terhadap orang lain. Hasilnya ahli bertangggungjawab terhadap kelakuan diri.
5. Menolong ahli mengenal perasaan orang lain. Ini menjalinkan rasa simpati mereka.
6. Meningkatkan kemahiran mengatasi masalah, membuat keputusan dan mencapai matlamat hidup dan ini kemudian menolong mereka dalam perhubungan di luar dan di dalam pekerjaan seharian.
7. Menolong ahli membina kemahiran mendengar dengan empati. Ini membolehkan ahli memahami perasaan yang tersembunyi di sebalik kata-kata yang dikeluarkan.
8. Membolehkan ahli menyatakan perasaannyadengan jujur dan tepat.
9. Menolong ahli menentukan matlamat tertentu yang boleh ditukar dan dilihat melalui kelakuan mereka.
10. Menolong ahli membina rasa dipunyai dan diterima oleh orang lain. Ini menimbulkan rasa selamat apabila menjalankan tugas dan cabaran harian.
11. Menolong ahli membina semangat dan kewibawaan menghadapi risiko dan menunjukkan kepada mereka bahawa risiko juga mempunyai ganjaran yang tinggi. Perkembangan diri tercapai melalui berkongsi pengalaman.

Ini sebelas objektif Kaunseling Kelompok. Mari kita cuba hayati bersama adakah ia kepunyaan orang bermasalah sahaja atau juga sesuai untuk orang yang sentiasa berhadapan dengan masalah harian?

Fikir-fikirkan. Sekian.

Pantun Nasihat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kali ini dikongsikan rangkap pantun yang berjaya menarik perhatian ramai sewaktu GTS '09 yang lalu. Tema pantun adalah P.E.R.S.A.H.A.B.A.T.A.N.

Pantun soalan.

Makan kari ikan tenggiri,
Sampai perut penuh terisi,
Nak tanya pada sodiqi,
Apa itu kawan kondisi.

Pantun jawapan.

Berazam berjuang sampai mati,
Untuk mendapat redha ilahi,
Bila ke taman dia ikuti,
Bila ke medan dia lari.

Kalau kawan berpaksi duniawi,
Tak tahulah sampai ke mana,
Kalau berkawan kerana Ilahi,
Insyallah berjumpa kita di syurga.

Menyebarkan kesedaran Islam bukan hanya dengan nada suruhan dan amaran. Insan sekarang kurang cakna dengan fungsi bahasa iru sendiri. Kalau dihayati bahasa Melayu sendiri punya uslub dan gaya bahasa tertentu. Dalam bahasa tuturan yang lembut terselimut amaran yang cukup keras.

Sekian.

Saturday, 5 December 2009

Homework Tutorial

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Ini sebagai pembuka langkah. Aku baru mahu menapak dalam kreativiti baru. Adobe Photoshop CS3 aku baru berkenalan 3 hari lepas dan kelihatan kami sungguh intim!

Tak sangka kami sangat masuk antara satu sama lain. Harap-harap hubungan kami berkekalan sampai bila-bila. Dan semoga beliau juga dapat membawa aku masuk ke syurga Allah kelak.



Terima kasih juga kepada saudara yang memperkenalkan aku dengannya ini, juga saudara yang sudi mengajar tentangnya.

Doakan semoga aku sukses dalam lapangan baru ini. Sekian.

Monday, 30 November 2009

Muka surat 52 dalam I-MAN 2?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Ada apa dengan I-MAN 2 pada mukasurat 52?



Ya, I-MAN 2 sudah berada di pasaran. Tapi apa yang serba tak kena pada mukasurat 52 itu? Carilah jawapannya di dalam I-MAN 2!

Sunday, 29 November 2009

Membudaya Penulisan, Memperkasa Ilmu, Menyemarak Pembacaan’

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah I-MAN 2 telah berada di pasaran. Segera dapatkan naskhah I-MAN 2 untuk koleksi peribadi mahupun buah tangan buat teman dan saudara mara tersayang. Jangan lepaskan peluang membaca kandungan I-MAN 2 ini kerna isinya lebih segar, sedegar buah yang baru dipetik. Cepat kunjungi Biro Ekonomi anda terdekat untuk dapatkannya. Pastikan ia masih ranum tatkala anda membeleknya!



Seminar PERUBATAN kali ke-3 juga bakal menemui anda sekitar Februari ini. Sebelum kita berseminar untuk kali ketiganya, ayuh bersama kita hadamkan kertas kerja untuk Seminar PERUBATAN kali ke-2 : Kelahiran & Kematian. Dengan pembukuan semula kertas kerja tersebut memudahkan anda untuk membaca dan membuat rujukan di masa akan datang!

Musim Dah Dingin

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Semalam selesai Majlis Takbir & Jamuan Hari Raya Aidilfitri PERUBATAN di dewan besar DMAK. Alhamdulillah segalanya baik-baik belaka walaupun pada awalnya kehadiran tetamu kurang memberangsangkan. Memang inilah Melayu!

Secara keseluruhannya majlis berjalan lancar dan yang paling penting semua orang bergembira sambil bertakbir dan bertahmid.

Makanan pun sangat sedap biarpun dimakan di ARMA. Tahniah buat team kulinari PERUBATAN kerna berkorban jiwa, masa, tenaga dan rasa. Biar mereka tidak menyembelih kambing mahupun unta tetapi mereka telah berkorban.




Berkenaan majlis, semua berjalan dengan baik biarpun terdapat sedikit perubahan pada tentatif. Semoga mereka yang menonton mendapat faedah dan kebaikan selepas meninggalkan majlis sehingga bertemu lagi pada majlis akan datang. Biarpun tanpa kehadiran team dari Alexa namun ia tetap meriah dengan persembahan Daie Nada. Maaf kepada penanti setia team Alexa.

---------------------------------------------

Udara semakin dingin. Hati juga begitu. Makin hari melepasi Zulhijjah, badan disapa bayu dingin, hati pun ikut membeku.

Malah bayu dingin ini menerjah ingatan pada sebuah Syria yang dirindui. Aku rindu bau pohon limau tatkala mendaki pada ketinggian 2300 kaki dari paras laut menuju Krak des Chevaliers. Aku mahu lagi melalui denai pasar belakang Jamie' Umawi Al-Kabir. Ah, ingatan ini sungguh menyesakkan.





Sudahlah pagi 25 nov dulu, masa berjalan untuk end round forensic exam aku terhidu bau Makkah. Hati waktu itu sangat sayu. Rindu untuk menjadi tetamu Ar-Rahman lagi. Rasa mahu bercuti di sana lagi. Betullah itu tempat terbaik bercuti, cuti kerana Allah.



--------------------------------------------

Musim dingin kali ini banyak signifikannya. Aku pun tidak ngerti. Apa erti semua ingatan ini menerjah. Adakah ia memungkinkan aku untuk kembali lagi ke sana seperti sebelumnya? Ah, aku sahaja yang bermimpi. Tapi, Makkah dan Syria tetap aku rindu buat selamanya.

Allahuakbar..Allahuakbar...Allahuakbar....Walillahilhamd.

Friday, 27 November 2009

Pagi Hari Nahar 1430H

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..Laailahaillalla...
Allahuakbar..Allahuakbar...Walillahilhamd..!

Pagi Hari Nahar 1430H aku masih di sini. Bersama mengecap nikmat pengorbanan para kekasih Allah, para nabi dan sekalian rasul, para salafussoleh menyampaikan risalah atas bumi Allah ini.

Hari ini Hari Nahar. Hari paling afdhal dalam sekian hari yang kita lalui. Hari ini Hari Raya Aildiladha. Hari kita bergembira. Bergembiralah kamu wahai sekalian manusia, sambutlah kedatangan hari ini dengan penuh kesyurukan, berkorban dengan menyembelih al-an'am. Gembirakan juga manusia sekelilingmu dengan memberi mereka makan dan minum yang lazat-lazat.




'Dan berzikirlah kepada Allah pada hari-hari yang telah ditetapkan jumlahnya..', (Al-Baqarah : 203). Dan jangan lupa, dalam kita bergembira, perbanyakkan zikir dan takbit serta tahmid kepada Allah. Semoga bertambah ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.





Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Nahar. Kullu Sanah Wentoum Toyyibun. Setiap Tahun Kamu Baik-Baik Belaka~

Thursday, 26 November 2009

Khutbah Arafah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hari ini 9 Zulhijjah 1430H. Genap setahun lalu, saat ini aku berada di Sahah Arafat. Perjalanan pagi dari Mina menuju Arafah dengan berjalan kaki merentasi Lembah Uranah untuk ke Masjid Namirah datang menerjah ingatan. Pagi itu, selepas mabit sunat di Mina pada malam 9 Zulhijjah, kami bergerak bersama jutaan lagi manusia untuk ke destinasi satu. Arafah. Sabda Nabi s.a.w : Haji itu Arafah.

Tiada haji tanpa Arafah. Tidak boleh tidak bagi seorang jemaah haji untuk berkumpul di Arafah pada siang 9 Zulhijjah. Jika tidak tiada haji baginya.

Arafah, sahah tempat jutaan manusi berkumpul. Memohon keampunan Ilahi, moga diberi kekuatan sejati menegak iman dalam diri, mujahadah melawan nafsi. Tempat sekalian umat bertemu, dari timurnya dunia hingga ke baratnya. Memijak buni yang satu pada hari yang satu. Niat mereka juga satu, mensuci diri kembali pada Allah. Moga memperoleh haji yang mabrur.

Tengahari di Arafah ada khutbah sebelum solat zohor. Sejak awal sampai di Arafah sekitar jam 10 pagi kami terus menuju perkarangan dewan solat utama Masjid Namirah, masjid yang hanya diguna sekali dalam setahun. Hanya pada 9 Zulhijjah. Sewaktu tiba, masjid sudah lebih separuh terisi dengan jemaah. Dalam masjid sendiri ada sempadan Tanah Haram dan Tanah Halal. Kami perlu ke Tanah Halal untuk mendengar khutbah. Kemudian selepas gelincir matahari baru kami menuju Tanah Haram.




Berikut isi kandungan khutbah yang disampaikan oleh khatib di Masjid Namirah. Isi yang sama dengan Khutbah Arafah yang disampaikan oleh Nabi s.a.w pada 9 Zulhijjah Tahun 10H di tempat yang sama.

"Wahai kaum manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sebagaimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikanlah harta yang diamanahakan kepada kamu kepada pemilik yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu. Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan. Dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba'. Oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Sesungguhnya syaitan telah berputus asa menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar. Maka berhati-hatilah agar kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara yang kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah kamu terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu keatas mereka adalah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan mereka dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari semalam, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara terhadap muslim yang lain. Kamu semua adalah sama. Tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan ke atas apa yang telah kamu kerjakan. Oelh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain. Semoga yang terakir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah bahawasanya aku telah menyampaikan!"

Sunday, 15 November 2009

Hadiah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hadiah.

Ya, hadiah. Perkataan yang mampu menguntum bunga di hati penerima hadiah tersebut. Amalan memberi hadiah satu amalan yang mulia. Masakan tidak. Nabi s.a.w pernah bersabda yang maksudnya seumpama begini : Berilah olehmu hadiah, nescaya kamu akan saling menyintai dan akan hilang segala persengketaan.





Moga-moga dengan hadiah yang kita beri itu mampu mengeratkan hubungan yang sedia terjalin antara kita dengan insan sekeliling kita. Maka, mari kita sama-sama renungi sedikit perkongsian adab atau akhlak Islami tentang hadiah dan memberi hadiah oleh Al-Imam Al-Ghazali.

Kata Al-Imam Al-Ghazali : Adab-adab orang yang memberi hadiah ialah melihat kelebihan yang ada pada orang yang diberi hadiah, melahirkan rasa gembira dengan penerimanya terhadap hadiah tersebut, mensyukuri Allah kerana memberi taufiq untuk melakukan kebaikan (memberi hadiah), menyembunyikan perkara tersebut daripada orang yang hampir dengannya dan kaum kerabat dan menunjukkan muka yang manis ketika melihat penerima hadiah.

Kata Al-Imam Al-Ghazali lagi : Adab-adab orang yang menerima hadiah pula ialah melahirkan rasa gembira sekalipun sedikit, memohon doa kepada tuan hadiah sekiranya dia tiada, menunjukkan muka yang manis ketika dia berada di sampingnya, berusaha untuk membalasnya sekadar termampu, memujinya sekiranya termampu, tidak tunduk padanya, menjaga daripada hilangnya agama bersamanya dan tidak tamak untuk mendapatkannya buat kali kedua.

Sekian dahulu untuk perkongsian pada kali ini. Moga manfaatnya dapat kita sama-sama rasai. Bersama kita menyemai budi pekerti yang mulia dalam jiwa hamba kita. Wallahu'alam.

Thursday, 12 November 2009

Rumah Aku Rumah Pejuang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Rumah aku rumah pejuang,
siang dan malam sibuk merancang,
menyusun strategi meruntuh penghalang,
menggenggam bara sampai jadi arang!


Rumah aku rumah pejuang,
pagi dan petang asyik menghilang,
semangat berjuang bukan kepalang,
solat malam itulah tiang.


Rumah aku rumah pejuang,
jiwa perkasa menahan berang,
siap siaga mematah serang,
contoh ummah terbilang.

Kaherah,
12/11/2009.

Thursday, 5 November 2009

The Road Not Taken

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


the road was taken


The Road Not Taken

Two raods diverge in a yellow wood,
And sorry I could not travel both,
And be one traveler, long I stand,
And looked down one as far as I could,
To where it bent in the undergrowth;

Then took the other, as just as fair,
And having perhaps the better claim,
Because it was grassy and wanted wear;
Though as for that, the passing there,
Had worn them really about the same,

And both that morning equally lay,
I leaves no step had trodden black.
Oh, I kept the first for another day!
Yet knowing how way leads on to way,
I doubted if I should ever come back.

I shall telling this with a sigh,
Somewhere ages and ages hence:
Two roads diverged in a wood, and I~
I took the one less traveled by,
And that has made all the difference.

-Robert Frost, 1915-

Monday, 2 November 2009

Akhlak Seorang Muslim

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


sekadar gambar hiasan


Dalam hidup kita seharian, kita akan bertemu dengan rencam ragam adab dan akhlak manusia yang macam-macam. Ada yang semanis gula, ada pula yang sepahit hempedu, ada yang masin garam, ada juga yang sepedas cili.

Dalam mendepani rasa yang pelbagai ini, bukan mudah untuk memilih rasa yang baik-baik saja. Jadi peranan kita adalah untuk menyediakan kuali supaya rasa-rasa tadi sebati sebagai satu masakan dalam kuali menjadi makanan yang mempunyai rasa yang sangat harmoni. Rasa harmoni dalam makanan adalah lebih sedap lagi dari rasa sedap yang dirasa oleh lidah.

-------------------------------------------

Soalan : Seseorang bertanya, adakah diharuskan untuk menyambut Hari Kelahiran?

Jawapan : Tidak mengapa. Sebagai satu contoh, say
a dilahirkan pada hari sekian bulan sekian dan sahabat saya dilahirkan pada hari sekian bulan sekian. Dan saya mengkhaskan hari sekian untuk menyambut pengulangan hari dan bulan saya dilahirkan setiap tahun dengan perkara kebaikan. Jadi dimanakah salahnya untuk saya menyambut ulang tahun hari kelahiran saya atau sahabat saya selagi ia tidak melanggar syarak?!

Tetapi tidaklah sambutan itu dengan menjemput sebilangan besar kawan-kawan untuk menyertai majlis tersebut dengan mengharap balasan atau hadiah dari para tetamu. Cukuplah sambutan itu dengan mengumpulkan sebahagian sahabat-sahabat untuk sama
-sama menyertai majlis, menyambut hari ulang tahun kelahiran kita sambil terhidang sedikit makanan; susu dan shaiy sebagai minuman dan kita khabarkan kepada sahabat kita bahawa hari ini bulan ini 21 tahun dulu ibuku telah melahirkanku.

Tiada kata yang terucap selain pujian dan syukur kepada Allah dan ucapan terima kasih ibu kerna melahirkan aku dulu dan juga ayah yang mengorbankan dirinya membesarkanku.

'Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, dosa kedua ibu dan
bapaku, kasihanilah mereka sebagai mana mereka mengasihaniku kecil dulu..'

Amiinn Ya Rabb..

-----------------------------------

Selamat Hari Ulangtahun Ke-21 untuk WMKamal & Surz.




(3/11/1988)


Bersyukur dan bersyukurlah kamu kepada Allah atas pinjaman kehidupan ini. Berterima kasihlah kamu kepada ibumu yang telah melahirkanmu 21 tahun yang dulu. Kenangi jua jasa ayahmu yang membesarkanmu hingga sekarang kau menjadi kamu sekarang.


Thursday, 29 October 2009

Taman Negara Bako


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyaya
ng



Kalau sebelumnya bicara sekitar Lambir Hill National Park, kali ini giliran Taman Negara Bako pula.


ishaque ...



dan karya seninya..


Kedua-duanya adalah Taman Negara. Tapi apa bezanya? Pasti berbeda. Taman Negara Bako merupakan taman negara yang tertua di Sarawak. Mula diwartakan sebagai sebuah taman negara pada tahun 1957, ianya terletak 37 KM perjalanan darat dari Kuching.




Walaupun ia terkenal sebagai sebuah taman negara terkecil di Asia Tenggara, namun ia mempunyai hampir kesemua jenis tumbuhan yang terdapat di Borneo. Untuk sampai ke taman negara ini, pengunjung perlu menaiki bot dari Kampung Bako dengan perjalanan selama kira-kira 20 minit.


jalan mana harus ku tuju


Di sana, pengunjung disediakan lebih bilangan trek jika dibandingkan dengan Taman Negara Bukit Lambir. Antara trek yang disediakan adalah seperti Telok Tajo Beach (4KM), Tanjung Rhu (4.3KM), Tajor Waterfall (3.5KM), Lintang Trail (5.8KM), Telok Pandan Besar Beach (1.9KM) dan trek pilihan kami adalah Telok Pandan Kecil Beach (2.6KM).



Sebuah taman negara yang sangat menarik. Bak kata tuan rumah, Najib Wak, "Taman Negara Bako ini adalah satu pakej lengkap untuk peminat sebuah taman negara seperti kalian". Kenyataan ini didasari dengan perjalanan untuk ke terminal taman negara saja kami perlu menaiki bot. Kemudian sampai di HQ kami dihidangkan dengan mangrove forest yang memacak ratusan benih bakau. Bukan tak pernah jumpa bakau tapi terasa pakej sebuah taman negara yang sangat berbaloi.


mungkin simbol dua jari pada kedua tangannya bermaksud 'berbaloi'



Sebelum meneruskan penjelajahan, kami berhenti di sebuah papan tanda yang terletak di trek utama untuk memilih trek yang bakal dijelajahi. Akibat kesuntukan masa, kami terpaksa memilih trek Telok Pandan Kecil Beach sejauh 2.6 KM yang mana penghujungnya nanti kami akan bertemu dengan sebuah telok yang menghamparkan pantai menghijau.


Pantai Telok Pandan Kecil


Awal penjelajahan, kami mendaki bukit setinggi 500M dari aras laut. Ketahanan fizikal kami teruji apabila terpaksa menempuh laluan berbukit sejauh kira-kira satu kilometer lebih. Namun apapun halangannya kami tetap bersemangat untuk meneruskan penjelajahan.


proses luluhawa selama berjuta tahun lamanya




'ingat, jalan mesti ke hadapan, bukan ke belakang!'



berehat sebentar bersama Nikon


Sesampai di puncak bukit, trek menjadi rata untuk beberapa ratus meter ke hadapan. Kemudian kami menghampiri 300 meter terakhir trek dan kami dapati satu pemandangan laut yang cukup mengagumkan pada sebuah hamparan batu besar dengan permukaannya yang tidak rata tapi membentuk corak yang sungguh menarik hasil daripada proses luluhawa semulajadi alam. Umpama hamparan batu memandang ke pantai di sebuah pulau gugusan Kepulauan Belitung yang menjadi tapak untuk sang Lasykar Pelangi melihat pelangi.


lasykar agama


Lantas kami beramai-ramai mengabadikan potret diri berlatar belakangkan Laut China Selatan. Penjelajahan diteruskan dengan kami menuruni bukit untuk sampai ke matlamat kami iaitu Pantai Teluk Pandan Kecil.

Menuruni bukit juga bukanlah semudah yang disangkakan. Dengan anak tangga merupakan akar pokok yang menjalar, ditambah dengan daun kering yang gugur membasah menyerap embun, langkah kaki kami terkadang terlajak sedikit. Akhirnya kami sampai di pantai.

Niat di hati mulanya tak mahu mandi. Melihat gelagat seorang rakan yang bersama-sama memandikan kamera digital dan telefon tangannya, kami sepakat mahu terjun bersama. Keletihan bersuka-ria dengan air masin pantai, kami menyewa sebuah bot untuk pulang ke HQ.


saat sebelum kamera dan telefon tangan dimandikan


Dari HQ untuk ke terminal sekali lagi kami menaiki bot. Dalam perjalanan pulang, hujan lebat mula turun. Tatkala itu juga, kami baru memulakan perjalanan pulang menaiki bot. Jauh di sudut hati, risau. Tapi terselit juga rasa syukur dan gembira dapat menikmati hujan lebat di tengah lautan luas dalam sebuah bot seramai 9 orang termasuk pakcik awak-awak seorang. Itulah dia pakej Taman Negara Bako yang tak dapat kami lupakan. Kenangan itu terlalu indah untuk dibicara dengan mulut. Malamnya kami terpaksa berkejar tiket pulang ke semenanjung menaiki AirAsia. Kami berlepas pulang jam 0035 dari Kuching biarpun terlewat 2 jam dari jadual penerbangan sebenar.








adakah aku ditinggal seorang diri di sini?

Sunday, 25 October 2009

Lambir Hill National Park


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyaya
ng


Lambir Hill National Park


Lambir Hill National Park. Sebuah Taman Negara yang terletak berhampiran dengan Bandaraya Miri, Sarawak. Bertepatan dengan namanya, bentuk muka bumi Taman Negara ini adalah bukit-bukau.


trex~



senyum tetap terukir walau keringat membasahi tubuh mendaki-menuruni bukit


Pihak pengurusan Taman Negara telah menyediakan sebilangan trek untuk laluan para pengunjungnya. Trek-trek yang disediakan begitu mesra pengguna. Dari sependek-pendek trek sepanjang 1.3 KM sehingga sepanjang-panjang trek sejauh 5.2 KM. Dalam banyak pilihan trek-trek tersebut, terdapat tiga atau lebih trek yang menuju ke air terjun. Antara air terjun yang sempat kami singgah adalah Latak Waterfall dan Nibong Waterfall.


bersiap untuk berkelah~



nibong waterfall



Taman Nagara ini merupakan sebuah tempat percutian yang menarik untuk dikunjungi kerana bukan sahaja menambah pengalaman kita meredah hutan bahkan merasai sendiri kenikmatan menaiki dan menuruni bukit di tengah belantara sambil mata dihidangkan dengan pelbagai jenis flora dan fauna yang amat jarang untuk kita temui.


be ware of underwater current



"kita kat sini kot.."



Meski air yang terjun hanya beberapa titis namun hati puas dapat mandi keringat



spesis flora yang ditemui



Latak Waterfall



riang-ria air terjun



semua gumbira



kami pulang dulu~

Tammat. Nanti-nanti kami kongsi lain-lain Taman Negara pula.

Tuesday, 22 September 2009

Aidlfitri 1430H

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

"Keluputanku sing akeh-akeh lahir dan batin,
Salah silap jalok ngapuro wak…."

"Yo wes podo-podo. Salah silapku jalok ngapuro…."

pagi 1 syawal


Inilah dialog atau ungkapan salam Aidilfitri kalangan orang-orang Jawa, tak kira Jawa Tg. Karang ke, Jawa Parit Sulong ke ataupun Jawa Sg. Lang. Semua menggunakan ungkapan yang satu ini.

Dialog ini akan kita dengar apabila tetamu mahu beredar mengundur diri pulang berziarah sambil bersalaman tanda kemaafan. Kelibat yang muda akan mencari yang tua kerna sudah satu tradisi barangkali atau memang itu adab pun yang muda bertandang ke rumah yang tua.


Pada ketika inilah kami anak-anak Jawa generasi baru terpinga-pinga mendengar ungkapan yang disebut antara ibu bapa dengan nenek saudara mereka ataupun sesama mereka adik-beradik sambil tangan terhulur tanda kemaafan.



bujang abah


Mula-mula dengar memang gelak sakan tapi bila sudah lebih 20 tahun beraya, ibu bapa akan mengungkap dialog yang sama, pada masa sama kami telah terlekat dengan dialog ini, jadi timbul satu keinginan untuk mengetahui maksud ungkapan nan siji ini.


_______________________________________________

Aidilfitri kali ini di Malaysia. Seperti biasa ianya disambut di Lorong Masjid 1, Kg Seri Tiram Jaya. Di sinilah 1 Syawal akan disambut saban tahun. Tak seperti orang lain yang terpaksa bersilih-ganti tempat rayanya. Tahun ini di kampung ayah, tahun depan pulak ke kampung ibu. Begitulah putarannya. Cuma giliran itu akan terganggu jika ada emergency case seperti tok wan kurang sihat dan sebagainya.


Bercakap pasal 1 Syawal ini, abah berulang kali cakap yang Hari Raya itu satu hari. Ya, satu hari sahaja. Cuma orang Melayu sahaja yang sesuka hati kata, "raya ke-5 nanti I buat open house. Datang la ye.." atau yang lebih dahsyat lagi "tak sempat la nak buat open house awal-awal, banyak sangat jemputan. Rumah I open raya ke-45 ye..".



erti 1 syawal bagi amira (depan) dan famili



Bulan Syawal sudah diganti dengan bulan raya. Patut Syawal ke-3 tapi jadi raya ke-45. Ditambah lagi raya telah ditempah oleh stesen television tempatan yang berlumba-lumba menyiarkan filem-filem hangit di pasaran. Habis anak beranak berlonggok depan tv berjam-jam. Dari pagi sampai ke lewat malam. Hilang habis berkat malam raya. Takbir yang bergema tenggelam dengan dendangan lagu raya di tv dan radio. Penghayatan konsep sambutan Aidilfitri telah dilarikan jauh-jauh oleh agen-agen hiburan.


______________________________________________


Hati sedikit terubat bila rumah ditandangi sanak-saudara dari merata Malaysia. Ada yang datang sejauh lorong sebelah. Ada juga yang datang dari Klang. Tak lupa juga saudara-saudara yang bertandang dari sejauh Sepang dan Johor. Tetamu-tetamu ini datang bersama rahmat.



syawal bersama qamarul (kena tembak) dan famili


Walaupun penat menyediakan juadah untuk tetamu yang kunjung tiba pulang berganti, biarpun letih melayan mereka yang datang dari jauh tapi kehadiran anak buah yang ramai menceriakan suasana. Ada rengek tangis bayi, ada juga tawa rinag si anak kecil. Sungguh meriah.

Mungin inilah bezanya beraya di Malaysia dengan beraya di Mesir.


_____________________________________________


Jadi, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan Batin.

Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi.
Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa.
Dalam kelembutan lidah, ada juga keterlanjuran kata.
Dalam gurau dan senda tentu ada khilaf dan dosa.