Tuesday, 26 January 2010

Pembinaan Karektor Muslim

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Dalam Berita Harian Online, ada satu berita dari Sintok, Kedah yang bertajuk 'Fokus pembangunan karektor pelajar : Dr M'.

Dalam ucaptama Dr M pada Kolokium Pendidikan Negeri Kedah anjuran Persatuan Kecemerlangan Pendidikan Negeri Kedah di Dewan Muadzam Shah UUM Selasa lalu, beliau menyarankan agar pendidikan berteraskan pembinaan karektor pelajar harus dilaksanakan secara formal di sekolah bagi melahirkan generasi yang berilmu dan berakhlak dalam negara Malaysia pada masa depan.

Saranan ini ditujukan buat guru-guru yang mengajar sama ada di sekolah rendah mahupun menengah terutama guru mata pelajaran agama. Pelaksanannya pula perlu diterapkan secara formal di sekolah bagi membantu para pelajar untuk memahami kehendak negara dan umat terhadap apa yang mereka pelajari terutama apa yang baik dan yang buruk supaya jika mereka menjadi bijak satu hari nanti, ia akan menjadi insan berguna.

Kalau setakat bijak tapi tidak berakhlak ia tidak berguna bahkan satu kerugian kepada negara. Kita mahu sistem pendidikan nasional mampu membentuk generasi yang seimbang dari segi pendidikan dan nilai diri.

__________________________________________________

Demikian ulasan ucaptama Dr M tentang pembentukan karektor pelajar sewaktu di bangku sekolah.

Sekarang mari saya bawakan sedikit perkongsian hasil pembacaan saya dalam buku 'The Muslim Family in The Contemporary World' (Al-Usrah Al-Muslimah fi Al-Alam Al-Muasir) tulisan Prof Dr Wahbah Al-Zuhaili.

Di bawah subtopik Pendidikan Anak-anak, Dr Wahbah ada menggariskan sekitar 13 cara didikan dan pengajaran oleh seorang ketua keluarga terhadap anak-anaknya. Tempoh atau marhalah ini merupakan satu marhalah pembentukan karektor muslim bagi seorang anak bermula dari early neonates sehingga ia besar sampai waktu dia akan berumahtangga menjadi seorang ibu ataupun ayah.


Semoga Aku Jadi Seorang Ayah Yang Baik Satu Hari Nanti

Berikut merupakan didikan dan pengajaran yang telah Prof Dr Wahbah gariskan bagi ibubapa membentuk karektor seorang muslim dalam jiwa anak-anak mereka:

1. Tarbiah Keimanan/Ketauhidan
Menerangkan dan memupuk aqidah yang sah dan iman yang sempurna.

2. Tarbiah Jasmani
Melatih anak-anak untuk membina tubuh badan yang sihat dan kuat dalam menggalas tanggungjawab yang bakal dipikul.

3. Mengajar tentang Ibadah
Ibadah merupakan terjemahan kepada keimanan kita kepada Allah s.w.t.

4. Mengajar Bahasa Arab atau selainnya daripada Ilmu yang Bermanfaat
Bahawa Bahasa Arab itu adalah kunci untuk muslim memahami Al-Quran, maka sebaiknya seorang anak itu diajarkan bahasa yang dengannya dia dapat memahami serta melaksanakan apa yang terkandung dalam Al-Quran.

5. Memupuk Akhlak yang Terpuji
Akhlak yang terpuji menandakan kesempurnaan sahsiah dan pembinaan jiwa.

6. Tarbiah Rohani
Ibubapa harus membantu anak-anak dalam membina dasar rohani yang kuat untuk mencapai tahap khasyatullah dan supaya hati lembut untuk menitiskan air mata tatkala dibacakan ayat-ayat Allah dalam Al-quran.

7. Tarbiah Kemasyarakatan
Anak-anak harus didedahkan dengan kehidupan bermasyarakat yang kian pupus akibat arus zaman terutama pada kehidupan berjiran.

8. Mengajarkan Ilmu Kemahiran
Perusahaan adalah kunci untuk aman dari kefakiran. Oleh yang demikian, ajarkan anak-anak kita ilmu pertukangan, asas jahitan, asas bercucuk tanam dan juga asas teknologi kerana cabang ilmu ini merupakan fardhu kifayah kepada kita semua.

9. Tarbiah Jiwa dan Emosi
Iaitu membantu anak-anak membina jiwa keinsanan serta kaedah mengawalnya antara suka dan marah, gembira dan sedih, dan kelazatan dan kesengsaraan.

10. Tarbiah Akal
Membantu anak-anak membina tapak asas yang kukuh terhadap kehendak dan fikiran mereka menurut ajaran Islam kerana dengan akal ini manusia dibezakan dengan haiwan.

11. Tarbiah Kesihatan
Meningkatkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan badan, persekitaran kerana kebersihan dan kesihatan itu amat dituntut dalam Islam.

12. Tarbiah Kecantikan
Sesungguhnya Allah s.w.t telah menjadikan manusia ini dalam sebaik-baik kejadian, maka kita manusia seharusnya menghiasinya dengan kecantikan dan kekemasan akhlak.

13. Tarbiah Jantina
Memahami perbezaan antara lelaki dan perempuan terutama apabila anak-anak memasuki umur baligh yang mana anak lelaki harus dipisahkan dari anak perempuan.

Maka ketahuilah bahawa setiap anak yang dilahirkan ke bumi ini ibarat sehelai kain putih. Kitalah (ibubapa) yang menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi. Sebelum kita melangkah ke alam keibubapaan, eloklah kiranya kita persiapkan dulu ilmu dan bekalan kita sebagai persediaan untuk kebaikan anak-anak, generasi harapan yang telah dijanjikan.

Buat sahabat-sahabiah yang bakal diijabkabulkan winter break ni, Selamat Pengantin Baru diucapkan. Semoga berbahagia selalu!

2 comments:

lyannayahya said...

Salam,Ehmad.

Tanggungjawab kita untuk membentuk generasi akan datang dengan cabaran-cabaran yang ada kini,sangat besar.

Dalam kondisi sekarang.kita pun perlu mempersiapkan diri.Perlu lebih proaktif.

Terima kasih atas perkongsian yang sangat bermanfaat.

=).Moga Allah merahmati kita semua.

dabei said...

ilmu yang bermanfaat memang sentiasa menjadi perkara yang paling seronok+puas utk dikongsi.

perkongsian yg sangat bersesuaian dgn kondisi di mesir la nih :0

sahabat2ku...selamat bertebaran belajar erti kehidupan dan keredhaan Tuhan...