Saturday 16 May 2009

16 Mei

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang


Kehadiran tarikh yang cukup membekas di hati, 16 mei amat ditunggu-tunggu saban tahun. ini adalah tarikh keramat buat warga pendidik. dengan tarikh ini sepatutnya dapat memberitahu kita tentang asal mana kita datang dengan kita hari ini.

saya sungguh sebati dengan tarikh ini kerana saya dibesarkan dalam suasana keliling pendidik. jiran kanan guru sains, jiran kiri pengajar sejarah. abah seorang cikgu. mak seorang ustazah. justeru, saya lebih cenderung untuk meraikan 'Hari Guru' lebih dari hari bapa dan hari ibu.

sajak buah tangan usman awang untuk warga pendidik bertajuk 'guru o guru' saya hafal kemas. biar pun tidak berkesempatan untuk mendeklamasikannya di khayalak penonton ketika majlis sambutan hari guru peringkat sekolah, namun cukuplah sekadar mulut ini melafazkan bait-bait sajak tersebut untuk didengar oleh hati kecil sendiri.



emak dan abah



Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku

Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979



saya juga tidak ketinggalan untuk mencoretkan sesuatu di sini buat pendidik utama saya iaitu abah, cikgu naem b ismail dan emak, ustazah norhayati bt hj. yunus. walau saya tidak punya bakat untuk menukil, saya tetap mahu menulis.


emak,
lahirku ke dunia,
dalam selendang kasih sayang mu,
aku membesar dengan belai cinta mu.


abah,
aku di sisimu,
anak buah yang paling setia,
kalam mu penunjuk cara,
peribadi mu wibawa,
kaulah guru paling setia.



hari itu,
kalian bawa ku lihat bintang,
untuk aku kenal Pencipta,
kalian bawa ku daki bukit,
agar aku berjaya menawan gunung.


hari ini,
kita terpisah berlainan benua,
aku di sini kerana ilmu,
kau masih setia menunggu,
tak pernah jemu mengutus doa,
tak pernah kenal apa itu lelah.


emak dan abah,
ketahuilah,
pena ku ini menari dalam irama sendu,
berinjak penuh rindu,
menapak ke kanan,
ku tatap wajah abah,
menapak ke kiri,
ku renung muka emak.


Tuhanku,
kasihilah mereka,
sebagaimana mereka mengasihi ku,
sayangilah mereka,
selama mereka hamba kepada-Mu.


Selamat Hari Guru,
emak, abah!

hamadahamdi
kaherah
16 mei 2009

2 comments:

Thaaqhib Mohammed said...

erm!! saya suka gaduh dengan cekgu, sbb pastu leh rapat balek..

cekgu saya, saya punya!

Eng Einy said...

jiwangnyeh emad! tapi dua2 puisi tu aku suka..

selamat hari -hari !!