Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun
Alhamdulillah, setelah sekian lama laman blog ini menyepi, ditinggal keseorangan tidak dijengah, dibiar bersawang, akhirnya petang Jumaat yang nyaman ini aku diberi kesempatan untuk mencoret; berkongsi input yang aku perolehi sepanjang tempoh pasca revolusi Mesir ini.
Satu keajaiban berlaku beberapa hari lepas, bila mana aku berjaya membaca sebuah buku, Tuesdays with Morrie, mengkhatamkan pembacaan bermula dari kulit depan sampai ke kulit belakang.
Tidak pernah walau sekali aku berjaya menghabiskan pembacaan sebuah buku; tidak kira apa genrenya, dalam masa tidak lebih daripada 24 jam. Ia adalah rekod peribadi yang baru aku cipta.
Bukunya buku biasa. Tuesdays with Morrie oleh Mitch Albom dalam terjemahan Bahasa Melayu, dipinjam daripada seorang sahabat, Nasrullah.
Tatkala membaca, mataku berkaca. Ada beberapa perenggan dalam buku tersebut mengesan di dalam hati. Dan perenggan-perenggan yang ini, yang akan aku kongsikan menggamit sebuah ingatan sewaktu pulang bercuti sepanjang Operasi Piramid. Aku selitkan perenggan-perenggan ini untuk tatapan bersama.
"Tahun awal pengajianku di universiti pada 1978, disko dan filem Rocky menjadi kegilaan budaya pada masa itu. Kami di dalam kelas Sosiology yang lain daripada kebiasaan di Universiti Brandies yang Morrie namakan 'Proses Berkumpulan'. Setiap minggu kami mengkaji bagaimana pelajar-pelajar dalam kumpulan masing-masing berinteraksi antara satu sama lain, bagaimana tindak balas mereka kepada kemarahan, cemburu, penumpuan perhatian. Kami umpama bahan ujian. Kesan daripada latihan kerja berkumpulan ini, ada di antara pelajar yang menangis di akhir latihan. Aku menggelar latihan ini sebagai 'sangat menyentuh hati'. Mengetahuinya, Morrie berkata aku sepatutnya lebih berfikiran terbuka.
Pada suatu hari, Morrie berkata kami ada satu lagi latihan untuk dicuba. Kami dikehendaki berdiri membelakangkan rakan-rakan sekuliah, dan menjatuhkan tubuh kami ke belakang, bergantung kepada rakan-rakan menahan tubuh kami agar tidak jatuh. Ramai di antara kami tidak selesa dengan latihan ini, kami tidak boleh menjatuhkan diri lebih daripada beberapa inci sebelum kami berhenti dan tegak semula. Kami ketawa malu.
Kesudahannya, seorang pelajar, kurus, pendiam, gadis berambut hitam, yang selalu aku nampak dia memakai baju sejuk tebal dan longgar, berpeluk tubuh, memejamkan matanya, mencondongkan tubuhnya ke belakang, dan terus merebahkannya seperti iklan teh Lipton di mana pelakon yang berkenaan jatuh terlentang ke atas permukaan air kolam.
Buat seketika, aku yakin dia akan jatuh terlentang ke atas lantai. Tetapi secepat kilat pasangannya menahan kepala dan bahunya dan menolak dia ke atas supaya tegak semula.
"Whoa!" jerit beberapa orang pelajar. Ada yang bertepuk tangan.
Akhirnya Morrie tersenyum.
"Lihat," katanya kepada pelajar kurus itu, "kamu memejamkan mata. Itu satu kelainan. Kadang-kadang kamu tidak percaya dengan apa yang kamu lihat, kamu perlu percaya dengan apa yang kamu rasa. Dan kamu mahu orang lain mempercayai kamu, kamu mesti merasa yang kamu juga mempercayai mereka - walau kamu dalam kegelapan. Walau ketika kamu sedang jatuh."
Pengajaran yang sangat berguna terkandung dalam perenggan-perenggan di atas ini. Ceritanya berkisar tentang 'Trust'. Kadang-kadang kita perlu mengabaikan satu pancaindera kita baru kita dapat rasa kepercayaan kita.
Entri ini didedikasikan kepada seluruh peserta dan para fasilitator Program S.P.I.E.S anjuran Pejabat EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan pada akhir Februari lalu di Kem Bina Insan, Ampang Pecah, KKB.
1 comment:
wajib pergi spies ke?
apesal saya boleh x pergi.
Post a Comment