Thursday, 29 October 2009

Taman Negara Bako


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyaya
ng



Kalau sebelumnya bicara sekitar Lambir Hill National Park, kali ini giliran Taman Negara Bako pula.


ishaque ...



dan karya seninya..


Kedua-duanya adalah Taman Negara. Tapi apa bezanya? Pasti berbeda. Taman Negara Bako merupakan taman negara yang tertua di Sarawak. Mula diwartakan sebagai sebuah taman negara pada tahun 1957, ianya terletak 37 KM perjalanan darat dari Kuching.




Walaupun ia terkenal sebagai sebuah taman negara terkecil di Asia Tenggara, namun ia mempunyai hampir kesemua jenis tumbuhan yang terdapat di Borneo. Untuk sampai ke taman negara ini, pengunjung perlu menaiki bot dari Kampung Bako dengan perjalanan selama kira-kira 20 minit.


jalan mana harus ku tuju


Di sana, pengunjung disediakan lebih bilangan trek jika dibandingkan dengan Taman Negara Bukit Lambir. Antara trek yang disediakan adalah seperti Telok Tajo Beach (4KM), Tanjung Rhu (4.3KM), Tajor Waterfall (3.5KM), Lintang Trail (5.8KM), Telok Pandan Besar Beach (1.9KM) dan trek pilihan kami adalah Telok Pandan Kecil Beach (2.6KM).



Sebuah taman negara yang sangat menarik. Bak kata tuan rumah, Najib Wak, "Taman Negara Bako ini adalah satu pakej lengkap untuk peminat sebuah taman negara seperti kalian". Kenyataan ini didasari dengan perjalanan untuk ke terminal taman negara saja kami perlu menaiki bot. Kemudian sampai di HQ kami dihidangkan dengan mangrove forest yang memacak ratusan benih bakau. Bukan tak pernah jumpa bakau tapi terasa pakej sebuah taman negara yang sangat berbaloi.


mungkin simbol dua jari pada kedua tangannya bermaksud 'berbaloi'



Sebelum meneruskan penjelajahan, kami berhenti di sebuah papan tanda yang terletak di trek utama untuk memilih trek yang bakal dijelajahi. Akibat kesuntukan masa, kami terpaksa memilih trek Telok Pandan Kecil Beach sejauh 2.6 KM yang mana penghujungnya nanti kami akan bertemu dengan sebuah telok yang menghamparkan pantai menghijau.


Pantai Telok Pandan Kecil


Awal penjelajahan, kami mendaki bukit setinggi 500M dari aras laut. Ketahanan fizikal kami teruji apabila terpaksa menempuh laluan berbukit sejauh kira-kira satu kilometer lebih. Namun apapun halangannya kami tetap bersemangat untuk meneruskan penjelajahan.


proses luluhawa selama berjuta tahun lamanya




'ingat, jalan mesti ke hadapan, bukan ke belakang!'



berehat sebentar bersama Nikon


Sesampai di puncak bukit, trek menjadi rata untuk beberapa ratus meter ke hadapan. Kemudian kami menghampiri 300 meter terakhir trek dan kami dapati satu pemandangan laut yang cukup mengagumkan pada sebuah hamparan batu besar dengan permukaannya yang tidak rata tapi membentuk corak yang sungguh menarik hasil daripada proses luluhawa semulajadi alam. Umpama hamparan batu memandang ke pantai di sebuah pulau gugusan Kepulauan Belitung yang menjadi tapak untuk sang Lasykar Pelangi melihat pelangi.


lasykar agama


Lantas kami beramai-ramai mengabadikan potret diri berlatar belakangkan Laut China Selatan. Penjelajahan diteruskan dengan kami menuruni bukit untuk sampai ke matlamat kami iaitu Pantai Teluk Pandan Kecil.

Menuruni bukit juga bukanlah semudah yang disangkakan. Dengan anak tangga merupakan akar pokok yang menjalar, ditambah dengan daun kering yang gugur membasah menyerap embun, langkah kaki kami terkadang terlajak sedikit. Akhirnya kami sampai di pantai.

Niat di hati mulanya tak mahu mandi. Melihat gelagat seorang rakan yang bersama-sama memandikan kamera digital dan telefon tangannya, kami sepakat mahu terjun bersama. Keletihan bersuka-ria dengan air masin pantai, kami menyewa sebuah bot untuk pulang ke HQ.


saat sebelum kamera dan telefon tangan dimandikan


Dari HQ untuk ke terminal sekali lagi kami menaiki bot. Dalam perjalanan pulang, hujan lebat mula turun. Tatkala itu juga, kami baru memulakan perjalanan pulang menaiki bot. Jauh di sudut hati, risau. Tapi terselit juga rasa syukur dan gembira dapat menikmati hujan lebat di tengah lautan luas dalam sebuah bot seramai 9 orang termasuk pakcik awak-awak seorang. Itulah dia pakej Taman Negara Bako yang tak dapat kami lupakan. Kenangan itu terlalu indah untuk dibicara dengan mulut. Malamnya kami terpaksa berkejar tiket pulang ke semenanjung menaiki AirAsia. Kami berlepas pulang jam 0035 dari Kuching biarpun terlewat 2 jam dari jadual penerbangan sebenar.








adakah aku ditinggal seorang diri di sini?

Sunday, 25 October 2009

Lambir Hill National Park


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyaya
ng


Lambir Hill National Park


Lambir Hill National Park. Sebuah Taman Negara yang terletak berhampiran dengan Bandaraya Miri, Sarawak. Bertepatan dengan namanya, bentuk muka bumi Taman Negara ini adalah bukit-bukau.


trex~



senyum tetap terukir walau keringat membasahi tubuh mendaki-menuruni bukit


Pihak pengurusan Taman Negara telah menyediakan sebilangan trek untuk laluan para pengunjungnya. Trek-trek yang disediakan begitu mesra pengguna. Dari sependek-pendek trek sepanjang 1.3 KM sehingga sepanjang-panjang trek sejauh 5.2 KM. Dalam banyak pilihan trek-trek tersebut, terdapat tiga atau lebih trek yang menuju ke air terjun. Antara air terjun yang sempat kami singgah adalah Latak Waterfall dan Nibong Waterfall.


bersiap untuk berkelah~



nibong waterfall



Taman Nagara ini merupakan sebuah tempat percutian yang menarik untuk dikunjungi kerana bukan sahaja menambah pengalaman kita meredah hutan bahkan merasai sendiri kenikmatan menaiki dan menuruni bukit di tengah belantara sambil mata dihidangkan dengan pelbagai jenis flora dan fauna yang amat jarang untuk kita temui.


be ware of underwater current



"kita kat sini kot.."



Meski air yang terjun hanya beberapa titis namun hati puas dapat mandi keringat



spesis flora yang ditemui



Latak Waterfall



riang-ria air terjun



semua gumbira



kami pulang dulu~

Tammat. Nanti-nanti kami kongsi lain-lain Taman Negara pula.

Tuesday, 22 September 2009

Aidlfitri 1430H

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

"Keluputanku sing akeh-akeh lahir dan batin,
Salah silap jalok ngapuro wak…."

"Yo wes podo-podo. Salah silapku jalok ngapuro…."

pagi 1 syawal


Inilah dialog atau ungkapan salam Aidilfitri kalangan orang-orang Jawa, tak kira Jawa Tg. Karang ke, Jawa Parit Sulong ke ataupun Jawa Sg. Lang. Semua menggunakan ungkapan yang satu ini.

Dialog ini akan kita dengar apabila tetamu mahu beredar mengundur diri pulang berziarah sambil bersalaman tanda kemaafan. Kelibat yang muda akan mencari yang tua kerna sudah satu tradisi barangkali atau memang itu adab pun yang muda bertandang ke rumah yang tua.


Pada ketika inilah kami anak-anak Jawa generasi baru terpinga-pinga mendengar ungkapan yang disebut antara ibu bapa dengan nenek saudara mereka ataupun sesama mereka adik-beradik sambil tangan terhulur tanda kemaafan.



bujang abah


Mula-mula dengar memang gelak sakan tapi bila sudah lebih 20 tahun beraya, ibu bapa akan mengungkap dialog yang sama, pada masa sama kami telah terlekat dengan dialog ini, jadi timbul satu keinginan untuk mengetahui maksud ungkapan nan siji ini.


_______________________________________________

Aidilfitri kali ini di Malaysia. Seperti biasa ianya disambut di Lorong Masjid 1, Kg Seri Tiram Jaya. Di sinilah 1 Syawal akan disambut saban tahun. Tak seperti orang lain yang terpaksa bersilih-ganti tempat rayanya. Tahun ini di kampung ayah, tahun depan pulak ke kampung ibu. Begitulah putarannya. Cuma giliran itu akan terganggu jika ada emergency case seperti tok wan kurang sihat dan sebagainya.


Bercakap pasal 1 Syawal ini, abah berulang kali cakap yang Hari Raya itu satu hari. Ya, satu hari sahaja. Cuma orang Melayu sahaja yang sesuka hati kata, "raya ke-5 nanti I buat open house. Datang la ye.." atau yang lebih dahsyat lagi "tak sempat la nak buat open house awal-awal, banyak sangat jemputan. Rumah I open raya ke-45 ye..".



erti 1 syawal bagi amira (depan) dan famili



Bulan Syawal sudah diganti dengan bulan raya. Patut Syawal ke-3 tapi jadi raya ke-45. Ditambah lagi raya telah ditempah oleh stesen television tempatan yang berlumba-lumba menyiarkan filem-filem hangit di pasaran. Habis anak beranak berlonggok depan tv berjam-jam. Dari pagi sampai ke lewat malam. Hilang habis berkat malam raya. Takbir yang bergema tenggelam dengan dendangan lagu raya di tv dan radio. Penghayatan konsep sambutan Aidilfitri telah dilarikan jauh-jauh oleh agen-agen hiburan.


______________________________________________


Hati sedikit terubat bila rumah ditandangi sanak-saudara dari merata Malaysia. Ada yang datang sejauh lorong sebelah. Ada juga yang datang dari Klang. Tak lupa juga saudara-saudara yang bertandang dari sejauh Sepang dan Johor. Tetamu-tetamu ini datang bersama rahmat.



syawal bersama qamarul (kena tembak) dan famili


Walaupun penat menyediakan juadah untuk tetamu yang kunjung tiba pulang berganti, biarpun letih melayan mereka yang datang dari jauh tapi kehadiran anak buah yang ramai menceriakan suasana. Ada rengek tangis bayi, ada juga tawa rinag si anak kecil. Sungguh meriah.

Mungin inilah bezanya beraya di Malaysia dengan beraya di Mesir.


_____________________________________________


Jadi, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat hari Raya Aidilfitri, Maaf zahir dan Batin.

Dalam kerendahan hati, ada ketinggian budi.
Dalam kemiskinan harta, ada kekayaan jiwa.
Dalam kelembutan lidah, ada juga keterlanjuran kata.
Dalam gurau dan senda tentu ada khilaf dan dosa.