Thursday, 25 February 2010

Hari Kekasih

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Cuaca di luar amat luar biasa. Malam ini malam Jumaat. Malam penuh berkat.

Tatkala catatan ini ditulis, hujan lebat baru saja reda melanda kotaraya Kaherah. Dengan guruh berdentuman, kilat sabung-menyabung suasana itu sangat aneh bagi penduduk di sini.

Kalau diingatkan kembali, inilah hujan yang paling lama dan lebat pernah membasahi bumi barakat, bumi para anbia' semenjak 4 tahun bermusafir di sini. Tambahan ia turun pada malam Jumaat malam 12 Rabi'ul Awwal 1431H.

Jika dijengah keluar jendela rumah lorong-lorong kecil kawasan rumah kami yang selalunya kering berdebu setebal 2 cm kini basah dan lecak. Kanak-kanak Arab kelihatan gembira dan ceria menyambut titisan hujan yang berderai. Begitu juga muda-mudinya yang langsung tidak endah dengan amaran dan bahaya hujan yang turun. Habis saja hujan, bunyi mercun dibakar kedengaran di sana-sini. Tak tahulah itu sambutan menyambut hujan atau itu sambutan Maulid Nabi s.a.w.

Berbeza dengan suasana di Malaysia, kalau hujan lebat turun mak-mak kita menegah untuk ke luar rumah. Macam-macam boleh berlaku. Tapi ini Kaherah. Mak-mak mereka bukan mak-mak kita.

Maulid Nabi s.a.w

Mengikut isi khutbah Jumaat yang lepas dijelaskan kepada masyarakat awam bahawa menyambut kedatangan Maulid Nabi s.a.w itu bukan suatu yang salah. Para jemaah dibacakan oleh khatib tentang hadis yang Nabi s.a.w berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Bila ditanya mengapa maka jawab Nabi s.a.w kerana pada hari ini aku dilahirkan, maka aku berpuasa.

tempat Nabi s.a.w dilahirkan

Maka saya memberi komen, mengapakah setiap perayaan Maulid Nabi s.a.w di Malaysia disambut dengan perarakan? Di mana letaknya signifikan berarak beramai-ramai dengan sambutan Maulid Nabi s.a.w sedangkan Baginda sendiri merayakan Hari Keputeraan Baginda dengan berpuasa?

Ulangtahun Perkahwinan Mak-Abah

Beberapa hari lepas sewaktu menelefon rumah mak abah ada kata yang
Ulangtahun Perkahwinan mereka akan disambut pada 26 Feb ini. Mak kata lagi tarikhnya sama dengan Maulid Nabi s.a.w dan kali ini adalah sambutan Jubli Peraknya.

Alhamdulillah, sudah 25 tahun Mak-Abah bergelar suami-isteri. Dan apa yang lebih menarik sambutan ulangtahun itu sama tarikhnya dengan Maulid Nabi s.a.w. Senang kami anak-anak nak ingat.

Maknanya setiap tarikh 12 Rabi'ul Awwal ada dua perayaan yang sangat signifikan dalam hidup kami. Satu yang pastinya adalah hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dan satu lagi Hari Ulangtahun Perkahwinan Mak-Abah!



Buat mak dan abah, kami anak-anak sentiasa mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan kalian berdua. Tanpa mak dan abah kami tidak akan lahir ke dunia ini. Kami amat bertuah dilahirkan dari rahim seorang ibu yang penyayang benih dari abah yang penuh kasih sayang.

Tiada apa yang setanding kasih sayangmu jika dibanding dunia dengan seluruh isinya. Hanya Allah saja yang Maha Empunya untuk membalas segala curahan usap belai mak abah ketika kami kecil dulu serta ajar didik kalian sampai kami dewasa hari ini.

Doa kami sentiasa tertitip di akhir solat kami. Ya Allah, Kau ampunilah dosa kedua ibubapa kami, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kecil, didik dan tunjukkan mereka jalan-Mu yang lurus sebagaimana kesungguhan mereka mendidik dan mengajar kami mengenal-Mu, mengajar apa itu perit dan juang. Amin.

Esok, pagi Jumaat yang akan terbit bakal menanti kami dengan kedinginan dan berkatnya yang telah tercurah malam ini.

Sekian.

No comments: