Ramadhan di Malaysia dimanfaatkan sebaiknya.
Meskipun dalam keadaan berpuasa, kehendak untuk menjejakkan kaki buat kesekian kalinya ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini tidak dapat dihalang. Bila hati kata mahu, semua pun boleh. Tambahan pula hati terasa ingin sekali merasai kelainan Ramadhan di sana.
Kita orang pantai barat selalu dengar orang kata Ramadhan di pantai timur disambut sangat meriah, lebih meriah dari sambutan Aidilfitri walaupun orang pantai timur sendiri kata tak ada beza sangat pun. Rasa tak puas hati pula. Jadi tiket bas dibeli untuk merasai sendiri suasana perayaan madrasah Ramadhan di sana.
Tempoh masanya sekejap. Cuma 2 hari 2 malam. Ditambah perjalanan pergi waktu malam. Perjalanan pulang waktu siang. 3 hari jumlahnya.
Bas dari Klang Sentral bergerak pukul 9 malam. Ketibaan di stesen bas Kota Bharu pada jam 4.45 pagi disambut oleh Nasrullah. Sesudah menjamah sahur dan solat subuh di rumahnya, kami menunggu hari siang.
Jalan kali ini bukan sebarang jalan. Jalan bukan untuk berjalan-jalan tapi jalan untuk menjiwai suasana. Justeru bukan calang tempat akan dituju.
Hari siang, kami ke toko buku. Tak perlu diperkenalkan lagi, seluruh rakyat Kelantan pasti tahu akan toko buku yang satu ini. Letaknya di Jalan Dato' Pati, toko yang menjual bermacam-macam jenis batik, alat-alat peribadatan, minyak attar, jamu-jamu orang bersalin berpantang, kaset-kaset agama, al-Quran serta kitab-kitab agama ini tidak surut dari kunjungan para pelanggan.
Dengan keluasan dua pintu rumah kedai, bermacam-macam jenis buku boleh didapati di sini. Oh, ya itulah dia Syarikat Jaffar Rawas. Beribu judul buku yang hendak dibeli, naik serabut kepala memikir tajuk buku yang sesuai untuk dibawa pulang. Bukan di pantai barat buku-buku itu tidak wujud. Tapi dek mahu merasai suasana itu yang mengatasi segalanya.
Destinasi seterusnya yang dituju adalah Pasar Besar Kota Bharu atau nama glamournya Pasar Siti Khadijah. Seperti pasar-pasar basah yang lain, segala keperluan runcit boleh didapati di sini. Tingkat bawah pasar ikan dengan pasar sayurnya di central atrium. Tingkat satu keperluan dapur seperti bawang, budu dan sebagainya. Tingkat dua pasar/gedung kain terutama batik dan baju kurung. Tapak pasar buahnya pula yang masih dalam pembinaan disisip belah kanan pintu masuk utama pasar.
Hari petang. Solat zohor di Masjid Pasir Mas. Kami ke rumah Muzakkir. Dari sana kereta dipandu menuju pekan Rantau Panjang kira-kira 20 minit perjalanan dari Pasir Mas. Pekan Rantau Panjang merupakan antara pintu masuk utama rakyat negara jiran Thailand untuk ke Malaysia. Sasaran kami adalah Pasar Besar Rantau Panjang.
Berbeza dengan Pasar Besar Kota Bharu, pasar ini menjual pelbagai jenis pakaian. Pasar yang terletak dalam zon bebas cukai ini menawarkan berbagai barangan pada harga yang sangat memuaskan. Sewaktu kunjungan, kelihatan orang ramai tidak kira warga Malaysia mahupun warga jiran membeli-belah di sana untuk persiapan berbuka puasa dan persiapan Aidilfitri.
Perjalanan pulang kami singgah di masjid pertama yang dibina dengan seni bina masyarakat Cina di Malaysia. Dalam perjalanan menuju Rantau Panjang, Akir bertanya kami, Ini apa ehmad? Tokong Cina la. Bukan.
Tarawikh malam ke-14 Ramadhan didirikan di Qaryah Ramadhan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV. Solat tarawikh diimamkan oleh seorang syeikh yang didatangkan khas dari Mesir. Suasana bertarawikh di Mesir menerjah ingatan apabila mendengar sayup bacaan syeikh ketika solat.Malam menutup hari.
Hari esok Jumaat. Seawal jam 8.30 pagi kami keluar rumah bergerak mengikut arus pergerakan orang ramai ke suatu tempat yang sinonim dengan panggilan Dataran Ilmu. Ia terletak di hadapan toko buku SJR di Jalan Dato' Pati. Terdapat kuliah umum sedang berjalan sewaktu kami tiba. Kuliah disampaikan oleh Ustaz Mohd Asri B Daud. Kira-kira jam 9.30 kuliah beliau selesai, diganti pula dengan kuliah umum oleh TG Dato' Nik Abd Aziz B Nik Mat.
Dalam pada kami bersesak dengan orang ramai yang kunjung berbelanja sambil mendengar kuliah yang disampaikan, mata kami terliar mencari sesusuk tubuh Muzakkir. Kami berjanji ingin ketemu di sana. Seusai kuliah kami pulang bersiap untuk solat Jumaat di Masjid Muhammadi.
Selepas solat Jumaat, kereta dipandu menuju Melor. Setengah perjalanan, kami singgah mengambil Abd Rahman di rumahnya.Perjalanan diteruskan. Destinasi kali ini ialah sebuah rumah menghadap sebuah tali air. Ketika menghampiri pagar rumah tersebut, Pokdi menelefon mahu turut serta.
Ketibaan di rumah menghadap tali air disambut oleh seorang anak kecil yang menjerit 'Ammu..ammu..!!' sambil ayahnya tersenyum menuggu di bibir tangga rumah. Abu Fateh dan Fateh telah menanti kami sejak lepas solat Jumaat lagi.
Khabarnya Fateh yang masuk 3 tahun Oktober ini kelihatan sangat ceria sejak pulang dari Mesir. Begitu juga halnya dengan Syaimaa'. Mungkin kerana mereka berdua baru mendapat adik baru, Abdullah Adam. Mungkin juga dapat bersama tok wan mereka. Tapi yang paling gembira saatnya itu, itulah aku. Hampir 6 bulan tidak ketemu mereka anak-anak kecil ini.
Bual saran borak kritik kami sehingga masuk waktu Asar. Malam sekali lagi Tarawikh di Qaryah Ramadhan. Tapi malam itu lagi sayu. Pengerusi majlis menghebahkan bahwa isteri imam tarawikh syeikh dari Mesir itu meninggal dunia. Seusai solat sunat tarawikh, diadakan solat jenazah ghaib yang diimamkan sendiri oleh suami allahyarhamah. Allahummaghfirlaha warhamha wa'afiha wa'fu'anha.
________________________________________________
Mungkin ramai sudah merasai pasal trip kali ini. Apapun ini yang aku rasa dan aku alami. Selamat berkongsi~
5 comments:
salam,
ehmad..hati yang kosong terasa puas dan penuh dgn cerita yang di bawa dari negeri yang amat dirindui dan di cintai..seronoknya.
terima kasih atas perkongsian. tambahan mnjeleskan melihat fateh n syaimaa' isk..rindu mereka~
slmt meneruskan sisa Ramadhan yg terakhir..
p/s : blaja kecek klate ko dok g klate nih =p
AsraR~
sama-sama.
kongsi itu perlu. kadang kita rasa begini. tapi orang lain, rasa dia pun lain. seronok sebenarnya berkongsi ni.
jawa tak boleh masuk dgn klate. tapi bole je paham.
update2 lagik..aku nak bace pos2 'keji' ko..haha
Post a Comment