Showing posts with label Perubatan. Show all posts
Showing posts with label Perubatan. Show all posts

Saturday, 27 November 2010

I-MAN 3 : Penantian Yang Penuh Debaran.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Ikuti Temubual Eksklusif wartawan mediaPERUBATAN, Nur Atiqah Mohd Hanifah bersama ketua Editor Majalah I-MAN 3.


Majalah sulung terbitan PERUBATAN buat pertama kalinya terbit pada 2008 cetusan idea Presiden PERUBATAN 10/11 Mohamad Husaini Saleh di atas kesedaran perlunya untuk membawa suara mahasiswa perubatan dalam bentuk majalah.

Dengan para pelajar di bumi juang ini pastinya teruja menantikan kemunculan majalah I-MAN (Inspiring Medical Information) edisi ketiga yang bakal mencorak pemikiran tidak lama lagi, mediaPERUBATAN membawakan temubual bersama Ketua Editor I-MAN 3, Ehmad Hamdi bin Naem, pelajar tahun 5 Universiti Kaherah bagi mengubat penantian kalian semua.

1- Majalah I-MAN terdahulunya menemui pelajar pada setiap tahun. Adakah I-MAN 3 sempat untuk menemui pelajar pada tahun 2010 ini dan boleh berikan sedikit komen mengenai kelewatan dalam pengeluaran edisi kali ini?

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Berita Biro Penerangan dan Penerbitan (BPP) PERUBATAN melalui wakilnya kerana sudi menemuramah saya selaku Ketua Editor Majalah I-MAN Edisi 3. Kesudian ini membuktikan kesungguhan Jabatan Berita BPP dalam bekerja untuk menyampaikan berita yang telus dan berkualiti kepada komuniti perubatan kita di Mesir ini.

Menjawab soalan saudari, saya jangkakan I-MAN 3 sudah boleh menemui para pembacanya Disember ini InsyaAllah. Setakat ini, I-MAN 3 sudah berada pada fasa akhir pembikinannya iaitu fasa pembacaan pruf sebelum ia dicetak.

Buat pengetahuan saudari dan pembaca sekalian, Majalah I-MAN tidak diterbitkan berdasarkan tahun pengajian. Kita (editor dan kakitangan teknikal) bekerja mengikut arahan Ketua BPP. Jadi bila mana ada permintaan daripada Ketua BPP untuk menerbitkan majalah, baru gerak kerja kita bermula.

Mengulas sedikit tentang kelewatan dalam keluaran kali ini, kami sedaya upaya bekerja keras untuk memastikan I-MAN 3 ini dapat menemui para pelajar awal Oktober lepas sewaktu kebanyakan pelajar memulakan sesi baru akademik tetapi atas beberapa sebab ianya hanya dapat dipasarkan pertengahan Disember ini. Antara punca kelewatan ini ialah terdapatnya fatrah ‘summer break’ dalam timeline pembikinan majalah dan ketandusan karya yang terbaik dari para penulis.

2- Bagaimanakah dengan kualiti karya pelajar, sejauh mana ianya memantulkan kematangan para penulis dalam membicarakan sesuatu isu khususnya yang menjadi fokus bagi I-MAN kali ini?

Dalam mesyuarat jawatankuasa yang terdiri daripada para editor dan kakitangan teknikal Majalah I-MAN 3, kami semua telah sepakat untuk memilih tajuk yang bersifat kemasyarakatan untuk menjadi fokus majalah pada kali ini. Sudah tentu, sebagai pelajar perubatan concern kita pada cabang Public Health & Community Medicine dengan spesifikasi pada Family Medicine.

Dalam komuniti pelajar Malaysia di Mesir ini kita mendominasi perkembangan penulisan artikel-artikel bersifat kesihatan. Apa yang ada di dalam I-MAN 3 ini adalah manifestasi salah satu daripada tanggungjawab sosial kita sebagai bakal pegawai perubatan untuk menjadi perantara antara masyarakat dengan perubatan.

Bercakap mengenai kematangan para penulis dalam berkarya, saya bukan insan yang sepatutnya untuk memberi nilaian. Para pembaca sendiri boleh melihat dan menilai tahap kematangan penulis dalam memperkembangkan isu yang dibicarakan apabila I-MAN 3 ini sudah berada di pasaran kelak. Cuma sebagai editor yang ditugaskan untuk mengedit karya yang sampai ke meja kerja kami, secara keseluruhannya mereka (para penulis) masih belum menampakkan satu tahap kematangan dalam penulisan yang setanding dengan kedudukan mereka sebagai seorang mahasiswa. Tapi ini tidak bermakna karya mereka tidak berkualiti.

3- Selaku Ketua Editor, apakah pembaharuan yang akan dibawa berbanding I-MAN terdahulu?

Tidak banyak pembaharuan yang dilakukan untuk I-MAN 3 ini berbanding dengan edisi-edisi yang terdahulu tetapi pembaharuan itu tetap ada.

Untuk I-MAN 3 ini, saya wujudkan Konsep Umum Majalah sebagai panduan para editor. Dengan meletakkan peratusan sebanyak 30% daripada kandungan majalah adalah berkaitan dengan perubatan ia masih menepati konsep sebuah majalah sebagai sebuah bahan bacaan yang sesuai untuk segenap lapisan pembaca. Saya memberi jaminan I-MAN 3 ini dapat memberi kepuasan kepada para pembacanya kerana ia mempunyai artikel fakta dan bahan santai yang boleh mencetuskan idea pokok bagi menggalakkan mereka untuk melakukan penyelidikan melalui pembacaan lanjut.

Selain itu, edisi kali ini menonjolkan lebih ramai editor perempuan berbanding lelaki. Saya tidak dapat mengulas panjang tentang perkara ini kerana pada awalnya sebelum jawatankuasa Majalah I-MAN 3 ini dibentuk saya telah membuka temuduga terbuka kepada seluruh ahli PERUBATAN yang berhasrat untuk menjadi editor. Dengan cara ini saya fikir adil bagi mereka kerana telah membuka peluang kepada mereka yang berminat.

Penulisan dalam setiap kolum yang disediakan juga mempunyai halatujunya masing-masing. Ia tidak diwujudkan tanpa sebab. Kami mahu anda semua sebagai pembaca mendapat manfaat dan faedah dengan kupasan isu yang diketengahkan.

4- Sebagaimana sebelumnya, para penyumbang karya di dalam I-MAN meliputi pelajar dari seluruh Mesir. Adakah corak ini dapat dilihat pada pengeluaran edisi kali ini dan apa komen saudara mengenai perkara ini dalam konteks ‘Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati’?

Ya, kita mempunyai artikel yang ditulis oleh pelajar dari seluruh Mesir. Bukan hanya dari kalangan pelajar perubatan sahaja bahkan dari kalangan pelajar pengajian Islam.

Slogan ‘Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati’ yang menjadi tema PERUBATAN pada sesi ini diterjemahkan dengan baik melalui I-MAN 3 ini. Melalui medium penulisan sebegini, golongan ilmuan mampu berbakti dengan berkongsi apa yang mereka tahu dalam bentuk penulisan selain dapat membentuk satu kesepaduan dalam memberikan pendapat dan mengutarakan pandangan.

Kalau dilihat zaman sekarang, bidang penulisan semakin mula diabaikan oleh sesetengah daripada kita. Sebahagian masyarakat lebih selesa untuk menyimpan ilmu dan pengetahuan yang ada hanya untuk diri sendiri. Ketahuilah bahawa ilmu dan pengetahun itu tersebar tidak lain dan tidak bukan melalui penulisan. Justeru, aktiviti penulisan seperti ini perlu disemarakkan di kalangan kita lebih-lebih lagi mahasiswa yang sedang berada dalam dunia akademik.

Menjadi kerugian besar bagi kita jika tidak menulis kerana ia merupakan satu anugerah yang terbesar bagi seorang penuntut ilmu. Ianya tidak terdapat pada manusia yang cetek akal dan kurang daya fikir. Jika golongan ini bermujahadah dengan cara kuat bekerja kenapa tidak kita yang diberi kurnia dapat memahami buku-buku medic yang tebal-tebal dan kitab-kitab Arab yang berjilid tidak mahu menulis. Setidak-tidaknya sudah terlepas tanggungjawab kita untuk menyampaikan ilmu dan pengetahuan yang kita ada kepada masyarakat umum. Penulisan merupakan salah satu cara terbaik untuk kita berkomunikasi dengan masyarkat.

Saya sendiri, sepanjang menjadi Ketua Editor ada membawakan tema kerja untuk I-MAN 3 ini. ‘Memperkasa Ilmu, Membudaya Penulisan, Menyemarak Pembacaan’. Bersama kita memperkasakan ilmu di dada untuk membudayakan penulisan seterusnya menyemarakkan aktiviti pembacaan di kalangan masyarakat.

5- Pada pandangan saudara, apakah kelebihan yang ada pada I-MAN milik PERUBATAN dibandingkan dengan majalah-majalah terbitan persatuan-persatuan lain khususnya di perlembahan Nil ini?

Saya pernah bekerja dengan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM) sebagai editor untuk majalah terbitan mereka; Majalah Suara Kampus Edisi Selangor (SUKSES) Edisi 1 Ogos 2008. Apa kelainan yang saya dapat nampak ialah kita (melalui Majalah I-MAN) mengulas isu pada sisi pandang lapangan kesihatan dan perihal yang berlaku sekitarnya yang tidak boleh diulas oleh mana-mana majalah terbitan persatuan-persatuan lain di Mesir ini.

Sekian, terima kasih.

Tuesday, 17 August 2010

Suturing Workshop

In The Name of Allah The Most Gracious And The Most Merciful

This morning, I was attending a workshop on how to perform a simple suture on a gap wound at A&E Dept, Tg Karang Hospital. Having a needle holder on my right hand and a tissue forceps on the left drive me a step forward on emergency medicine.

Being a doctor is not only building a relationship with patients and colleagues but also developing soft skills. On suturing a wound, as a doctor you have to bring out your inner creativity as it may have a cosmetic value later.

from left : silk (black), nylon (blue) and cat gut (brown)


simple continuous suture


this one is not mine



Suturing a wound on a face need a very small gap between every sutures and has to be removed within 5 days maximally. In contrast, a suture done on the hand will have TCA about 7 days after and even longer on palm and sole up to 10 days.

The thread used can be classified as absorbable or non-absorbable one. The only absorbable thread use is of cat gut origin. This is the one that often used during circumcision. The other type either nylon or silk.

Vocab Today:
TCA - To come again


Thursday, 13 May 2010

Mari Menulis

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Oleh : Ehmad Hamdi B Naem
yangterpujikepujiandiriku@yahoo.com


Menjawat jawatan Ketua Editor i-Man 3 menimbulkan rasa resah dan inferior dalam diri saya. Mengedit bahan yang sampai di dalam inbox ketua editor meletakkan satu beban atas bahu saya untuk melaksanakan apa yang tertulis oleh sahabat-sahabat; dan apa yang diedit.


Hakikatnya bidang penulisan tidak boleh dibiarkan lumpuh dan layu. Sudahlah rakyat Malaysia secara umumnya terkenal dengan rakyat yang malas membaca terutama kaum Melayu. Bagaimana pula nasibnya dengan bidang penulisan jika orang yang nak membaca pun tiada?


Tidak sanggup melihat budaya negatif ini terus merebak di kalangan ahli PERUBATAN, maka saya bersama-sama sahabat editor i-Man 3 yang lain tetap gagahkan diri mengedit bahan penulisan ilmiah ini untuk tatapan dan bacaan sahabat-sahabat ahli PERUBATAN sekalian.


Kalau dilihat zaman sekarang, bidang penulisan semakin mula diabaikan oleh sesetengah daripada kita. Sebahagian masyarakat lebih selesa untuk menyimpan ilmu dan pengetahuan yang ada hanya untuk diri sendiri. Sedangkan untuk berkongsi ilmu dengan kawan-kawan pun payah apatah lagi untuk menulis dan mencetak bahan tulisan itu.





Ketahuilah sahabat-sahabat sekalian bahawa ilmu dan pengetahun itu tersebar tidak lain dan tidak bukan melalui penulisan. Justeru, aktiviti penulisan ini perlu disemarakkan di kalangan kita lebih-lebih lagi mahasiswa yang sedang berada dalam dunia akademik.


Menulis tidak terhad hanya kepada bahan ilmiah. Ianya juga boleh terjadi dalam bentuk penceritaan seperti penulisan cerita pendek dan karya kreatif. Kaedah penceritaan sedikit sebanyak mempercepatkan mesej yang diketengahkan untuk sampai ke hati para pembaca. Banyak moral dan pengajaran yang boleh diambil.


Menulis merupakan satu anugerah terbesar buat kita para penuntut ilmu. Ianya tidak terdapat pada manusia yang cetek akal dan kurang daya fikir. Jika golongan ini bermujahadah dengan cara kuat bekerja kenapa tidak kita yang diberi kurnia dapat memahami buku-buku medic yang tebal-tebal dan kitab-kitab arab yang berjilid tidak mahu menulis. Setidak-tidaknya sudah terlepas tanggungjawab kita untuk menyampaikan ilmu dan pengetahuan yang kita ada seterusnya berkongsi bersama masyarakat umum.


Penulisan merupakan salah satu cara kita berkomunikasi dengan masyarkat. Bila kita kata komunikasi, sebenarnya kita sedang berbicara hati ke hati dengan orang lain. Kita sedang menyentuh hati mereka.


Menulis adalah satu skill dan kemahiran. Untuk mahir dalam menulis memerlukan latihan yang sentiasa. Medan latihannya pula pelbagai. Pihak PERUBATAN telah menyediakan banyak wasilah yang boleh digunakan oleh sahabat-sahabat sekalian untuk menulis seperti penerbitan Majalah i-Man dan Tibbians. Ini belum ditambah lagi dengan penerbitan bahan bercetak di peringkat cawangan yang lebih variasi.

Kalau segan tulisan kita untuk dicetak dan diterbitkan, tulislah untuk tatapan sendiri. Kita boleh mula dengan menulis di blog peribadi, tak pun menulis diari. Tapi pastikan perkara yang ditulis itu bermanfaat. Biarlah ianya dengan gaya bahasa yang sempoi dan santai asalkan ada isi yang boleh diambil oleh para pembaca.


Akhir kata, renungkan kata-kata berikut : “Di dalam dunia, majoriti manusia hanyalah penonton peristiwa; dalam kalangan mereka yang menonton, sekumpulan kecil suka membaca dan berfikir; dalam kalangan mereka yang suka membaca dan berfikir, hanya sekumpulan kecil yang boleh menulis dengan berkesan – mereka ini mampu mengubah dunia dengan lebih berkesan.”


"Membudaya Penulisan, Memperkasa Ilmu, Menyemarak Pembacaan"

"Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati"


Ehmad Hamdi Bin Naem

Ketua Editor Majalah i-Man 3

Sayyeda Zeinab, Kaherah.

p/s : artikel ini telah disiarkan di perubatan.org pada 7 Mei 2010 Jam 21:27.

Sunday, 25 April 2010

Lifeline4Gaza

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Lifeline4Gaza.



Kempen "LE 100 Seorang"?
Kempen "LE 100 Seorang" ini ialah satu kempen yang diadakan untuk menggalakkan para ahli PERUBATAN menderma sekurang-kurangnya LE 100 seorang ke dalam Tabung Lifeline4Gaza PERUBATAN. Walaubagaimanapun ingin ditegaskan, ini hanyalah galakan, bukannya paksaan.


Dan mengapa LE 100?

LE 100 itu mungkin kelihatan besar bagi kita, tetapi hakikatnya nilai itu hanyalah satu pecahan kecil daripada nilai yang diperlukan untuk membangunkan semula sebuah negara. Dan sama-sama kita harapkan, agar nilainya lebih besar di sisi Allah kelak, insyaAllah.

"Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha Luas, Maha Mengetahui" (Al-Baqarah 2:261)

LE100 Anda : Membina Palestina.

Sekian.

Wednesday, 10 February 2010

Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN Kali Ke-7 Di Kaherah Dibayangi Kemelut 'Pusat' dan Cawangan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-7 Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir telah berlangsung dengan kehadiran para perwakilan dari serata cawangan seluruh Mesir. Mesyuarat yang diadakan di Dewan Besar ARMA itu telah dirasmikan oleh Penasihat PERUBATAN, Saudara Muhd Zulhazmi Ahmad Zawawi.



Sepanjang mesyuarat berjalan, tiada insiden yang tidak diingini berlaku. Perjalanan majlis kelihatan lancar biarpun majlis dimulakan lewat 3o minit kerana sikap para perwakilan dan ahli yang tidak suka majlis dimulakan seawal mungkin meskipun tidak mahu majlis meleret sampai ke sebelah malam.

Pada sesi pagi, Ucapan Dasar Presiden telah dibacakan sendiri oleh Presiden PERUBATAN Sesi 08-10 Saudara Ahmad Wafi Mohd Arshad. Diikuti dengan Perbahasan Ucapan Dasar seterusnya sesi Pembentangan Laporan Aktiviti dan Kewangan oleh Setiausaha dan Bendahari Kehormat PERUBATAN.

Majlis dilihat sedikit kecoh apabila sesi Perbahasan Usul bermula pada tengahari selepas rehat solat zohor dan makan tengahari. Semua ini berpunca daripada kekalutan Unit Protokol & Disiplin dalam menguasai format serta protokol perjalanan sebuah mesyuarat agung. Namun, kekecohan ini dapat dikawal dengan baik.

Tiada isu panas yang dibangkitkan oleh perwakilan dalam mesyuarat cuma isu
MAT didominasi oleh isu perwakilan Kaherah yang sekian lama disebut-sebut kembali bergema. Semua ini berpunca daripada salah faham ahli pada istilah 'PERUBATAN Pusat' yang sebenarnya dinafikan kewujudannya oleh PERUBATAN.

PERUBATAN sekarang.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Unit Pendaftaran & Promosi MAT 7 Saudara Aysrf Mohd Zuki, perwakilan muhafazah tidak banyak menghantar usul untuk dibahaskan. Hanya satu daripada lapan usul yang diterima untuk dibahaskan datang dari cawangan.

Menurutnya lagi, ada antara perwakilan yang mendaftar tetapi tidak mengikuti mesyuarat sepanjang ia berlangsung selama sehari. Memetik kata-kata beliau, "Secara kasarnya, 10% perwakilan berdaftar tidak hadir mesyuarat pada kali ini. Nilai ini nampak kecil, tapi bila dibandingkan dengan jumlah ahli PERUBATAN keseluruhannya yang mencecah 3000 orang, ianya suatu yang tidak patut kerana kita menyediakan kerusi perwakilan yang terhad iaitu seramai 280 orang sahaja".

Mengulas set 'PERUBATAN sekarang' di atas, bulatan terbesar yang dikongsi bersama oleh empat bulatan sederhana disekelilingnya mewakili PERUBATAN. Dalam bulatan besar PERUBATAN itu terdapat tiga bulatan kecil yang secara total menjadi sebahagian daripada PERUBATAN. Bulatan sederhana yang mewakili cawangan berkongsi sebahagian daripada bulatan besar.

Set ini perlu difahami sejelasnya oleh ahli PERUBATAN seluruh Mesir. Tapi secara peribadi, set 'PERUBATAN akan datang' dibawah ini harus diteliti kembali oleh semua pihak termasuk AJKT sendiri yang memungkinkan satu jalan penyelesaian kepada kemelut PERUBATAN-Cawangan.

PERUBATAN akan datang.

Untuk akhirnya, terima kasih khas buat AJKT sesi 08-10 yang telah mengemudi persatuan selama lebih setahun. Tahniah dan terima kasih juga buat semua AJK Pelaksana MAT 7 dengan kerja yang bertungkus-lumus dan selamat bertugas diucapkan buat Mr Presiden Sesi 10-11 serta barisan EXCO. Berikut merupakan berita bergambar sepanjang mesyuarat. Sekian.






Thursday, 14 January 2010

Pendaftaran Perwakilan & Penghantaran Usul kini dibuka!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hebahan umum buat semua ahli PERUBATAN seluruh Mesir!!

Pendaftaran Perwakilan & Penghantaran Usul untuk Muktamar Sanawi PERUBATAN Kali Ketujuh telah dibuka. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam Muktamar kali ini.

Maklumat Pendaftaran Perwakilan untuk Kaherah adalah seperti berikut:

Univ Kaherah
Tahun 2, 3, & 4 : Ketua & Penolong Batch
Tahun 5 & 6 : Muhammad Nazrul Syazwan B Kamarul Ariffin (011-2216796)
Nur Izzati Bt Dzulkiflee (010-8174705)

Univ Ain Shams

Ahmad Syahir B Md Ismail (011-7746750)
Nur Farahin Bt Md Zuki (011-5584938)

Yuran sebanyak LE 10.00 hendaklah disertakan bersama-sama wakil pendaftar di atas.

Maklumat Penghantaran Usul adalah seperti berikut:

Usul hendaklah diserahkan kepada jacksterism@yahoo.com selewat-lewatnya pada 20hb Januari 2010 sebelum Jam 0000.

Emel usul hendaklah disertakan perkara berikut:
  1. Tajuk emel : Usul MAT 7
  2. Nama Penuh
  3. Universiti dan Tahun Pengajian
  4. No Tel yang boleh dihubungi


Dapatkan poster dan maklumat lanjut di http://mat.perubatan.org

Wednesday, 13 January 2010

Muktamar Sanawi PERUBATAN Kali Ketujuh

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

KAHERAH, 13 Jan - Muktamar Sanawi PERUBATAN Kali Ketujuh bakal berlangsung tidak berapa lama lagi. Dua tiga minggu ini ramai kalangan penganalis arena politik Perubatan sedang sibuk memunggah isu semasa bagi menghangatkan lagi kehadiran Muktamar Sanawi yang akan berlangsung selama sehari suntuk pada 6 Februari 2010 ini di Dewan Malaysia Abbasiah Keherah.



Mengukit Perlembagaan Tubuh Persatuan Perubatan, di bawah Fasal X : Muktamar Sanawi,

10.1 Muktamar Sanawi hendaklah dijalankan tidak lewat dari 31 Mac setiap tahun pada tarikh, masa dan tempat yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa PERUBATAN.

10.2 Muktamar Sanawi akan dijalankan oleh Jawatankuasa Muktamar Sanawi yang dilantik oleh Jawatankuasa Perubatan selewat-lewatnya 30 (tiga puluh) hari sebelum tarikh muktamar diadakan.

Justeru, Fasal X : Muktamar Sanawi dalam Perlembagaan Tubuh Persatuan Perubatan harus diteliti oleh ahli Perubatan kerna tarikh 31 Mac sudah semakin hampir.

Semalam, dengan rasminya laman web khusus untuk hebahan Muktamar Sanawi ini telah dilancarkan dan para ahli amat dialu-alukan untuk mengunjunginya di alamat http://mat.perubatan.org bagi mendapatkan maklumat terkini dan pencerahan untuk Muktamar kali ini. Ini kerana proses pengundian untuk Jawatankuasa Perubatan sesi 2010-2011 telah selesai dan kita semua sedia maklum dengan keputusannya.




Tidak mahu mengulas panjang tentang Presiden Perubatan Sesi 2010-2011, saya menyeru kepada ahli sekalian sama ada ahli di peringkat pusat mahupun cawangan untuk sama-sama hadir menjadi perwakilan ataupun pemerhati untuk mendengar amanat Presiden Baru Perubatan, Presiden Sunny yang dijadualkan bakal memberi Ucaptama pada akhir sesi Muktamar nanti.

Dalam pada itu, pendaftaran perwakilan dan penghantaran usul juga sudah mula dibuka sejak 13 Januari 2010 dan akan ditutup tepat Jam 0000 pada 20 Januari 2010. Kepada ahli yang mempunyai usul untuk dibahaskan pada Muktamar Sanawi nanti, inilah masanya untuk anda sampaikan hasrat hati anda terus kepada Penasihat Perubatan yang menjadi panel penilai kepada usul-usul yang diterima daripada ahli seluruh Mesir.

Ingin diingatkan juga bahawa dalam mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana Muktamar Sanawi Kali Ketujuh yang lepas telah sebulat suara untuk mengumpulkan cadangan daripada ahli melalui sistem bertulis atas kertas dan akan dikumpulkan dalam korak cadangan yang akan disediakan.





Hal yang demikian kerana setiap cadangan yang diutarakan oleh ahli tidak seharusnya ditolak oleh persatuan tetapi pelaksanaannya tertakluk pada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perubatan Sesi depan. Justeru, pihak pelaksana telah sepakat untuk menggunapakai sistem mengutarakan cadangan berbentuk tulisan bukan lisan tidak seperti dalam Muktamar-Muktamar yang lepas untuk memberi ruang kepada usul yang bakal dibahaskan secara panjang lebar.

Baru-baru ini dalam majlis pertemuan antara blogger-blogger Perubatan yang diadakan secara tertutup di kedai kopi belakang Istana Presiden Baru, Syarie' Syeikh Ali Yusouf, para blogger menjangkakan bahawa banyak usul bakal dikemukakan oleh ahli pada hari Muktamar nanti.

Mereka berkata demikian respon kepada Perlembagaan Tubuh Persatuan Perubatan yang ada sekarang. Selain itu, mereka juga menjangkakan bahawa banyak isu-isu semasa dan isu-isu berbangkit akan disuarakan terutama berhubung isu kebersamaan ahli dan syarat-syarat keahlian serta laporan tergempar mengenai gejala salah laku pelajar perubatan yang tersiar dalam salah satu laman berita tempatan (baca : Mesir) tidak berapa lama dulu pada Sambutan Tahun Baru 2010M.





Memetik suara salah seorang ahli Perubatan yang namanya minta dirahsiakan beliau berkata, "Muktamar kali ini seharusnya digunakan sebaik mungkin oleh ahli untuk memacu Perubatan lebih ke hadapan terutama dalam akademik dan professionalism dan Perubatan dikatakan telah memulakan dan sedang bergerak kearah itu dengan penganjuran Seminar Perubatan Kali Ketiga. Bagi saya ini suatu pencapaian yang baik dan saya harap waktu perbahasan ucapan dasar presiden perlu dipanjangkan di samping para perwakilan diharap dapat berbahas dengan penuh hikmah. Kepada para ahli, selamat bermuktamar!".

Demikian kata-kata beliau dipetik.
-hamadahamdi.blogspot.com

Saturday, 5 December 2009

Homework Tutorial

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Ini sebagai pembuka langkah. Aku baru mahu menapak dalam kreativiti baru. Adobe Photoshop CS3 aku baru berkenalan 3 hari lepas dan kelihatan kami sungguh intim!

Tak sangka kami sangat masuk antara satu sama lain. Harap-harap hubungan kami berkekalan sampai bila-bila. Dan semoga beliau juga dapat membawa aku masuk ke syurga Allah kelak.



Terima kasih juga kepada saudara yang memperkenalkan aku dengannya ini, juga saudara yang sudi mengajar tentangnya.

Doakan semoga aku sukses dalam lapangan baru ini. Sekian.

Monday, 30 November 2009

Muka surat 52 dalam I-MAN 2?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Ada apa dengan I-MAN 2 pada mukasurat 52?



Ya, I-MAN 2 sudah berada di pasaran. Tapi apa yang serba tak kena pada mukasurat 52 itu? Carilah jawapannya di dalam I-MAN 2!

Sunday, 29 November 2009

Membudaya Penulisan, Memperkasa Ilmu, Menyemarak Pembacaan’

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah I-MAN 2 telah berada di pasaran. Segera dapatkan naskhah I-MAN 2 untuk koleksi peribadi mahupun buah tangan buat teman dan saudara mara tersayang. Jangan lepaskan peluang membaca kandungan I-MAN 2 ini kerna isinya lebih segar, sedegar buah yang baru dipetik. Cepat kunjungi Biro Ekonomi anda terdekat untuk dapatkannya. Pastikan ia masih ranum tatkala anda membeleknya!



Seminar PERUBATAN kali ke-3 juga bakal menemui anda sekitar Februari ini. Sebelum kita berseminar untuk kali ketiganya, ayuh bersama kita hadamkan kertas kerja untuk Seminar PERUBATAN kali ke-2 : Kelahiran & Kematian. Dengan pembukuan semula kertas kerja tersebut memudahkan anda untuk membaca dan membuat rujukan di masa akan datang!

Wednesday, 12 November 2008

nomination

Bismillah..
Alhamdulillah..
sekitar minggu penamaan calon
AJKT Perubatan 08/09


-vote a.wafi-