Tuesday 22 September 2009

Aidlfitri 1430H

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

"Keluputanku sing akeh-akeh lahir dan batin,
Salah silap jalok ngapuro wak…."

"Yo wes podo-podo. Salah silapku jalok ngapuro…."

pagi 1 syawal


Inilah dialog atau ungkapan salam Aidilfitri kalangan orang-orang Jawa, tak kira Jawa Tg. Karang ke, Jawa Parit Sulong ke ataupun Jawa Sg. Lang. Semua menggunakan ungkapan yang satu ini.

Dialog ini akan kita dengar apabila tetamu mahu beredar mengundur diri pulang berziarah sambil bersalaman tanda kemaafan. Kelibat yang muda akan mencari yang tua kerna sudah satu tradisi barangkali atau memang itu adab pun yang muda bertandang ke rumah yang tua.


Pada ketika inilah kami anak-anak Jawa generasi baru terpinga-pinga mendengar ungkapan yang disebut antara ibu bapa dengan nenek saudara mereka ataupun sesama mereka adik-beradik sambil tangan terhulur tanda kemaafan.



bujang abah


Mula-mula dengar memang gelak sakan tapi bila sudah lebih 20 tahun beraya, ibu bapa akan mengungkap dialog yang sama, pada masa sama kami telah terlekat dengan dialog ini, jadi timbul satu keinginan untuk mengetahui maksud ungkapan nan siji ini.


_______________________________________________

Aidilfitri kali ini di Malaysia. Seperti biasa ianya disambut di Lorong Masjid 1, Kg Seri Tiram Jaya. Di sinilah 1 Syawal akan disambut saban tahun. Tak seperti orang lain yang terpaksa bersilih-ganti tempat rayanya. Tahun ini di kampung ayah, tahun depan pulak ke kampung ibu. Begitulah putarannya. Cuma giliran itu akan terganggu jika ada emergency case seperti tok wan kurang sihat dan sebagainya.


Bercakap pasal 1 Syawal ini, abah berulang kali cakap yang Hari Raya itu satu hari. Ya, satu hari sahaja. Cuma orang Melayu sahaja yang sesuka hati kata, "raya ke-5 nanti I buat open house. Datang la ye.." atau yang lebih dahsyat lagi "tak sempat la nak buat open house awal-awal, banyak sangat jemputan. Rumah I open raya ke-45 ye..".



erti 1 syawal bagi amira (depan) dan famili



Bulan Syawal sudah diganti dengan bulan raya. Patut Syawal ke-3 tapi jadi raya ke-45. Ditambah lagi raya telah ditempah oleh stesen television tempatan yang berlumba-lumba menyiarkan filem-filem hangit di pasaran. Habis anak beranak berlonggok depan tv berjam-jam. Dari pagi sampai ke lewat malam. Hilang habis berkat malam raya. Takbir yang bergema tenggelam dengan dendangan lagu raya di tv dan radio. Penghayatan konsep sambutan Aidilfitri telah dilarikan jauh-jauh oleh agen-agen hiburan.


______________________________________________


Hati sedikit terubat bila rumah ditandangi sanak-saudara dari merata Malaysia. Ada yang datang sejauh lorong sebelah. Ada juga yang datang dari Klang. Tak lupa juga saudara-saudara yang bertandang dari sejauh Sepang dan Johor. Tetamu-tetamu ini datang bersama rahmat.



syawal bersama qamarul (kena tembak) dan famili


Walaupun penat menyediakan juadah untuk tetamu yang kunjung tiba pulang berganti, biarpun letih melayan mereka yang datang dari jauh tapi kehadiran anak buah yang ramai menceriakan suasana. Ada rengek tangis bayi, ada juga tawa rinag si anak kecil. Sungguh meriah.

Mungin inilah bezanya beraya di Malaysia dengan beraya di Mesir.


_____________________________________________


Jadi, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan Batin.

Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi.
Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa.
Dalam kelembutan lidah, ada juga keterlanjuran kata.
Dalam gurau dan senda tentu ada khilaf dan dosa.

Tuesday 8 September 2009

Kelainan Ramadhan di Negeri Cik Siti Wan Kembang

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Ramadhan di Malaysia dimanfaatkan sebaiknya.

Meskipun dalam keadaan berpuasa, kehendak untuk menjejakkan kaki buat kesekian kalinya ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini tidak dapat dihalang. Bila hati kata mahu, semua pun boleh. Tambahan pula hati terasa ingin sekali merasai kelainan Ramadhan di sana.

Kita orang pantai barat selalu dengar orang kata Ramadhan di pantai timur disambut sangat meriah, lebih meriah dari sambutan Aidilfitri walaupun orang pantai timur sendiri kata tak ada
beza sangat pun. Rasa tak puas hati pula. Jadi tiket bas dibeli untuk merasai sendiri suasana perayaan madrasah Ramadhan di sana.

Tempoh masanya sekejap. Cuma 2 hari 2 malam. Ditambah perjalanan pergi waktu malam. Perjalanan pulang waktu siang. 3 hari jumlahnya.

Bas dari Klang Sentral bergerak pukul 9 malam. Ketibaan di stesen bas Kota Bharu pada jam 4.45 pagi disambut oleh Nasrullah. Sesudah menjamah sahur dan solat subuh di rumahnya, kami menunggu hari siang.

Jalan kali ini bukan sebarang jalan. Jalan bukan untuk berjalan-jalan tapi jalan untuk menjiwai suasana. Justeru bukan calang tempat akan dituju.

Hari siang, kami ke toko buku. Tak perlu diperkenalkan lagi, seluruh rakyat Kelantan pasti tahu akan toko buku yang s
atu ini. Letaknya di Jalan Dato' Pati, toko yang menjual bermacam-macam jenis batik, alat-alat peribadatan, minyak attar, jamu-jamu orang bersalin berpantang, kaset-kaset agama, al-Quran serta kitab-kitab agama ini tidak surut dari kunjungan para pelanggan.

Dengan keluasan dua pintu rumah kedai, bermacam-macam jenis buku boleh didapati di sini. Oh, ya itulah dia Syarikat Jaffar Rawas. Beribu judul buku yang hendak dibeli, naik serabut kepala memikir tajuk buku yang sesuai untuk dibawa pulang. Bukan di pantai barat buku-buku itu tidak wujud. Tapi dek mahu merasai suasana itu yang mengatasi segalanya.


central atrium, pasar besar kota bharu


Destinasi seterusnya yang dituju adalah Pasar Besar Kota Bharu atau nama glamournya Pasar Siti Khadijah. Seperti pasar-pasar basah yang lain, segala keperluan runcit boleh didapati di sini. Tingkat bawah pasar ikan dengan pasar sayurnya di central atrium. Tingkat satu keperluan dapur seperti bawang, budu dan sebagainya. Tingkat dua pasar/gedung kain terutama batik dan baju kurung. Tapak pasar buahnya pula yang masih dalam pembinaan disisip belah kanan pintu masuk utama pasar.


Hari petang. Solat zohor di Masjid Pasir Mas. Kami ke rumah Muzakkir. Dari sana kereta dipandu menuju pekan Rantau Panjang kira-kira 20 minit perjalanan dari Pasir Mas. Pekan Rantau Panjang merupakan antara pintu masuk utama rakyat negara jiran Thailand untuk ke Malaysia. Sasaran kami adalah Pasar Besar Rantau Panjang.


pasar besar rantau panjang


Berbeza dengan Pasar Besar Kota Bharu, pasar ini menjual pelbagai jenis pakaian. Pasar yang terletak dalam zon bebas cukai ini menawarkan berbagai barangan pada harga yang sangat memuaskan. Sewaktu kunjungan, kelihatan orang ramai tidak kira warga Malaysia mahupun warga jiran membeli-belah di sana untuk persiapan berbuka puasa dan persiapan Aidilfitri.

Perjalanan pulang kami singgah di masjid pertama yang dibina dengan seni bina masyarakat Cina di Malaysia. Dalam perjalanan menuju Rantau Panjang, Akir bertanya kami, Ini apa ehmad? Tokong Cina la. Bukan.



ini masjid bukan tokong


Kesempatan berada di Pekan Pasir Mas kami manfaatkan dengan berasak bersama orang ramai meramaikan bazaar Ramadhan yang disediakan oleh MDPM. Mungkin beginilah yang dinamakan merasai suasana.

Tarawikh malam ke-14 Ramadhan didirikan di
Qaryah Ramadhan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. Solat tarawikh diimamkan oleh seorang syeikh yang didatangkan khas dari Mesir. Suasana bertarawikh di Mesir menerjah ingatan apabila mendengar sayup bacaan syeikh ketika solat.Malam menutup hari.

Hari esok Jumaat. Seawal jam 8.30 pagi kami keluar rumah bergerak mengikut arus pergerakan orang ramai ke suatu tempat yang sinonim dengan panggilan Dataran Ilmu. Ia terletak di hadapan toko buku SJR di Jalan Dato' Pati. Terdapat kuliah umum sedang berjalan sewaktu kami tiba. Kuliah disampaikan oleh Ustaz Mohd Asri B Daud. Kira-kira jam 9.30 kuliah beliau selesai, diganti pula dengan kuliah umum oleh TG Dato' Nik Abd Aziz B Nik Mat.


Dalam pada kami bersesak dengan orang ramai yang kunjung berbelanja sambil mendengar kuliah yang disampaikan, mata kami terliar mencari sesusuk tubuh Muzakkir. Kami berjanji ingin ketemu di sana. Seusai kuliah kami pulang bersiap untuk solat Jumaat di Masjid Muhammadi.


Selepas solat Jumaat, kereta dipandu menuju Melor. Setengah perjalanan, kami singgah mengambil Abd Rah
man di rumahnya.Perjalanan diteruskan. Destinasi kali ini ialah sebuah rumah menghadap sebuah tali air. Ketika menghampiri pagar rumah tersebut, Pokdi menelefon mahu turut serta.

Ketibaan di rumah menghadap tali air disambut oleh seorang anak kecil yang menjerit 'Ammu..ammu..!!' sambil ayahnya tersenyum menuggu di bibir tangga rumah. Abu Fateh dan Fateh telah menanti kami sejak lepas solat Jumaat lagi.


fateh, ammu & syaimaa'


Khabarnya Fateh yang masuk 3 tahun Oktober ini kelihatan sangat ceria sejak pulang dari Mesir. Begitu juga halnya dengan Syaimaa'. Mungkin kerana mereka berdua baru mendapat adik baru, Abdullah Adam. Mungkin juga dapat bersama tok wan mereka. Tapi yang paling gembira saatnya itu, itulah aku. Hampir 6 bulan tidak ketemu mereka anak-anak kecil ini.

Bual saran borak kritik kami sehingga masuk waktu Asar. Malam sekali lagi Tarawikh di Qaryah Ramadhan. Tapi malam itu lagi sayu. Pengerusi majlis menghebahkan bahwa isteri imam tarawikh syeikh dari Mesir itu meninggal dunia. Seusai solat sunat tarawikh, diadakan solat jenazah ghaib yang diimamkan sendiri oleh suami allahyarhamah. Allahummaghfirlaha warhamha wa'afiha wa'fu'anha.

________________________________________________

Mungkin ramai sudah merasai pasal trip kali ini. Apapun ini yang aku rasa dan aku alami. Selamat berkongsi~