Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Oleh : Ehmad Hamdi B Naem
yangterpujikepujiandiriku@yahoo.com
Menjawat jawatan Ketua Editor i-Man 3 menimbulkan rasa resah dan inferior dalam diri saya. Mengedit bahan yang sampai di dalam inbox ketua editor meletakkan satu beban atas bahu saya untuk melaksanakan apa yang tertulis oleh sahabat-sahabat; dan apa yang diedit.
Hakikatnya bidang penulisan tidak boleh dibiarkan lumpuh dan layu. Sudahlah rakyat Malaysia secara umumnya terkenal dengan rakyat yang malas membaca terutama kaum Melayu. Bagaimana pula nasibnya dengan bidang penulisan jika orang yang nak membaca pun tiada?
Tidak sanggup melihat budaya negatif ini terus merebak di kalangan ahli PERUBATAN, maka saya bersama-sama sahabat editor i-Man 3 yang lain tetap gagahkan diri mengedit bahan penulisan ilmiah ini untuk tatapan dan bacaan sahabat-sahabat ahli PERUBATAN sekalian.
Kalau dilihat zaman sekarang, bidang penulisan semakin mula diabaikan oleh sesetengah daripada kita. Sebahagian masyarakat lebih selesa untuk menyimpan ilmu dan pengetahuan yang ada hanya untuk diri sendiri. Sedangkan untuk berkongsi ilmu dengan kawan-kawan pun payah apatah lagi untuk menulis dan mencetak bahan tulisan itu.
Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian bahawa ilmu dan pengetahun itu tersebar tidak lain dan tidak bukan melalui penulisan. Justeru, aktiviti penulisan ini perlu disemarakkan di kalangan kita lebih-lebih lagi mahasiswa yang sedang berada dalam dunia akademik.
Menulis tidak terhad hanya kepada bahan ilmiah. Ianya juga boleh terjadi dalam bentuk penceritaan seperti penulisan cerita pendek dan karya kreatif. Kaedah penceritaan sedikit sebanyak mempercepatkan mesej yang diketengahkan untuk sampai ke hati para pembaca. Banyak moral dan pengajaran yang boleh diambil.
Menulis merupakan satu anugerah terbesar buat kita para penuntut ilmu. Ianya tidak terdapat pada manusia yang cetek akal dan kurang daya fikir. Jika golongan ini bermujahadah dengan cara kuat bekerja kenapa tidak kita yang diberi kurnia dapat memahami buku-buku medic yang tebal-tebal dan kitab-kitab arab yang berjilid tidak mahu menulis. Setidak-tidaknya sudah terlepas tanggungjawab kita untuk menyampaikan ilmu dan pengetahuan yang kita ada seterusnya berkongsi bersama masyarakat umum.
Penulisan merupakan salah satu cara kita berkomunikasi dengan masyarkat. Bila kita kata komunikasi, sebenarnya kita sedang berbicara hati ke hati dengan orang lain. Kita sedang menyentuh hati mereka.
Menulis adalah satu skill dan kemahiran. Untuk mahir dalam menulis memerlukan latihan yang sentiasa. Medan latihannya pula pelbagai. Pihak PERUBATAN telah menyediakan banyak wasilah yang boleh digunakan oleh sahabat-sahabat sekalian untuk menulis seperti penerbitan Majalah i-Man dan Tibbians. Ini belum ditambah lagi dengan penerbitan bahan bercetak di peringkat cawangan yang lebih variasi.
Kalau segan tulisan kita untuk dicetak dan diterbitkan, tulislah untuk tatapan sendiri. Kita boleh mula dengan menulis di blog peribadi, tak pun menulis diari. Tapi pastikan perkara yang ditulis itu bermanfaat. Biarlah ianya dengan gaya bahasa yang sempoi dan santai asalkan ada isi yang boleh diambil oleh para pembaca.
Akhir kata, renungkan kata-kata berikut : “Di dalam dunia, majoriti manusia hanyalah penonton peristiwa; dalam kalangan mereka yang menonton, sekumpulan kecil suka membaca dan berfikir; dalam kalangan mereka yang suka membaca dan berfikir, hanya sekumpulan kecil yang boleh menulis dengan berkesan – mereka ini mampu mengubah dunia dengan lebih berkesan.”
"Membudaya Penulisan, Memperkasa Ilmu, Menyemarak Pembacaan"
"Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati"
Ehmad Hamdi Bin Naem
Ketua Editor Majalah i-Man 3
Sayyeda Zeinab, Kaherah.
p/s : artikel ini telah disiarkan di perubatan.org pada 7 Mei 2010 Jam 21:27.
1 comment:
Nampaknya...
tulisan ini memberi kesan pada saya hari ini...
Terasa 'naive'...
Bukan senang ingin menyentuh hati manusia...
Erm, tidak mahu mencipta alasan, lebih baik perbaiki apa yang kurang...
Selamat berbakti dalam medan penulisan...
Post a Comment