Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Saat ini armada kemanusiaan 'Lifeline 4 Gaza' sedang mendekat ke pelabuhan Gaza untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan berupa bahan-bahan pembinaan sekolah dan hospital, alat-alat perubatan dan ubatan serta kelengkapan sekolah umpama pensil dan buku-buku di samping bantuan pakaian dan kelengkapan rumah.
Ini merupakan armada bantuan kemanusiaan terbesar di dunia melalui jalan laut ke Gaza.
Para pendokong misi kemanusiaan ini dari seluruh dunia sedang merasai denyut nadi yang berlaku di sekitar Laut Meditrenean hari ini. Setiap detik yang berlaku adalah sejarah yang sedang terlakar. Kita mahu menjadi sebahagian daripada sejarah itu. Sebuah armada kemanusiaan bakal berhadapan dengan Syaitan Dunia Israel. Bermacam-macam kemungkinan boleh berlaku bila berhadapan dengan Israel.
Kita selaku umat Islam yang betul-betul memahami misi perjuangan saudara kita di Gaza harus terus kuat berdoa memohon kemudahan dan nusrah Allah untuk mengatasi Israel laknatullah.
Bila saya membaca berita-berita perkembangan terkini yang berlaku atas kapal banyak mengingatkan saya kepada pelayaran saya dan sahabat-sahabat dari Pelabuhan Safaga menuju ke Pelabuhan Islam Jeddah musim haji 1430H yang lepas.
Perjalanan atas laut banyak memberi kita semangat dan ingatan bahawa pergantungan kita hanya pada Allah yang Maha Kuasa. Atas laut selama 3 hari 3 malam itu cukup untuk mendidik diri supaya redha dan berserah dengan apa yang bakal berlaku di hari muka.
Dengan bekalan makanan yang terhad dan suasana kapal yang ramai orang ditambah lagi dengan ruang untuk bergerak yang terhad sebenarnya Allah sedang mengajak kita untuk lebih dekat lagi dengan-Nya.
Hari pertama atas kapal mungkin kita seronok sebab ini adalah pelayaran pertama kita. Tapi seronok itu sekejap saja, tidak sampai 12 jam pun. Dalam tempoh 2-3 jam saja sudah setiap inci kapal kita jejak.
Jadi, baki masa 2 hari setengah itu kami peuhkan dengan aktiviti berfaedah atas kapal. Riadah atas kapal.
Kami ulangkaji tertib manasik haji di samping muzakarah kelompok dan pembacaan al-quran yang berterusan. Bayangkan dalam tempoh masa 3 hari itu saja sebuah al-quran dapat habis dibaca! Dari mana datangnya kekuatan ini kalau bukan dari hati ikhlas kita yang memohon kekuatan daripada Allah.
Dua hari sudah berlalu. Hati sudah tidak sabar untuk menjejak ke bumi kembali. Tatkala kapal mula mendekat ke pelabuhan kami para hujjaj keluar ke anjung kapal dengan pakaian ihram serba putih beramai-ramai melaungkan lafaz talbiah. "Labbaikallahumma labbaik..".
Suasana ketibaan itu umpama sambutan hari kemenangan apabila Allah memudahkan urusan kami sepanjang atas laut untuk menjadi tetamu-Nya.
Harapannya, semoga seluruh anggota misi kemanusiaan ini akan dimudahkan urusan oleh Allah untuk mendekat ke Pelabuhan Gaza dan menyambut hari kemenangan mereka untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada saudara kita di Gaza sana.
Wallahu'alam.
Salam pejuangan dari Kota Kaherah!
No comments:
Post a Comment