Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Komunikasi Cemerlang
Hidup kita di dunia ini tidak akan sunyi dengan komunikasi. Bermula bangkitnya kita dari pembaringan, kita bangun menggugah kawan kita di bilik sebelah untuk solat subuh berjemaah. Seterusnya di kuliah, kita tanya stratergi belajar sahabat kita untuk peperiksaan yang kian hampir. Kemudian malamnya di dalam teksi kita menegur pakcik Arab untuk tidak merokok sewaktu memandu.
Sedarkah kita bahawa dengan berkomunikasi sebenarnya kita sedang melakukan proses menyampaikan maklumat kepada orang yang sedang mendengar. Bukan sahaja maklumat yang boleh disampaikan, malah komunikasi juga merupakan medan untuk berkongsi perasaan, idea dan buah fikiran. Kita sebenarnya sedang menyentuh hati orang yang mendengar!
Bukan Hanya Bercakap
Bila kita bercakap dengan seseorang, kita suka ucapan kita didengar oleh orang tersebut. Kita bercerita match bola Inter Milan – Barcelona malam semalam dengan penuh semangat dengan keputusan Inter mendahului sebanyak 3-2. Yang kita tunggu adalah ucapan tahniah daripada mulutnya atas kemenangan Barcelona. Kemudian kita mengadu yang kasut baru kita hilang di masjid kuliah petang tadi. Kasut tersebut baru saja dibeli sebulan yang lepas. Kita tunggu ungkapan “Rileks la, nanti elaun masuk kita beli kasut baru”. Terasa lega sedikit resah yang mendiam di hati.
Tapi cuba kita bayangkan bila kawan kita senyap sahaja tanpa respon. Membisu sejuta kata. Terasa sangat sia-sia air liur kita yang tersembur keluar untuk menyampaikan berita dan berkongsi derita.
Ini hakikat yang mesti kita sama-sama telan kerana ia berlaku dalam komunikasi harian kita. Kita lebih ghairah untuk bercakap dan terus bercakap, menyampaikan dengan menganggap yang kita sedang menuju ke arah komunikasi cemerlang. Tapi kita lupa dan sering terlupa bahawa sebenarnya komunikasi yang baik itu bukan pada banyaknya kata yang diucapkan tapi pada tahap ketelitian kita mendengar pengucapan orang yang sedang menyampaiakan maklumat dan berkongsi cerita.
Jika dimuhasabah kembali, berapa ramai mad'u yang lari dari kita bila kita cuba dekati mereka? Ya, kita kata kita sudah berusaha untuk approach mereka tapi adakah cara kita itu terkesan di hati mereka?
Pakai Kasut Mereka
Untuk menyentuh apatah lagi mengetuk pintu hati sahabat kita bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak semudah kita bercakap.
Ia merupakan satu seni atau skill yang boleh dipelajari dan memerlukan latihan yang sentiasa. Sesiapa sahaja boleh menjadi juara dalam membina komunikasi cemerlang ini. Syaratnya satu. Letakkan diri kita pada kasut orang yang bercakap atau mengadu. Kita terbitkan rasa empati terhadap dia. Baru kita faham dan tahu apa yang ingin dikongsikan bersama kita.
Dengan itu kita sedang membina jambatan hati dengan permulaannya kita mendengar dan meneliti kemudian kita memproses maklumat yang diterima dan diterjemah ke dalam respon diri sebagai tanda faham.
Respon kita pula antara dua. Sama ada lisan ataupun bukan lisan. Komunikasi lisan terjadi bila respon kita juga dengan bercakap. Contoh komunikasi bukan lisan pula seperti bahasa badan, bahasa isyarat, sentuhan, hubungan mata dan penulisan. Nah, saya sedang menyentuh hati anda yang sedang membaca!
Kaunseling Kelompok
Sebelum sesebuah komunikasi itu terbina antara dua individu, perkara penting yang mesti berlaku adalah mereka perlu saling mempercayai. Jika komunikasi itu awalnya ia tidak terbina dengan kepercayaan, maka segala apa yang akan ditutur dan diperdengarkan akan penuh dengan syak wasangka.
Berlarilah sejauh mana dalam komunikasi sebegitu, hakikatnya kita masih merangkak dalam kelingkungan yang sama. Segala apa yang terucap semuanya hanya manisan di bibir. Belum ada lagi madu yang tercurah dari hati. Kita tersekat tidak tertembus dengan tembok yang menghalangi kita untuk berkongsi cerita.
Segera ranapkan tembok pemisah tersebut. Jalinkan hati kita dengan manusia yang sedang kita hadapai. Binalah jambatan yang dapat menghubungkan hati kita dengan hati dia. Duduklah dalam satu kelompok untuk kita belajar bagaimana untuk berkomunikasi. Salah satu medan yang amat praktikal adalah melalui kaunseling kelompok.
Kaunseling kelompok atau istilah yang lebih popular, Smart Circle merupakan kelompok yang paling sesuai untuk kita belajar membina sebuah komunikasi yang cemerlang. Di dalam kelompok ini kita buat salah dan silap supaya kita tahu apa itu yang benar dan betul. Di dalamnya juga kita meluah dan berkongsi supaya orang lain memperoleh dan cuba untuk mempraktikkan. Kita akan dapat kekuatan setelah kita tewas dan bangkit dalam kelompok ini dan dengan kekuatan ini sedaya upaya kita akan harungi dunia luar yang penuh cabaran dengan akhirnya kita mencapai kecemerlangan.
Komunikasi dengan Allah
Itu semua komunikasi kita dengan manusia. Manusia sesama manusia. Jangan kita lupa kita ada satu lagi komunikasi cemerlang yang harus kita bina. Tidak boleh tidak kita mesti berusaha dan bekerja untuk mendapatkannya. Ya, itulah komunikasi kita dengan Allah s.w.t.
Latihan untuk memperoleh natijah komunikasi cemerlang bersama Allah adalah dengan memperbanyakkan amalan sunat. Selalulah mengerjakan puasa sunat. Bangkitlah di malam hari merintih dan meminta daripada-Nya. Banyakkan berdoa agar permintaan kita diperkenan. Bila kita punya komunikasi yang cemerlang bersama Allah, nescaya akan cemerlanglah kehidupan kita.
Oleh:
Ehmad Hamdi B Naem
Ketua Editor Majalah i-Man 3
Tahun 4 Universiti Kaherah.
1 comment:
bagus2......jom komunikasi secare kucing.....meow2....
- nak memahami bahasa tanpa bicara lagi susah.....
( aku x bace abes pon....hahaha)
Post a Comment