Showing posts with label Akhlaq. Show all posts
Showing posts with label Akhlaq. Show all posts

Sunday, 15 May 2011

Selamat Hari Guru SeMalaysia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Esok; atau hari ini untuk yang telah melewati jam 0000, 16 Mei 2011 adalah Hari Guru SeMalaysia dan Hari Bahagia (HB) untuk Abou Hani.

Saya tidak akan pernah lupa tarikh keramat ini kerana saya tidak akan berpijak di bumi yang menjadi kediaman saya ini tanpa guru. Dan kerana dua orang guru ini juga yang saya sangat terhutang jasad dan nyawa pada mereka iaitu Cikgu Naem B Ismail dan Ustazah Norhayati Bt Hj Yunus, kedua orang tua saya yang juga seorang guru.


Selamat Hari Guru untuk mak dan abah!

Saya dedikasikan luahan hati saya ini buat kedua ibubapa saya, serta semua guru yang pernah mendidik dan mengajar saya sejak di Tadika KEMAS (Pn Ainon), Takis Kuala Selangor (Pn Sabariah), SK Bandar Baru Kuala Selangor (Pn Norlela Bt Abu Bakar, Pn Azura, Teacher Kandhi dll), SRA Bandar Baru Kuala Selangor (Ust Shafie, Ustazah Aniza, Ust Rosdi dll), SAM Bestari (JAIS) (Ustazah Siti Suriyati Bt Ahmad, Teacher Rohaizad, Cikgu Ahmad Rizal B Yahya, Cikgu Buang Sarpon, Pn Mariana Bt Omar dll), dan di SBPI Jempol (Teacher Zanariah, Teacher Wahidah, Pn Manja Lindawati, Pn Norazlilah, Pn Noraini dll). Terima kasih semua!

Berburu ke padang datar,
dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Tuhan mendengar rintihan kita,
Yang dahagakan ilmu,
Yang berhajat kepada pemimpin.

Lalu Dia datangkan,
Seorang insan yang berbudi,
Sedia menabur bakti.

Hatinya penuh dengan belas kasihan,
Dorongan, dan kesabaran.

Seorang yang yakin,
menempuh cabaran,
tanpa mengenal rintangan.

Seorang yang nampak,
potensi lebih dari kelemahan,
peluang lebih dari kekalahan,
Dan seorang dia, itulah Cikgu!

Hamadahamdi,
Sayyeda Zeinab, Kaherah.
19:56, 15 Mei 2011.

Friday, 15 April 2011

Pejamkan Matamu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun

Alhamdulillah, setelah sekian lama laman blog ini menyepi, ditinggal keseorangan tidak dijengah, dibiar bersawang, akhirnya petang Jumaat yang nyaman ini aku diberi kesempatan untuk mencoret; berkongsi input yang aku perolehi sepanjang tempoh pasca revolusi Mesir ini.

Satu keajaiban berlaku beberapa hari lepas, bila mana aku berjaya membaca sebuah buku, Tuesdays with Morrie, mengkhatamkan pembacaan bermula dari kulit depan sampai ke kulit belakang.

Tidak pernah walau sekali aku berjaya menghabiskan pembacaan sebuah buku; tidak kira apa genrenya, dalam masa tidak lebih daripada 24 jam. Ia adalah rekod peribadi yang baru aku cipta.



Bukunya buku biasa. Tuesdays with Morrie oleh Mitch Albom dalam terjemahan Bahasa Melayu, dipinjam daripada seorang sahabat, Nasrullah.

Tatkala membaca, mataku berkaca. Ada beberapa perenggan dalam buku tersebut mengesan di dalam hati. Dan perenggan-perenggan yang ini, yang akan aku kongsikan menggamit sebuah ingatan sewaktu pulang bercuti sepanjang Operasi Piramid. Aku selitkan perenggan-perenggan ini untuk tatapan bersama.


"Tahun awal pengajianku di universiti pada 1978, disko dan filem Rocky menjadi kegilaan budaya pada masa itu. Kami di dalam kelas Sosiology yang lain daripada kebiasaan di Universiti Brandies yang Morrie namakan 'Proses Berkumpulan'. Setiap minggu kami mengkaji bagaimana pelajar-pelajar dalam kumpulan masing-masing berinteraksi antara satu sama lain, bagaimana tindak balas mereka kepada kemarahan, cemburu, penumpuan perhatian. Kami umpama bahan ujian. Kesan daripada latihan kerja berkumpulan ini, ada di antara pelajar yang menangis di akhir latihan. Aku menggelar latihan ini sebagai 'sangat menyentuh hati'. Mengetahuinya, Morrie berkata aku sepatutnya lebih berfikiran terbuka.

Pada suatu hari, Morrie berkata kami ada satu lagi latihan untuk dicuba. Kami dikehendaki berdiri membelakangkan rakan-rakan sekuliah, dan menjatuhkan tubuh kami ke belakang, bergantung kepada rakan-rakan menahan tubuh kami agar tidak jatuh. Ramai di antara kami tidak selesa dengan latihan ini, kami tidak boleh menjatuhkan diri lebih daripada beberapa inci sebelum kami berhenti dan tegak semula. Kami ketawa malu.

Kesudahannya, seorang pelajar, kurus, pendiam, gadis berambut hitam, yang selalu aku nampak dia memakai baju sejuk tebal dan longgar, berpeluk tubuh, memejamkan matanya, mencondongkan tubuhnya ke belakang, dan terus merebahkannya seperti iklan teh Lipton di mana pelakon yang berkenaan jatuh terlentang ke atas permukaan air kolam.

Buat seketika, aku yakin dia akan jatuh terlentang ke atas lantai. Tetapi secepat kilat pasangannya menahan kepala dan bahunya dan menolak dia ke atas supaya tegak semula.


"Whoa!" jerit beberapa orang pelajar. Ada yang bertepuk tangan.

Akhirnya Morrie tersenyum.


"Lihat," katanya kepada pelajar kurus itu, "kamu memejamkan mata. Itu satu kelainan. Kadang-kadang kamu tidak percaya dengan apa yang kamu lihat, kamu perlu percaya dengan apa yang kamu rasa. Dan kamu mahu orang lain mempercayai kamu, kamu mesti merasa yang kamu juga mempercayai mereka - walau kamu dalam kegelapan. Walau ketika kamu sedang jatuh."


Pengajaran yang sangat berguna terkandung dalam perenggan-perenggan di atas ini. Ceritanya berkisar tentang 'Trust'. Kadang-kadang kita perlu mengabaikan satu pancaindera kita baru kita dapat rasa kepercayaan kita.

Entri ini didedikasikan kepada seluruh peserta dan para fasilitator Program S.P.I.E.S anjuran Pejabat EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan pada akhir Februari lalu di Kem Bina Insan, Ampang Pecah, KKB.

Sunday, 11 July 2010

Through My Lens : Hamadahamdi

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Ada 3 event yang nak dikongsikan di medan ini. Semuanya dari lensa kamera peribadi. Sekadar satu perkongsian untuk diambil iktibar.

Maulid Sayyeda Zeinab

signboard tu betul-betul merujuk ke makam sayyeda zeinab


dua orang pejuang menuju bilik doktor untuk disoal jawab


inilah hasilnya maulid oleh masri baladi


ini kami panggil pejabat pesuruhjaya PAS sayyeda zeinab


World Cup Uruguay vs Almania

tengah khusyuk menonton tiba-tiba masri kat sebelah kata "apalah budak-budak ni pi sokong almania plak. kan ke dia sekutu yahudi. kita ni muslim."


Merempit bersama Damak










aha. gambar ini.


Friday, 25 June 2010

Tawadhuk Mata



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Tawadhuk Mata




Lapangan ini sudah dua puluh dua tahun
mencicip nikmat pandangan dunia

yang maha hebat kuasa keindahannya.


Bebola ini sudah dua puluh dua tahun
dikeroyok oleh keliling suasana

yang maha merosak iman dan meruntuh akhlak.


Ya Tuhan,

Aku cinta para solihin

tapi aku belum bisa menjadi solih.


Ya Tuhan,

Andai aku tidak bisa

capaikan aku pada syafaat orang-orang solih.


Hamadahamdi,

Sayyeda Zeinab, Kaherah.

19:09 25 Jun 2010.

Wednesday, 5 May 2010

Komunikasi Cemerlang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Komunikasi Cemerlang

Hidup kita di dunia ini tidak akan sunyi dengan komunikasi. Bermula bangkitnya kita dari pembaringan, kita bangun menggugah kawan kita di bilik sebelah untuk solat subuh berjemaah. Seterusnya di kuliah, kita tanya stratergi belajar sahabat kita untuk peperiksaan yang kian hampir. Kemudian malamnya di dalam teksi kita menegur pakcik Arab untuk tidak merokok sewaktu memandu.

Sedarkah kita bahawa dengan berkomunikasi sebenarnya kita sedang melakukan proses menyampaikan maklumat kepada orang yang sedang mendengar. Bukan sahaja maklumat yang boleh disampaikan, malah komunikasi juga merupakan medan untuk berkongsi perasaan, idea dan buah fikiran. Kita sebenarnya sedang menyentuh hati orang yang mendengar!

Bukan Hanya Bercakap
Bila kita bercakap dengan seseorang, kita suka ucapan kita didengar oleh orang tersebut. Kita bercerita match bola Inter Milan – Barcelona malam semalam dengan penuh semangat dengan keputusan
Inter mendahului sebanyak 3-2. Yang kita tunggu adalah ucapan tahniah daripada mulutnya atas kemenangan Barcelona. Kemudian kita mengadu yang kasut baru kita hilang di masjid kuliah petang tadi. Kasut tersebut baru saja dibeli sebulan yang lepas. Kita tunggu ungkapan “Rileks la, nanti elaun masuk kita beli kasut baru”. Terasa lega sedikit resah yang mendiam di hati.

Tapi cuba kita bayangkan bila kawan kita senyap sahaja tanpa respon. Membisu sejuta kata. Terasa sangat sia-sia air liur kita yang tersembur keluar untuk menyampaikan berita dan berkongsi derita.

Ini hakikat yang mesti kita sama-sama telan kerana ia berlaku dalam komunikasi harian kita. Kita lebih ghairah untuk bercakap dan terus bercakap, menyampaikan dengan menganggap yang kita sedang menuju ke arah komunikasi cemerlang. Tapi kita lupa dan sering terlupa bahawa sebenarnya komunikasi yang baik itu bukan pada banyaknya kata yang diucapkan tapi pada tahap ketelitian kita mendengar pengucapan orang yang sedang menyampaiakan maklumat dan berkongsi cerita.

Jika dimuhasabah kembali, berapa ramai mad'u yang lari dari kita bila kita cuba dekati mereka? Ya, kita kata kita sudah berusaha untuk approach mereka tapi adakah cara kita itu terkesan di hati mereka?



Pakai Kasut Mereka
Untuk menyentuh apatah lagi mengetuk pintu hati sahabat kita bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak semudah kita bercakap.

Ia merupakan satu seni atau skill yang boleh dipelajari dan memerlukan latihan yang sentiasa. Sesiapa sahaja boleh menjadi juara dalam membina komunikasi cemerlang ini. Syaratnya satu. Letakkan diri kita pada kasut orang yang bercakap atau mengadu. Kita terbitkan rasa empati terhadap dia. Baru kita faham dan tahu apa yang ingin dikongsikan bersama kita.

Dengan itu kita sedang membina jambatan hati dengan permulaannya kita mendengar dan meneliti kemudian kita memproses maklumat yang diterima dan diterjemah ke dalam respon diri sebagai tanda faham.

Respon kita pula antara dua. Sama ada lisan ataupun bukan lisan. Komunikasi lisan terjadi bila respon kita juga dengan bercakap. Contoh komunikasi bukan lisan pula seperti bahasa badan, bahasa isyarat, sentuhan, hubungan mata dan penulisan. Nah, saya sedang menyentuh hati anda yang sedang membaca!

Kaunseling Kelompok
Sebelum sesebuah komunikasi itu terbina antara dua individu, perkara penting yang mesti berlaku adalah mereka perlu saling mempercayai. Jika komunikasi itu awalnya ia tidak terbina dengan kepercayaan, maka segala apa yang akan ditutur dan diperdengarkan akan penuh dengan syak wasangka.

Berlarilah sejauh mana dalam komunikasi sebegitu, hakikatnya kita masih merangkak dalam kelingkungan yang sama. Segala apa yang terucap semuanya hanya manisan di bibir. Belum ada lagi madu yang tercurah dari hati. Kita tersekat tidak tertembus dengan tembok yang menghalangi kita untuk berkongsi cerita.

Segera ranapkan tembok pemisah tersebut. Jalinkan hati kita dengan manusia yang sedang kita hadapai. Binalah jambatan yang dapat menghubungkan hati kita dengan hati dia. Duduklah dalam satu kelompok untuk kita belajar bagaimana untuk berkomunikasi. Salah satu medan yang amat praktikal adalah melalui kaunseling kelompok.

Kaunseling kelompok atau istilah yang lebih popular, Smart Circle merupakan kelompok yang paling sesuai untuk kita belajar membina sebuah komunikasi yang cemerlang. Di dalam kelompok ini kita buat salah dan silap supaya kita tahu apa itu yang benar dan betul. Di dalamnya juga kita meluah dan berkongsi supaya orang lain memperoleh dan cuba untuk mempraktikkan. Kita akan dapat kekuatan setelah kita tewas dan bangkit dalam kelompok ini dan dengan kekuatan ini sedaya upaya kita akan harungi dunia luar yang penuh cabaran dengan akhirnya kita mencapai kecemerlangan.

Komunikasi dengan Allah
Itu semua komunikasi kita dengan manusia. Manusia sesama manusia. Jangan kita lupa kita ada satu lagi komunikasi cemerlang yang harus kita bina. Tidak boleh tidak kita mesti berusaha dan bekerja untuk mendapatkannya. Ya, itulah komunikasi kita dengan Allah s.w.t.
Latihan untuk memperoleh natijah komunikasi cemerlang bersama Allah adalah dengan memperbanyakkan amalan sunat. Selalulah mengerjakan puasa sunat. Bangkitlah di malam hari merintih dan meminta daripada-Nya. Banyakkan berdoa agar permintaan kita diperkenan. Bila kita punya komunikasi yang cemerlang bersama Allah, nescaya akan cemerlanglah kehidupan kita.

Oleh:
Ehmad Hamdi B Naem
Ketua Editor Majalah i-Man 3
Tahun 4 Universiti Kaherah.

Friday, 29 January 2010

Rumah Pejuang (Versi Deklamasi)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Ini Rumah Pejuang versi deklamasi.

Semoga terhibur.






Terima kasih kepada saudara Abd Rahman Nik Mazian atas perkongsian ini.

Sekian.

Tuesday, 19 January 2010

Kau Yang Satu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Balik sahaja dari majlis makan-makan menyambut hadirnya hari Copuk dilahirkan 21 tahun dulu di Mo'men Manyal terus dengar satu lagu yang dinyanyikan oleh Saudara Azhan Atan. Mengikut pekeliling yang dihebahkan petang tadi, parti akan diadakan di Cook Door Manyal, tapi atas sebab tertentu tempat terpaksa diubah pada saat akhir oleh pihak penganjur.

Bila dipasang lagu yang bertajuk 'Kau Yang Satu' itu, dalam kepala masih terngian-ngian suara Papa Rock Malaya, Abang Ramli yang empunya suara serak basah juga pernah mendendangkan lagu yang sama, Kau Yang Satu.


Pembawaan dan suara Abang Ramli dalam lagu ini sangat membekaskan terutama bila sampai klimaks lagu tersebut. Lirik lagu yang mengEsakan Allah s.w.t sesekali dapat menitiskan air mata bila didengar dan dihayati.

Tapi lagu ini tidaklah sampai maqamnya untuk menyembuhkan sakit dalam jiwa kerana hanya dengan mengingati Allah dan memperdengarkan bacaan Al-Quran hati akan jadi tenang.




Apapun peranan bahasa dalam sesebuah lagu perlu dititikberatkan kerana dengan bahasa inilah penyanyi dan pendengar berkomunikasi. Ditambah dengan alunan lagu yang gemirsik menambah rasa dan jiwa dalam lagu yang dibawa.

Berbeza dengan Matematik, sesetengah orang berpendapat bahawa Matematik itu juga merupakan sebuah bahasa. Tapi bahasa yang tidak mempunyai jiwa dan rasa. Umpama bahasa yang digunakan dalam mesin-masin elektronik seperti komputer, kalkulator dan alat telekomunikasi lain. Tapi apa salahnya sesekali kita menghantar emel kepada kawan kita dengan bahasa (x+y)/4 yang bermaksud 'Saya bersama awak di atas kapal layar'.


Jadi, sama-samalah kita menghargai bahasa yang kita tuturkan seharian juga bahasa yang kita pelajari dari bangsa lain umpamanya Bahasa Arab, Bahasa Mandarin dan Bahasa Jepun.

Bahkan sejak kebelakangan ini orang sibuk memperkatakan tentang Bahasa Melayu Tinggi, mahukah kita masih menggunakan Bahasa Melayu Rendah (Bahasa Melayu Sekerat/Bahasa Melayu Pasar) dalam perkembangan ilmu yang kita ceburi ini?

Sunday, 17 January 2010

Teman Yang Solehah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Pagi tadi merupakan kelas ulangkaji terakhir untuk subjek Perubatan Masyarakat dan kelas terakhir juga di Jabatan Kesihatan Awam dan Perubatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kaherah. Tajuk yang menjadi perbincangan adalah tajuk RH (Reproductive Health).

Doktor mulakan ulangkaji dengan subtopik FP (Family Planning). Kemudian disambung dengan subtopik Program Penjagaan Kesihatan Ibu Mengandung (MHC Program).

Waktu belajar subtopik ini baru terasa punyalah mak kita dulu masa mengandungkan kita terlalu 'sibuk' membuat persediaan untuk menyambut kelahiran kita selama 42 minggu dalam kandungan. Dengan jadual imunisasi dan lawatan ke Pusat Kesihatan (PHC) paling kurang 4 kali, pasti kabut juga 9 bulan itu. Mujurlah waktu tu mak tak kerja. Kalau tak jadual mak makin padat. Kemudian bila kita dah lahir mak kita akan susukan kita sampai umur kita mencecah 2 tahun.


mak (duduk no. 3 kiri) bersama staf KAFA Seri Al-Ain

Dan sampai saat ini, anak mak seorang ni ada dekat sini. Walau jauh di mata tapi tetap dekat di hati. Inilah hakikat yang perlu ditelan. Dan ini jugalah cerminan pada ikatan kasih ibu-anak.


mak (no. 2 dari kiri) sewaktu kunjungan ke kuching baru-baru ini

Terima kasih mak sebab mengandungkan saya. Semoga mak selalu di bawah lembayung rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa. Dan sebenarnya anak mak sangat rindu pada mak.

mak (berdiri paling kiri) berlatar belakangkan Gunung Santubong


Sungguh, mak telah menjadi suri dalam rumahtangga abah. Moga syurga balasan selayaknya dari Allah s.w.t. Buat bakal ibu kepada anak-anak saya, hayati lirik di bawah ini. Jadilah kamu suri dan teman yang solehah dalam rumahtangga yang kita bina.


Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati penajam fikiran
Di rumah dia isteri di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan

Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa dia mengingatkan

Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya

Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata penawar hati penajam fikiran
Di rumah dia istri di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan.

Sekian.


Sunday, 13 December 2009

Kita dan Non-Kita

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kali ni adalah entri menegur diri sendiri dan kawan-kawan di sekeliling!

Sebuah buku karangan Dr Yusuf bertajuk 'Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Yang Lain' mungkin menjadi penerang dan pencerah terbaik untuk pembacaan seterusnya daripada tajuk ini.

Dalam buku 'Doktor : Fiqh & Adab' tulisan Dr Zuhair Ahmad As-Sibaie dan Dr Muhammad Ali Al-Bar menggariskan salah satu akhlak yang perlu ada pada seorang doktor muslim adalah dengan kita coexist dengan orang lain.

Coexist/commensualism/symbiosis adalah satu seni. Ia adalah tempat bercampur-aduknya perasaan saling sayang-menyayangi, toleransi dan ganjaran dan tertib teratasnya itulah Taqwa.

Sebagai seorang doktor, kita tidak boleh melihat pasien kita sebagai non-kita kerana mereka berhak keatas kita. Kita perlu jalinkan hubungan hati dan akal sesama manusia dengan hikmah dan bijaksana.

Jangan sesekali melihat seseorang sebagai non-kita kerana timbangan Allah adalah pada taqwa, bukan kita atau non-kita.

Justeru, pandanglah orang lain i.e. non-kita dengan pandangan kasih mesra kerana mahabbah itu tempat keluarnya adalah dari hati yang memancarkan cahayanya kepada orang lain lalu terpantul kembali kepada tuannya dengan memancarkan kesucian dan keredhaan hati si pemilik.

Dengan kasih sayang manusia menjadi pemaaf, mampu memberi, berbuat baik dan berbuat kebajikan.

Sebelum mengakhiri pembacaan, mari kita sama-sama renungi set di bawah ini.



Semua B adalah A. C terdiri daripada sebahagian A dan B. A terdiri daripada SEMUA B dan sebahagian C.

Jika Kita = B. Adakah Non-Kita = C?

Sunday, 6 December 2009

Pantun Nasihat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Kali ini dikongsikan rangkap pantun yang berjaya menarik perhatian ramai sewaktu GTS '09 yang lalu. Tema pantun adalah P.E.R.S.A.H.A.B.A.T.A.N.

Pantun soalan.

Makan kari ikan tenggiri,
Sampai perut penuh terisi,
Nak tanya pada sodiqi,
Apa itu kawan kondisi.

Pantun jawapan.

Berazam berjuang sampai mati,
Untuk mendapat redha ilahi,
Bila ke taman dia ikuti,
Bila ke medan dia lari.

Kalau kawan berpaksi duniawi,
Tak tahulah sampai ke mana,
Kalau berkawan kerana Ilahi,
Insyallah berjumpa kita di syurga.

Menyebarkan kesedaran Islam bukan hanya dengan nada suruhan dan amaran. Insan sekarang kurang cakna dengan fungsi bahasa iru sendiri. Kalau dihayati bahasa Melayu sendiri punya uslub dan gaya bahasa tertentu. Dalam bahasa tuturan yang lembut terselimut amaran yang cukup keras.

Sekian.

Friday, 27 November 2009

Pagi Hari Nahar 1430H

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Allahuakbar..Allahuakbar..Allahuakbar..Laailahaillalla...
Allahuakbar..Allahuakbar...Walillahilhamd..!

Pagi Hari Nahar 1430H aku masih di sini. Bersama mengecap nikmat pengorbanan para kekasih Allah, para nabi dan sekalian rasul, para salafussoleh menyampaikan risalah atas bumi Allah ini.

Hari ini Hari Nahar. Hari paling afdhal dalam sekian hari yang kita lalui. Hari ini Hari Raya Aildiladha. Hari kita bergembira. Bergembiralah kamu wahai sekalian manusia, sambutlah kedatangan hari ini dengan penuh kesyurukan, berkorban dengan menyembelih al-an'am. Gembirakan juga manusia sekelilingmu dengan memberi mereka makan dan minum yang lazat-lazat.




'Dan berzikirlah kepada Allah pada hari-hari yang telah ditetapkan jumlahnya..', (Al-Baqarah : 203). Dan jangan lupa, dalam kita bergembira, perbanyakkan zikir dan takbit serta tahmid kepada Allah. Semoga bertambah ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t.





Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Nahar. Kullu Sanah Wentoum Toyyibun. Setiap Tahun Kamu Baik-Baik Belaka~

Sunday, 15 November 2009

Hadiah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hadiah.

Ya, hadiah. Perkataan yang mampu menguntum bunga di hati penerima hadiah tersebut. Amalan memberi hadiah satu amalan yang mulia. Masakan tidak. Nabi s.a.w pernah bersabda yang maksudnya seumpama begini : Berilah olehmu hadiah, nescaya kamu akan saling menyintai dan akan hilang segala persengketaan.





Moga-moga dengan hadiah yang kita beri itu mampu mengeratkan hubungan yang sedia terjalin antara kita dengan insan sekeliling kita. Maka, mari kita sama-sama renungi sedikit perkongsian adab atau akhlak Islami tentang hadiah dan memberi hadiah oleh Al-Imam Al-Ghazali.

Kata Al-Imam Al-Ghazali : Adab-adab orang yang memberi hadiah ialah melihat kelebihan yang ada pada orang yang diberi hadiah, melahirkan rasa gembira dengan penerimanya terhadap hadiah tersebut, mensyukuri Allah kerana memberi taufiq untuk melakukan kebaikan (memberi hadiah), menyembunyikan perkara tersebut daripada orang yang hampir dengannya dan kaum kerabat dan menunjukkan muka yang manis ketika melihat penerima hadiah.

Kata Al-Imam Al-Ghazali lagi : Adab-adab orang yang menerima hadiah pula ialah melahirkan rasa gembira sekalipun sedikit, memohon doa kepada tuan hadiah sekiranya dia tiada, menunjukkan muka yang manis ketika dia berada di sampingnya, berusaha untuk membalasnya sekadar termampu, memujinya sekiranya termampu, tidak tunduk padanya, menjaga daripada hilangnya agama bersamanya dan tidak tamak untuk mendapatkannya buat kali kedua.

Sekian dahulu untuk perkongsian pada kali ini. Moga manfaatnya dapat kita sama-sama rasai. Bersama kita menyemai budi pekerti yang mulia dalam jiwa hamba kita. Wallahu'alam.

Thursday, 12 November 2009

Rumah Aku Rumah Pejuang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Rumah aku rumah pejuang,
siang dan malam sibuk merancang,
menyusun strategi meruntuh penghalang,
menggenggam bara sampai jadi arang!


Rumah aku rumah pejuang,
pagi dan petang asyik menghilang,
semangat berjuang bukan kepalang,
solat malam itulah tiang.


Rumah aku rumah pejuang,
jiwa perkasa menahan berang,
siap siaga mematah serang,
contoh ummah terbilang.

Kaherah,
12/11/2009.

Monday, 2 November 2009

Akhlak Seorang Muslim

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


sekadar gambar hiasan


Dalam hidup kita seharian, kita akan bertemu dengan rencam ragam adab dan akhlak manusia yang macam-macam. Ada yang semanis gula, ada pula yang sepahit hempedu, ada yang masin garam, ada juga yang sepedas cili.

Dalam mendepani rasa yang pelbagai ini, bukan mudah untuk memilih rasa yang baik-baik saja. Jadi peranan kita adalah untuk menyediakan kuali supaya rasa-rasa tadi sebati sebagai satu masakan dalam kuali menjadi makanan yang mempunyai rasa yang sangat harmoni. Rasa harmoni dalam makanan adalah lebih sedap lagi dari rasa sedap yang dirasa oleh lidah.

-------------------------------------------

Soalan : Seseorang bertanya, adakah diharuskan untuk menyambut Hari Kelahiran?

Jawapan : Tidak mengapa. Sebagai satu contoh, say
a dilahirkan pada hari sekian bulan sekian dan sahabat saya dilahirkan pada hari sekian bulan sekian. Dan saya mengkhaskan hari sekian untuk menyambut pengulangan hari dan bulan saya dilahirkan setiap tahun dengan perkara kebaikan. Jadi dimanakah salahnya untuk saya menyambut ulang tahun hari kelahiran saya atau sahabat saya selagi ia tidak melanggar syarak?!

Tetapi tidaklah sambutan itu dengan menjemput sebilangan besar kawan-kawan untuk menyertai majlis tersebut dengan mengharap balasan atau hadiah dari para tetamu. Cukuplah sambutan itu dengan mengumpulkan sebahagian sahabat-sahabat untuk sama
-sama menyertai majlis, menyambut hari ulang tahun kelahiran kita sambil terhidang sedikit makanan; susu dan shaiy sebagai minuman dan kita khabarkan kepada sahabat kita bahawa hari ini bulan ini 21 tahun dulu ibuku telah melahirkanku.

Tiada kata yang terucap selain pujian dan syukur kepada Allah dan ucapan terima kasih ibu kerna melahirkan aku dulu dan juga ayah yang mengorbankan dirinya membesarkanku.

'Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku, dosa kedua ibu dan
bapaku, kasihanilah mereka sebagai mana mereka mengasihaniku kecil dulu..'

Amiinn Ya Rabb..

-----------------------------------

Selamat Hari Ulangtahun Ke-21 untuk WMKamal & Surz.




(3/11/1988)


Bersyukur dan bersyukurlah kamu kepada Allah atas pinjaman kehidupan ini. Berterima kasihlah kamu kepada ibumu yang telah melahirkanmu 21 tahun yang dulu. Kenangi jua jasa ayahmu yang membesarkanmu hingga sekarang kau menjadi kamu sekarang.