Showing posts with label berukhuwwah. Show all posts
Showing posts with label berukhuwwah. Show all posts

Friday, 13 May 2011

Interpersonal Relationship

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Entah mengapa dua tiga minggu ini, hanya pada hari Jumaat saja saya berkekuatan untuk menghadap komputer riba ini menulis apa yang berpinar di dalam kotak fikiran.

Mungkin berkat hari Jumaat. Mungkin juga sebab cuti Jumaat. Mungkin.

Apapun, segala puji saya rafakkan keatas Ilahi atas kurniaan nikmat dan kesempatan yang diberikan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda.

Minggu ini saya telah memilih tema pembacaan ‘Interpersonal Relationship’ untuk bacaan saya selama sebulan ke hadapan atau juga sampai tamat musim exam. Tema ini merupakan tema yang sangat saya minati kerana ia membantu saya dalam pengamatan yang sedang dan sering saya jalankan. Ia membantu saya untuk lebih memahami apa yang sedang saya amati, mengetahui apa yang perlu saya cari dan bagaimana saya akan aplikasikan ia dalam rutin hidup seharian.

Ia adalah tema utama kenapa ruang bicara ini wujud. Lihat di atas kepala muka ini, “KNOWING YOU, KNOWING ME : Peribadi insan dari pelbagai latar belakang berinteraksi dengan pengaruh alam sekitar untuk membentuk budaya dan kehidupan”.

Interpersonal Relationship

Interpersonal relationship atau hubungan interpersonal ini merujuk kepada interaksi timbal balik antara faktor sosial dan emosi sesama diri sendiri dan orang lain dalam persekitaran. Ia telah dibuktikan sebagai memainkan peranan yang major dalam pembangunan personaliti seseorang. Hubungan dengan ibubapa terutamanya telah dikenal pasti sebagai sangat penting dalam pembentukan sikap dasar seseorang.


Menulis mengenai hubungan interpersonal ini yang merupakan subjek multidisiplin, kita akan nampak kolobrasi antara disiplin-disiplin ini telah membawa kepada kemunculan banyak teori dan teknik yang saling bercanggah antara satu dengan yang lain.

Multidisiplin

Berjalan seiring dengan ilmu Psychology, disiplin Sociology berkaitan perkahwinan & terapi keluarga dan Sosiologi Komunikasi masih menjadi penyumbang kepada ilmu perhubungan ini. Di dalam ilmu Psikologi pula, Psikologi Perkembangan, Psikologi Sosial dan Psikologi Klinikal menjadi tiga cabang utama yang menyumbang dalam perkembangan teori dan kajian ilmu ini.

Setiap daripada enam cabang yang tersebut di atas cenderung untuk mengatasi beberapa jenis perhubungan. Para Sociologist mengkaji kaitan antara tolakan makro-sosial dengan kestabilan sesuatu hubungan kekeluargaan sebagai kepuasan dalam perkahwinan.

Para Clinical Psychologist pula memberi perhatian terhadap mengenalpasti punca kesulitan dalam hubungan perkahwinan. Communication Researcher mencipta terapi untuk dysfunctional communication pattern. Developmental Psychologist banyak menangani masalah berkaitan hubungan Ibubapa-Anak dan Anak-Rakan Sebaya dan beranjak sedikit kepada hubungan orang dewasa yang lebih tua. Social Psychologist biasanya memeriksa hubungan pada peringkat awal dewasa, hubungan pacaran pranikah dan medan pernikahan itu sendiri.

Saya tidak dapat berkongsi banyak ketika ini kerana pembacaan saya pada sumber primer masih belum sempurna. Banyak lagi istilah-istilah saintifik yang perlu diteliti. Mungkin lepas-lepas ini saya akan kongsikan pula tentang Types of Interpersonal Relationship.

Dengan memahami dan mempelajari ilmu ini secara sampingan, saya berdoa sangat agar saya dikenalkan dengan diri sendiri seterusnya mengenal Sang Pencipta diri.

Mengakhiri pembacaan kali ini yang entah bila lagi akan bersambung, saya petik kata-kata seorang pengamal Psychiatry Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom;
Psychology, the Self and God

The almost immediate experience of one who embarks on the path of psychological knowledge is one is able to fathom one’s own mind and feelings. Nurtured with religious knowledge, this knowledge of the self will develop into the knowledge of God, with His Leave.

Psikologi, Diri dan Tuhan

Kesan yang hampir serta merta ke atas seorang indidividu yang memulakan perjalanan di atas jalan ilmu psikologi ialah ia dapat menyelami minda dan perasaannya. Dengan pemupukan ilmu agama, ilmu tentang diri ini akan berkembang menjadi ilmu tentang Tuhan, dengan Izin-Nya.

Mohamed Hatta Shaharom
Mishkatun Nur, Gombak
28 April 2011 / 25 Jumadil Awal 1432



Friday, 15 April 2011

Pejamkan Matamu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun

Alhamdulillah, setelah sekian lama laman blog ini menyepi, ditinggal keseorangan tidak dijengah, dibiar bersawang, akhirnya petang Jumaat yang nyaman ini aku diberi kesempatan untuk mencoret; berkongsi input yang aku perolehi sepanjang tempoh pasca revolusi Mesir ini.

Satu keajaiban berlaku beberapa hari lepas, bila mana aku berjaya membaca sebuah buku, Tuesdays with Morrie, mengkhatamkan pembacaan bermula dari kulit depan sampai ke kulit belakang.

Tidak pernah walau sekali aku berjaya menghabiskan pembacaan sebuah buku; tidak kira apa genrenya, dalam masa tidak lebih daripada 24 jam. Ia adalah rekod peribadi yang baru aku cipta.



Bukunya buku biasa. Tuesdays with Morrie oleh Mitch Albom dalam terjemahan Bahasa Melayu, dipinjam daripada seorang sahabat, Nasrullah.

Tatkala membaca, mataku berkaca. Ada beberapa perenggan dalam buku tersebut mengesan di dalam hati. Dan perenggan-perenggan yang ini, yang akan aku kongsikan menggamit sebuah ingatan sewaktu pulang bercuti sepanjang Operasi Piramid. Aku selitkan perenggan-perenggan ini untuk tatapan bersama.


"Tahun awal pengajianku di universiti pada 1978, disko dan filem Rocky menjadi kegilaan budaya pada masa itu. Kami di dalam kelas Sosiology yang lain daripada kebiasaan di Universiti Brandies yang Morrie namakan 'Proses Berkumpulan'. Setiap minggu kami mengkaji bagaimana pelajar-pelajar dalam kumpulan masing-masing berinteraksi antara satu sama lain, bagaimana tindak balas mereka kepada kemarahan, cemburu, penumpuan perhatian. Kami umpama bahan ujian. Kesan daripada latihan kerja berkumpulan ini, ada di antara pelajar yang menangis di akhir latihan. Aku menggelar latihan ini sebagai 'sangat menyentuh hati'. Mengetahuinya, Morrie berkata aku sepatutnya lebih berfikiran terbuka.

Pada suatu hari, Morrie berkata kami ada satu lagi latihan untuk dicuba. Kami dikehendaki berdiri membelakangkan rakan-rakan sekuliah, dan menjatuhkan tubuh kami ke belakang, bergantung kepada rakan-rakan menahan tubuh kami agar tidak jatuh. Ramai di antara kami tidak selesa dengan latihan ini, kami tidak boleh menjatuhkan diri lebih daripada beberapa inci sebelum kami berhenti dan tegak semula. Kami ketawa malu.

Kesudahannya, seorang pelajar, kurus, pendiam, gadis berambut hitam, yang selalu aku nampak dia memakai baju sejuk tebal dan longgar, berpeluk tubuh, memejamkan matanya, mencondongkan tubuhnya ke belakang, dan terus merebahkannya seperti iklan teh Lipton di mana pelakon yang berkenaan jatuh terlentang ke atas permukaan air kolam.

Buat seketika, aku yakin dia akan jatuh terlentang ke atas lantai. Tetapi secepat kilat pasangannya menahan kepala dan bahunya dan menolak dia ke atas supaya tegak semula.


"Whoa!" jerit beberapa orang pelajar. Ada yang bertepuk tangan.

Akhirnya Morrie tersenyum.


"Lihat," katanya kepada pelajar kurus itu, "kamu memejamkan mata. Itu satu kelainan. Kadang-kadang kamu tidak percaya dengan apa yang kamu lihat, kamu perlu percaya dengan apa yang kamu rasa. Dan kamu mahu orang lain mempercayai kamu, kamu mesti merasa yang kamu juga mempercayai mereka - walau kamu dalam kegelapan. Walau ketika kamu sedang jatuh."


Pengajaran yang sangat berguna terkandung dalam perenggan-perenggan di atas ini. Ceritanya berkisar tentang 'Trust'. Kadang-kadang kita perlu mengabaikan satu pancaindera kita baru kita dapat rasa kepercayaan kita.

Entri ini didedikasikan kepada seluruh peserta dan para fasilitator Program S.P.I.E.S anjuran Pejabat EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan pada akhir Februari lalu di Kem Bina Insan, Ampang Pecah, KKB.

Saturday, 12 February 2011

Wajah-wajah PELARIAN


Dengan Nama Allah Yang Memberi Nikmat Keamanan

Cuti musim sejuk bagi sesi persekolahan tahun kelima di Univ Kaherah terisi dengan satu operasi menyelamat pelajar dan warganegara Malaysia yang terhimpit oleh kemaraan rakyat Mesir yang mahu presidennya, Hosni Mubarak melepaskan jawatan sebagai presiden republik itu sejak leboh tiga dekad lalu.

Operasi yang diberi nama Operasi Piramid itu dilancarkan oleh YAB PM Malaysia selepas mengambil kira tahap keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Mesir. Penilaian awal dibuat oleh satu kumpulan pegawai yang diterbangkan khas ke Mesir yang diketuai oleh Senator A. Kohilan Pillay selaku Timbalan Menteri Luar selain wakil dari Majlis Keselamatan Negara dan beberapa lagi pegawai dari agensi berkaitan.

Krisis di Mesir bermula dengan demonstrasi yang diadakan di Medan Tahrir pada 25 Jan 2011 yang jatuh pada cuti umum sempena Hari Polis. Kemudian pada hari Jumaat bersamaan 28 Jan 2011 siri tunjuk perasaan bertambah hangat dan ia berterusan sehingga hari ke-18 yang menampakkan hasil yang memuaskan bagi seluruh rakyat Mesir dengan pengisytiharan pengunduran presiden Hosni Mubarak daripada kerusi presiden republik itu yang dipegangnya selama hampir lebih 3 dekad seperti yang diingini oleh rakyat.

Kini kuasa pemerintahan Mesir terletak di tangan kuasa tentera buat sementara sebelum barisan kabinet baru dibentuk melalui satu pilihan raya yang telus pada September depan.

Apapun, tahniah diucapkan kepada seluruh rakyat Mesir atas kebangkitan yang mereka corak demi masa depan negara yang lebih cerah dan gemilang. Saya bersetuju dengan suara rakyat yang mengatakan bahawa pengunduran Hosni dari kerusi presidennya bukan atas campur tangan Amerika atau Israel tapi ia desakan rakyat yang bersatu mahu membina Mesir kearah negara yang mampu memacu kemajuan rakyatnya.

Saya berdoa agar Ardhul Kinanah Mesir dilimpahi dengan keamanan dan kesejahteraan dan para pemimpinnya sentiasa dipandu oleh al-quran dan as-sunnah untuk membina kembali empayar keagungan kerajaan Islam yang diimpikan umat.

Itu cerita ringkas tentang apa yang berlaku di Mesir. Bagi rakyat Malaysia yang berada di Mesir terutama para pelajar, mereka memperoleh satu pengalaman baru apabila menyertai Ops Piramid; satu operasi menyelamat rakyat Malaysia yang berada di Mesir oleh kerajaan Malaysia dengan bantuan daripada TUDM, MAS, Air Asia dan Tabung Haji.

Bagi kami yang tinggal di kawasan Sayyeda Zeinab dan kawasan sekitarnya, arahan perpindahan sementara ke ARMA telah dikeluarkan pada 31 Jan 2011. Kami pun berkemas untuk perpindahan itu. Selama hampir 5 hari berada di ARMA dengan keadaan catuan bekalan makanan berlaku dan kemasukan pelajar-pelajar dari muhafazah kami terpaksa hidup bersesak-sesak di ARMA. Bilik 307 menjadi pusat pengumpulan maklumat dan perkumpulan kami. Hanya pada pagi 5 Jan 2011 kami dipanggil untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah untuk diterbangkan ke Jeddah sebagai transit sementara.

Dari Kaherah kami menaiki pesawat MAS menuju ke Jeddah. Sesampainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Malik Abdul Aziz, Jeddah kami diberikan visa kecemasan selama seminggu untuk berada di Saudi. Awal pagi 6 Jan baru kami sampai di Madinatul Hujjaj milik Tabung Haji.

Malam pertama di Madinatul Hujjaj kami hanya tidur di surau blok A. Hari kedua kami berehat di gudang. Masuk hari ketiga barulah kami berpindah ke bilik A202. Setelah hampir 5 hari menunggu giliran untuk dihantar pulang ke Kuala Lumpur, barulah nama kami dipanggil untuk penerbangan menaiki Saudi Airlines.

Sewaktu beratur untuk mendapatkan boarding pass di lapangan terbang, kami melihat nombor penerbangan SV 0816 yang akan menerbangkan kami akan turun ke Jakarta. Ini sesuatu yang amat mengejutkan kerana kami tidak maklum bahawa kami akan ditransit di Jakarta.

Menaiki Saudi Airlines menuju Jakarta tidak banyak bezanya umpama kita menaiki Egypt Air menuju Kaherah.

Kami mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta jam 11 pagi waktu tempatan kemudian kami menyambung perjalanan ke Kuala Lumpur menaiki pesawat AirAsia Indonesia bernombor QZ 7692 yang berlepas 3 jam kemudian.

Pendaratan di LCCT berlaku pada jam 5 petang waktu Malaysia.

Di bawah ini merupakan koleksi wajah-wajah pelarian yang sempat di rakamkan sepanjang Operasi Piramid ini berlangsung.


terbang bersama-sama kawanan burung

2 buah jet pejuang terbang rendah untuk menakut-nakutkan rakyat

saya

jack

anip

nasri

wmkamal

abror

faeid

payat

alba

m khairil azizi

al-fansuri

najib

apepey

madsha

azlee

amir

abd rahman

anaz

nurin

p/s: gambar siapa yang juara?

Saturday, 22 January 2011

PG6-II

Dengan Nama Allah Yang DenganNya Hati-hati kami Disatukan.

Mounira, 22 JAN : Program Perkumpulan Gen6 Ke-2 (PG6-II) telah berlangsung dengan jayanya semalam dengan penyertaan hampir keseluruhan pelajar Gen6. PG6-II ini adalah kesinambungan daripada PG6-I yang diadakan beberapa bulan lepas.

PG6-II ini telah didahulukan dengan satu program prePG6-II dibawah kelolaan saudara Fayy. PrePG6-II ini dijalankan pada hari Sabtu seminggu sebelum PG6-II dijadualkan akan berlangsung. Antara aktiviti yang berlangsung termasuklah BBQ daging dan perlawanan tradisi PES11.











Sementara semalam, PG6-II untuk pelajar ikhwah dan akhawat berlaku hampir serentak. PG6-II Ikhwah berjalan di Rumah Karpet Merah, Sayyeda Zeinab bermula jam 7.00 malam dan berakhir sekitar jam 10.30 malam. Menukilkan komen Project Manager (PM) PG6-II bagi pihak ikhwah saudara Najib Hassan beliau dipetik sebagai berkata, "Penat..thank guys". Ternyata beliau amat berpuas hati dengan keberlangsungan PG6-II ini. Bagaimanapun saudara Najib tidak tidak keseorangan dalam mengendali PG6-II ini. Dia dibantu oleh saudara Alba selaku co-PM.

PG6-II Ikhwah dimulakan dengan solat isya dan solat hajat berjemaah kemudian disambung dengan Permainan Indoor. Para peserta dibahagikan kepada 4 kumpulan. Pada sesi pertama permainan Lawan Pemadam dipertandingkan. Permainan ini membawa memori para peserta ke era akhir tahun 90-an semasa permainan Lawan pemadam ini terkenal di seluruh pelusuk sekolah di tanah air.



Sesi kedua, pertandingan Meneka Perkataan belangsung. Pertandingan ini menghendaki para peserta untuk berfikir dengan pantas. Sesi ketiga yang juga sesi permainan yang terakhir ialah Win, Lose or Draw.










Selesai ketiga-tiga sesi permainan, para peserta dihidangkan dengan jamuan makan separa berat diikuti sesi fotografi dan sesi bertukar-tukar hadiah.

Sepanjang majlis berlangsung, Rumah Karpet Merah riauh-rendah dengan gelak tawa pelajar-pelajar Gen6 dengan permainan yang dijalankan.

PM PG6-II Akhawat, saudari Salihah Muda telah merancang satu rehlah ke Hadiqah Junainah, Tanta untuk pelajar akhawat Gen6. Dengan penyertaan seramai 58 orang termasuk 4 orang musyrif dan seorang jurugambar, empat tremco yang membawa mereka mula meninggalkan Kaherah seawal jam 8.30 pagi. Perjalanan memakan masa sekitar sejam setengah.

Pelbagai aktiviti dijalankan termasuk indoor dan outdoor. Satu yang menarik di Hadiqah Junainah ini ialah para pengunjung dibenarkan untuk memetik hasil kebun sendiri untuk dibawa pulang sebagai cenderamata.

Di akhir rehlah sebelum mereka bertolak pulang ke Kaherah, satu sesi bergambar beramai-ramai diadakan. Para peserta selamat tiba di rumah masing-masing sekitar jam 6.15 petang.











Thursday, 20 January 2011

Ziarah Ukhuwwah

Dengan Nama Allah Yang Maha Luas PengampunanNya

Ziarah Ukhuwwah. Allah itu sebaik-baik perancang. Malam Sabtu 7hb Januari 2011 aku menerima panggilan telefon dari seseorang yang aku kenal akhir 2005 dulu di sebuah daerah yang sangat tenang yang pernah aku singgah, DQ. Panggilan itu sangat mengejutkan dan penuh dengan persoalan.

Dia seperti yang aku kenal, seorang yang sangat tawadhuk dan punya pekerti yang mampu menggugah hati insan lain. Aku belum layak untuk mengatakan yang aku kenal dia tapi cukup perkenalan beberapa tahun ini menautkan hati kami.

Dalam perbualan kami di telefon malam tersebut dia menyatakan bahawa dia akan tiba di Mesir beberapa hari lagidengan hasrat untuk menziarahi kami. Mengapa sebegini pantas keputusan dia? Kenapa secara tiba-tiba? Dia memberi jawapan dia kini berad
a di tahun akhir pengajian pergigiannya di JUST, Jordan.

--------------------------------

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah sekitar jam 1510. Sementara Nasri membayar tambang teksi dan meminta pemandunya untuk menunggu kami sebentar untuk membawa kami beredar dari lapangan terbang nanti, aku dan Saff meluru laju mendaki anak tangga di hadapan pintu keluar Dewan Ketibaan 3, Terminal 1.

Waktu itu terdapat kerumunan Masri yang sedang menunggu sanak-saudara, rakan taulan mahupun pelanggan mereka di hadapan pintu dewan tersebut. Me
reka memenuhi segenap ruang laluan keluar para penumpang yang baru selamat tiba. Aku segera menekapkan mukaku ke dinding cermin dewan ketibaan itu untuk meihat kelibat seorang sahabat yang ditunggu-tunggu ketibaannya sementara Nasri mendapatkan Saff dan mengajaknya berehat di palang penghadang di tebing pentas menunggu.

Dari kejauhan aku dapat melihat kelibat dia yang masih seperti dulu susuk tubuhnya sambil menarik beg pakaiannya menuju pintu keluar. Aku berlari anak menuju ke pintu yang dari tadi dikerumuni oleh Masri yang masih menanti-nanti. Aku melambai-lambai. Dia tersenyum tanda menerima isyarat tanganku.

Dia melangkah keluar dari Dewan Ketibaan. Ketibaannya dis
ambut penuh mesra oleh Masri yang menunggu kerana seolah-olah mereka memberi ruang tengah untuk orang lalu-lalang. Aku menyalaminya, berpelukan dan bertanya khabar penerbangan tadi. Lalu aku bawakan dia kepada Nasri dan Saff. Beberapa minit kemudian kami pun beredar meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah dengan menaiki taksi yang sama sewaktu kami tiba tadi.

Dia yang aku maksudkan ialah saudara Imran Zainal Abidin.

-T.A.M.M.A.T-
















Saturday, 1 January 2011

Memasak Itu Satu Terapi

Dengan Nama Allah Yang Maha Mengilhamkan Sesuatu.

Memasak itu satu terapi.

Banyak orang suka makan. Makanan pedas la, manis lebih gula, masam manis 3 rasa dan makanan orang jawa, Arab, Korea dan Jepun. Tapi berapa orang yang suka memasak?

Pernah satu hari aku didatangi oleh seorang kawan ke rumah pada waktu senja untuk makan dinner bersama. Aku menjemputnya untuk makan di rumah bersama-sama ahli rumah yang lain. Seperti biasa hari-hari sebegini, biasanya aku memasak menu yang biasa-biasa saja. Tiada yang istimewa.

Bahan asasnya ayam, bawang dan cili. Aku bersihkan ayam yang telah siap dipotong di kedai, kemudian aku mula membasuh beras dan menenggekkan periuk yang berisi beras tadi di atas api dapur. Kalau nak tahu, kat rumah ni dah dekat 2 tahun kami masak nasi atas dapur.

Aku mula mengupas kulit bawang merah (besar) beberapa biji sambil fikiran ku membelek-belek buku resipi yang ada di benak kepala.

Ayam, bawang dan cili. Aku ada 3 benda ni. Macam mana aku nak buat dia supaya sebati dalam satu kuali menjadi lauk yang enak dan membangkitkan selera untuk dimakan?”, aku membacakan search term ini dalam kotak SEARCH sebelah sisi kanan otak.

Boleh jadi kari, asam pedas, masak lemak, gulai, semur dan masak merah”, ini jawapan yang tertera.

Ah, susahlah macam ni. Nak kene pilih satu”.

Tanpa aku sedari, semua bawang merah di tangan telah siap dikupas kulitnya. Ini maknanya sudah tamat masa untuk aku search menu hari ni. Giliran bawang putih pula.

Empat ulas cukup kot”, aku mencongak baki masa yang ada untuk aku memilih menu. Hari ni kawan aku nak datang makan sama-sama. Aku mesti sudah ada menu sekarang ni.

Takpe lah. Hari ni aku pilih masak merah. Tapi aku tanak masak merah biasa-biasa je, bosan dah”.

Aku mula rendam beberapa batang cili kering yang sudah digunting memanjang ke dalam semangkuk air panas yang mendidih. Sesekali aku buka penutup periuk nasi untuk tengok progress beras yang ditanak. Sudah boleh dimakan atau belum tanak.

Sementara menunggu nasi tanak dan cili kering lembut, aku turun ke bawah rumah melawat kedai runcit sambil melilau-lilau mencari hagah yang boleh dicampurkan ke dalam ayam masak merah itu biar ia tak serupa dengan selera ayam masak merah biasa.

Aku ke kaunter membayar LE2 untuk 2 cups of plain yoghurt yang tangan aku sambar dari dalam peti ais kecil di hadapan kedai. Dengan segera aku berangkat pulang dengan harapan barang atas dapur yang aku tinggalkan itu tidak hangit dan aku rasa hagah di tangan ini memadai.

Sesampai di rumah aku hidupkan api dapur untuk memanaskan kuali dengan beberapa sudu minyak untuk menumis. Sepantas kerdipan injap jantungku bertemu, sepantas itu aku mencincang bawang-bawang yang siap dibersihkan. Minyak sudah panas, aku campakkan bawang-bawang itu ke dalam kuali. Maka bermualah aksi menyatukan umat di dalam satu medan. Siapa kata bezanya kita tak boleh duduk bersama?

Sambil tangan kanan mengacau bawang atas kuali, tanagn kiri menutup api periuk yang menanak nasi. Cili kering siap dikisar. Layu saja bawang, giliran cili giling pula untuk dipertemukan. Kemudian ayam dan selang beberapa ketika a cup of yoghurt pula.

Gaul punya gaul lauk pun siap. Ops, lupa nak campur garam dan gula. Penutup balang garam dibuka, dituangkan garam sedikit pada penutupnya dan ditabur-tabur atas lauk tadi. Gula pun begitu.

Masa untuk menghias dan menghidang. Aku taburkan hirisan daun bawang dan bawang goreng sedikit. Siap! Wah, sekejapnya. Tak sampai sejam dah siap satu lauk dan nasi!

Kawan aku pun sampai. Maka setelah berbasi-basi barang sepatah dua aku mengajaknya makan. Aku hidangkan satu persatu untuknya nasi, lauk ayam dan salad Arab. Dia makan dengan sungguh-sungguh. Begitu juga aku. Seakan nasi dan lauk itu orang lain yang siapkan. Aku makan dengan selera seselera kawan aku makan.

Tengah-tengah menikmati hidangan, kawan aku tanya. “Apa tajuk masakan kau ni mad?”. Ah, ini soalan yang paling aku tak suka nak jawab sebab aku tak pernah terfikir untuk tajuk masakan aku barang sekali pun. “Nasi tu warna putih. Ayam tu warna merah. Ayam masak merah la kot”, aku cuba menjawab pertanyaannya. Dia mengangguk dan terus menyuapkan nasi ke mulut.

Kemudian selesai makan, dia ke komputer Jackster meneman Jackster bermain PES2011. Habis dua tiga round dia pun pulang. Sambil aku menemaninya ke pintu utama rumah kami dia berbisik sesuatu kepada ku. “Memasak ni satu terapi ya mad?”. Batin aku disentak seketika. “Aah. Kenapa?”. “Takde pape. Hehe.”

Perlahan-lahan aku menutup daun pintu rumah sambil tersenyum sendiri mengingatkan perihal ‘Memasak itu Satu Terapi’. Betul, sungguh benar memasak itu satu terapi. -hamadahamdi.

----------------------------------------------------------------

Meneliti cerita pendek ni, banyak yang boleh dijadikan tauladan dan sempadan. Maka selamilah ia agar kau tahu mana jerung dan mana ikan bilis.


Monday, 18 October 2010

Gen6 : Aishul Hani & JAM6

Dengan Nama Allah Yang Mencampakkan Rasa Kasih Lagi Maha Penyayang

Gen6 sudah besar.
Dengan usianya yang mencecah 5 tahun saja Gen6 sudah menerima anak buahnya yang pertama, Aishul Hani.



JAM6 telah diadakan dengan jayanya.
Dengan pelantikan Ketua Baru dan Penolong Ketua diharap Gen6 terus maju ke hadapan.