Senario politik dunia berubah dengan sangat mendadak dua tiga hari kebelakangan ini. Bermula dengan Kebangkitan Jasmin (Jasmine Revolution) yang berlaku di Tunisia, krisis perlantikan Perdana Menteri Baru Lubnan, kini beribu-ribu rakyat Mesir berhimpun memprotes untuk menjatuhkan kepimpinan regim Mubarak di Medan Tahrir (Liberation Square) di tengah ibukota Kaherah.
Para pendokong demokrasi di Mesir mula mengumpul kekuatan manusia untuk bersama-sama menyampaikan hasrat mereka untuk menggulingkan kerajaan Mesir seawal pagi 25 Jan lalu yang berbetulan jatuh pada hari cuti umum sempena Hari Polis. Mereka memprotes kepimpinan diktator Regim Mubarak dengan pelbagai sebab antaranya kenaikan harga barang keperluan asas, amalan korupsi dan brutaliti pasukan polis.
Sambil berarak di jalan-jalan utama di tengah Medan Tahrir, mereka melaungkan slogan anti-Mubarak, "Berambus Mubarak" dan "Jatuhkan Mubarak". Rata-rata rakyat Mesir terutama golongan muda berani tampil menyatakan hasrat hati yang terpendam sejak sekian dekad dengan berarak beramai-ramai di jalan-jalan kerana terinspirasi dengan semnagat kebangkitan yang berlaku di Tunisia biarpun diasak oleh polis. Kementerian Dalam Negeri Mesir ada mengeluarkan kenyataan beberapa hari sebelum protes ini berangsung selepas menyaksikan tumbangnya pemimpin Tunisia bahawa Kebangkitan Jasmin tidak akan menular ke segenap muhafazah di Mesir.
Berbalik ke tanah air tercinta, dengan kehadiran PRK N.05 Tenang yang akan berlangsung hujung bulan ini saya menyeru kepada para pengundi di Dun N.05 Tenang supaya menggunakan medium pilihanraya ini dengan sebaiknya untuk memilih pemimpin kita. Kalau rakyat di Tunisia dengan kebangkitan yang dilakukan oleh mereka boleh menumbangkan kerajaan Ben Ali saya yakin ia juga boleh berlaku di Malaysia. Bahasa undi merupakan satu bahasa politik yang terbaik untuk digunakan di Malaysia.
Saya kini sedang dikelilingi oleh semangat rakyat Mesir yang inginkan perubahan dengan turun beramai-ramai ke jalan-jalan menuntut satu gelombang kebangkitan dengan menggesa untuk menjatuhkan pemimpin mereka yang tidak dapat memberi keselesaan ekonomi dan keadilan sejagat terhadap rakyatnya. Untuk rekod, hampir 40% rakyat Mesir mempunyai purata sara hidup sehari atas sikit daripada paras kemiskinan iaitu USD2 sehari.
No comments:
Post a Comment