Showing posts with label Suara Mimbar. Show all posts
Showing posts with label Suara Mimbar. Show all posts

Thursday, 25 February 2010

Hari Kekasih

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Cuaca di luar amat luar biasa. Malam ini malam Jumaat. Malam penuh berkat.

Tatkala catatan ini ditulis, hujan lebat baru saja reda melanda kotaraya Kaherah. Dengan guruh berdentuman, kilat sabung-menyabung suasana itu sangat aneh bagi penduduk di sini.

Kalau diingatkan kembali, inilah hujan yang paling lama dan lebat pernah membasahi bumi barakat, bumi para anbia' semenjak 4 tahun bermusafir di sini. Tambahan ia turun pada malam Jumaat malam 12 Rabi'ul Awwal 1431H.

Jika dijengah keluar jendela rumah lorong-lorong kecil kawasan rumah kami yang selalunya kering berdebu setebal 2 cm kini basah dan lecak. Kanak-kanak Arab kelihatan gembira dan ceria menyambut titisan hujan yang berderai. Begitu juga muda-mudinya yang langsung tidak endah dengan amaran dan bahaya hujan yang turun. Habis saja hujan, bunyi mercun dibakar kedengaran di sana-sini. Tak tahulah itu sambutan menyambut hujan atau itu sambutan Maulid Nabi s.a.w.

Berbeza dengan suasana di Malaysia, kalau hujan lebat turun mak-mak kita menegah untuk ke luar rumah. Macam-macam boleh berlaku. Tapi ini Kaherah. Mak-mak mereka bukan mak-mak kita.

Maulid Nabi s.a.w

Mengikut isi khutbah Jumaat yang lepas dijelaskan kepada masyarakat awam bahawa menyambut kedatangan Maulid Nabi s.a.w itu bukan suatu yang salah. Para jemaah dibacakan oleh khatib tentang hadis yang Nabi s.a.w berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Bila ditanya mengapa maka jawab Nabi s.a.w kerana pada hari ini aku dilahirkan, maka aku berpuasa.

tempat Nabi s.a.w dilahirkan

Maka saya memberi komen, mengapakah setiap perayaan Maulid Nabi s.a.w di Malaysia disambut dengan perarakan? Di mana letaknya signifikan berarak beramai-ramai dengan sambutan Maulid Nabi s.a.w sedangkan Baginda sendiri merayakan Hari Keputeraan Baginda dengan berpuasa?

Ulangtahun Perkahwinan Mak-Abah

Beberapa hari lepas sewaktu menelefon rumah mak abah ada kata yang
Ulangtahun Perkahwinan mereka akan disambut pada 26 Feb ini. Mak kata lagi tarikhnya sama dengan Maulid Nabi s.a.w dan kali ini adalah sambutan Jubli Peraknya.

Alhamdulillah, sudah 25 tahun Mak-Abah bergelar suami-isteri. Dan apa yang lebih menarik sambutan ulangtahun itu sama tarikhnya dengan Maulid Nabi s.a.w. Senang kami anak-anak nak ingat.

Maknanya setiap tarikh 12 Rabi'ul Awwal ada dua perayaan yang sangat signifikan dalam hidup kami. Satu yang pastinya adalah hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dan satu lagi Hari Ulangtahun Perkahwinan Mak-Abah!



Buat mak dan abah, kami anak-anak sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan kalian berdua. Tanpa mak dan abah kami tidak akan lahir ke dunia ini. Kami amat bertuah dilahirkan dari rahim seorang ibu yang penyayang benih dari abah yang penuh kasih sayang.

Tiada apa yang setanding kasih sayangmu jika dibanding dunia dengan seluruh isinya. Hanya Allah saja yang Maha Empunya untuk membalas segala curahan usap belai mak abah ketika kami kecil dulu serta ajar didik kalian sampai kami dewasa hari ini.

Doa kami sentiasa tertitip di akhir solat kami. Ya Allah, Kau ampunilah dosa kedua ibubapa kami, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kecil, didik dan tunjukkan mereka jalan-Mu yang lurus sebagaimana kesungguhan mereka mendidik dan mengajar kami mengenal-Mu, mengajar apa itu perit dan juang. Amin.

Esok, pagi Jumaat yang akan terbit bakal menanti kami dengan kedinginan dan berkatnya yang telah tercurah malam ini.

Sekian.

Friday, 25 December 2009

Apa khabar kamu remaja muda belia?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Jumaat. Sayyidul Ayyam.

Penghulu segala hari.

Hari Raya Umat Muslimin.

Hari tiada solat zohor dan hari dibacakan khutbah sebelum solat Jumaat.

-----------------------------------------------------

Suara mimbar masjid tadi berkisar tentang Hijrah : Peranan Syabab dan Fatayat.

Tiga pemuda/pemudi contoh yang dikemukakan dalam peristiwa hijrah Nabi s.a.w patut menjadi contoh teladan kita remaja muda belia. Ditekankan juga dalam khutbah tadi oleh khatib bahawa peristiwa hijrah Nabi s.a.w itu paksi kejayaan dan strateginya adalah pada kekuatan @ taqah generasi remaja muda belia.

Satu. Abdullah Ibn Abu Bakr As-Siddiq. Anak kepada Khalifah Pertama Abu Bakr As-Siddiq berperanan dalam mengumpul maklumat untuk dikhabarkan kepada Nabi s.a.w dan bapanya Abu Bakr ketika Baginda dan sahabat Khalifatul Ula bersembunyi di Gua Thur.

Abdullah Ibn Abu Bakr berulang-alik dari Mekah ke Gua Thur selama Nabi bersembunyi di Gua Thur. Siangnya beliau bermuamalah dan bergaul dengan masyarakat Quraisy Mekah untuk mengintip info. Malamnya beliau ke Gua Thur mengkhabarkan berita kepada Nabi s.a.w. Waktu ketika itu, Abdullah adalah remaja muda belia.

Dua. Ali Ibn Abi Talib. Sepupu Nabi s.a.w yang menggantikan baginda di pembaringannya. Kafir Quraisy yang mengepung rumah Nabi s.a.w menyangkakan bahawa susuk tubuh yang sedang tidur atas pembaringan Nabi adalah baginda s.a.w. Mereka terpedaya.

Datang seorang kafir bertanya, apa yang kamu semua sedang lakukan keliling rumah Muhammad? Aku terserempak dengannya dan seorang sahabat bahawa mereka telah keluar dari Mekah. Sungguh mereka telah dilalaikan oleh Allah tatkala Nabi s.a.w mencampakkan gumpalan pasir pada mereka. Saat peristiwa ini, Ali Ibn Abi Talib adalah remaja muda belia.

Tiga. Asma Binti Abi Bakr. Anak gadis Abu Bakr r.a yang sedang hamil menyediakan makanan di rumah untuk dijamu kepada Rasulullah dan bapanya Abu bakr di Gua Thur. Saban hari Asma berjalan keluar Mekah menuju Gua Thur meredah debu padang pasir semata-mata untuk menyediakan makanan kepada dua insan mulia dalam peristiwa hijrah dengan keadaan beliau sedang hamil. Kemudian kembali ke Mekah dan begitulah rutin hariannya tatkala Nabi bersembunyi di Gua Thur. Kala ini, Asma Binti Abi Bakr adalah remaja muda belia.

-----------------------------------------------

Ini peranan remaja muda belia dalam peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w.

Hari ini kita lihat, kita semua nampak apa yang berlaku pada remaja muda belia kita. Tak terlepas kita juga remaja muda belia. Apa yang telah KITA remaja muda belia sumbangkan untuk kegemilangan Islam?


Remaja Muda Belia

Di mana kita tatkala berlangsungnya perlawanan bola sepak?

Apa khabar kamu remaja muda belia?

Di mana kita bila SNSD berkunjung ke ibu negara?

Apa khabar kamu remaja muda belia?

Di mana kita saat Mesir membuat jidar sedalam 30 meter di sempadan Gaza?

Apa khabar kamu remaja muda belia?

Di mana kita andai duit di tangan jumlahnya beratus-ratus dollar?

Apa khabar kamu remaja muda belia?