Thursday, 26 November 2009

Khutbah Arafah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hari ini 9 Zulhijjah 1430H. Genap setahun lalu, saat ini aku berada di Sahah Arafat. Perjalanan pagi dari Mina menuju Arafah dengan berjalan kaki merentasi Lembah Uranah untuk ke Masjid Namirah datang menerjah ingatan. Pagi itu, selepas mabit sunat di Mina pada malam 9 Zulhijjah, kami bergerak bersama jutaan lagi manusia untuk ke destinasi satu. Arafah. Sabda Nabi s.a.w : Haji itu Arafah.

Tiada haji tanpa Arafah. Tidak boleh tidak bagi seorang jemaah haji untuk berkumpul di Arafah pada siang 9 Zulhijjah. Jika tidak tiada haji baginya.

Arafah, sahah tempat jutaan manusi berkumpul. Memohon keampunan Ilahi, moga diberi kekuatan sejati menegak iman dalam diri, mujahadah melawan nafsi. Tempat sekalian umat bertemu, dari timurnya dunia hingga ke baratnya. Memijak buni yang satu pada hari yang satu. Niat mereka juga satu, mensuci diri kembali pada Allah. Moga memperoleh haji yang mabrur.

Tengahari di Arafah ada khutbah sebelum solat zohor. Sejak awal sampai di Arafah sekitar jam 10 pagi kami terus menuju perkarangan dewan solat utama Masjid Namirah, masjid yang hanya diguna sekali dalam setahun. Hanya pada 9 Zulhijjah. Sewaktu tiba, masjid sudah lebih separuh terisi dengan jemaah. Dalam masjid sendiri ada sempadan Tanah Haram dan Tanah Halal. Kami perlu ke Tanah Halal untuk mendengar khutbah. Kemudian selepas gelincir matahari baru kami menuju Tanah Haram.




Berikut isi kandungan khutbah yang disampaikan oleh khatib di Masjid Namirah. Isi yang sama dengan Khutbah Arafah yang disampaikan oleh Nabi s.a.w pada 9 Zulhijjah Tahun 10H di tempat yang sama.

"Wahai kaum manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sebagaimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikanlah harta yang diamanahakan kepada kamu kepada pemilik yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu. Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan. Dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba'. Oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Sesungguhnya syaitan telah berputus asa menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar. Maka berhati-hatilah agar kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara yang kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak keatas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah kamu terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu keatas mereka adalah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan mereka dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari semalam, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara terhadap muslim yang lain. Kamu semua adalah sama. Tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh. Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan ke atas apa yang telah kamu kerjakan. Oelh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara dan jika kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya iaitu Al-Quran dan Sunnah. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain. Semoga yang terakir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah bahawasanya aku telah menyampaikan!"

No comments: