Sunday, 15 May 2011

Selamat Hari Guru SeMalaysia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Esok; atau hari ini untuk yang telah melewati jam 0000, 16 Mei 2011 adalah Hari Guru SeMalaysia dan Hari Bahagia (HB) untuk Abou Hani.

Saya tidak akan pernah lupa tarikh keramat ini kerana saya tidak akan berpijak di bumi yang menjadi kediaman saya ini tanpa guru. Dan kerana dua orang guru ini juga yang saya sangat terhutang jasad dan nyawa pada mereka iaitu Cikgu Naem B Ismail dan Ustazah Norhayati Bt Hj Yunus, kedua orang tua saya yang juga seorang guru.


Selamat Hari Guru untuk mak dan abah!

Saya dedikasikan luahan hati saya ini buat kedua ibubapa saya, serta semua guru yang pernah mendidik dan mengajar saya sejak di Tadika KEMAS (Pn Ainon), Takis Kuala Selangor (Pn Sabariah), SK Bandar Baru Kuala Selangor (Pn Norlela Bt Abu Bakar, Pn Azura, Teacher Kandhi dll), SRA Bandar Baru Kuala Selangor (Ust Shafie, Ustazah Aniza, Ust Rosdi dll), SAM Bestari (JAIS) (Ustazah Siti Suriyati Bt Ahmad, Teacher Rohaizad, Cikgu Ahmad Rizal B Yahya, Cikgu Buang Sarpon, Pn Mariana Bt Omar dll), dan di SBPI Jempol (Teacher Zanariah, Teacher Wahidah, Pn Manja Lindawati, Pn Norazlilah, Pn Noraini dll). Terima kasih semua!

Berburu ke padang datar,
dapat rusa berbelang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Tuhan mendengar rintihan kita,
Yang dahagakan ilmu,
Yang berhajat kepada pemimpin.

Lalu Dia datangkan,
Seorang insan yang berbudi,
Sedia menabur bakti.

Hatinya penuh dengan belas kasihan,
Dorongan, dan kesabaran.

Seorang yang yakin,
menempuh cabaran,
tanpa mengenal rintangan.

Seorang yang nampak,
potensi lebih dari kelemahan,
peluang lebih dari kekalahan,
Dan seorang dia, itulah Cikgu!

Hamadahamdi,
Sayyeda Zeinab, Kaherah.
19:56, 15 Mei 2011.

Friday, 13 May 2011

Interpersonal Relationship

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Entah mengapa dua tiga minggu ini, hanya pada hari Jumaat saja saya berkekuatan untuk menghadap komputer riba ini menulis apa yang berpinar di dalam kotak fikiran.

Mungkin berkat hari Jumaat. Mungkin juga sebab cuti Jumaat. Mungkin.

Apapun, segala puji saya rafakkan keatas Ilahi atas kurniaan nikmat dan kesempatan yang diberikan. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga baginda.

Minggu ini saya telah memilih tema pembacaan ‘Interpersonal Relationship’ untuk bacaan saya selama sebulan ke hadapan atau juga sampai tamat musim exam. Tema ini merupakan tema yang sangat saya minati kerana ia membantu saya dalam pengamatan yang sedang dan sering saya jalankan. Ia membantu saya untuk lebih memahami apa yang sedang saya amati, mengetahui apa yang perlu saya cari dan bagaimana saya akan aplikasikan ia dalam rutin hidup seharian.

Ia adalah tema utama kenapa ruang bicara ini wujud. Lihat di atas kepala muka ini, “KNOWING YOU, KNOWING ME : Peribadi insan dari pelbagai latar belakang berinteraksi dengan pengaruh alam sekitar untuk membentuk budaya dan kehidupan”.

Interpersonal Relationship

Interpersonal relationship atau hubungan interpersonal ini merujuk kepada interaksi timbal balik antara faktor sosial dan emosi sesama diri sendiri dan orang lain dalam persekitaran. Ia telah dibuktikan sebagai memainkan peranan yang major dalam pembangunan personaliti seseorang. Hubungan dengan ibubapa terutamanya telah dikenal pasti sebagai sangat penting dalam pembentukan sikap dasar seseorang.


Menulis mengenai hubungan interpersonal ini yang merupakan subjek multidisiplin, kita akan nampak kolobrasi antara disiplin-disiplin ini telah membawa kepada kemunculan banyak teori dan teknik yang saling bercanggah antara satu dengan yang lain.

Multidisiplin

Berjalan seiring dengan ilmu Psychology, disiplin Sociology berkaitan perkahwinan & terapi keluarga dan Sosiologi Komunikasi masih menjadi penyumbang kepada ilmu perhubungan ini. Di dalam ilmu Psikologi pula, Psikologi Perkembangan, Psikologi Sosial dan Psikologi Klinikal menjadi tiga cabang utama yang menyumbang dalam perkembangan teori dan kajian ilmu ini.

Setiap daripada enam cabang yang tersebut di atas cenderung untuk mengatasi beberapa jenis perhubungan. Para Sociologist mengkaji kaitan antara tolakan makro-sosial dengan kestabilan sesuatu hubungan kekeluargaan sebagai kepuasan dalam perkahwinan.

Para Clinical Psychologist pula memberi perhatian terhadap mengenalpasti punca kesulitan dalam hubungan perkahwinan. Communication Researcher mencipta terapi untuk dysfunctional communication pattern. Developmental Psychologist banyak menangani masalah berkaitan hubungan Ibubapa-Anak dan Anak-Rakan Sebaya dan beranjak sedikit kepada hubungan orang dewasa yang lebih tua. Social Psychologist biasanya memeriksa hubungan pada peringkat awal dewasa, hubungan pacaran pranikah dan medan pernikahan itu sendiri.

Saya tidak dapat berkongsi banyak ketika ini kerana pembacaan saya pada sumber primer masih belum sempurna. Banyak lagi istilah-istilah saintifik yang perlu diteliti. Mungkin lepas-lepas ini saya akan kongsikan pula tentang Types of Interpersonal Relationship.

Dengan memahami dan mempelajari ilmu ini secara sampingan, saya berdoa sangat agar saya dikenalkan dengan diri sendiri seterusnya mengenal Sang Pencipta diri.

Mengakhiri pembacaan kali ini yang entah bila lagi akan bersambung, saya petik kata-kata seorang pengamal Psychiatry Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom;
Psychology, the Self and God

The almost immediate experience of one who embarks on the path of psychological knowledge is one is able to fathom one’s own mind and feelings. Nurtured with religious knowledge, this knowledge of the self will develop into the knowledge of God, with His Leave.

Psikologi, Diri dan Tuhan

Kesan yang hampir serta merta ke atas seorang indidividu yang memulakan perjalanan di atas jalan ilmu psikologi ialah ia dapat menyelami minda dan perasaannya. Dengan pemupukan ilmu agama, ilmu tentang diri ini akan berkembang menjadi ilmu tentang Tuhan, dengan Izin-Nya.

Mohamed Hatta Shaharom
Mishkatun Nur, Gombak
28 April 2011 / 25 Jumadil Awal 1432



Friday, 15 April 2011

Pejamkan Matamu

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pengampun

Alhamdulillah, setelah sekian lama laman blog ini menyepi, ditinggal keseorangan tidak dijengah, dibiar bersawang, akhirnya petang Jumaat yang nyaman ini aku diberi kesempatan untuk mencoret; berkongsi input yang aku perolehi sepanjang tempoh pasca revolusi Mesir ini.

Satu keajaiban berlaku beberapa hari lepas, bila mana aku berjaya membaca sebuah buku, Tuesdays with Morrie, mengkhatamkan pembacaan bermula dari kulit depan sampai ke kulit belakang.

Tidak pernah walau sekali aku berjaya menghabiskan pembacaan sebuah buku; tidak kira apa genrenya, dalam masa tidak lebih daripada 24 jam. Ia adalah rekod peribadi yang baru aku cipta.



Bukunya buku biasa. Tuesdays with Morrie oleh Mitch Albom dalam terjemahan Bahasa Melayu, dipinjam daripada seorang sahabat, Nasrullah.

Tatkala membaca, mataku berkaca. Ada beberapa perenggan dalam buku tersebut mengesan di dalam hati. Dan perenggan-perenggan yang ini, yang akan aku kongsikan menggamit sebuah ingatan sewaktu pulang bercuti sepanjang Operasi Piramid. Aku selitkan perenggan-perenggan ini untuk tatapan bersama.


"Tahun awal pengajianku di universiti pada 1978, disko dan filem Rocky menjadi kegilaan budaya pada masa itu. Kami di dalam kelas Sosiology yang lain daripada kebiasaan di Universiti Brandies yang Morrie namakan 'Proses Berkumpulan'. Setiap minggu kami mengkaji bagaimana pelajar-pelajar dalam kumpulan masing-masing berinteraksi antara satu sama lain, bagaimana tindak balas mereka kepada kemarahan, cemburu, penumpuan perhatian. Kami umpama bahan ujian. Kesan daripada latihan kerja berkumpulan ini, ada di antara pelajar yang menangis di akhir latihan. Aku menggelar latihan ini sebagai 'sangat menyentuh hati'. Mengetahuinya, Morrie berkata aku sepatutnya lebih berfikiran terbuka.

Pada suatu hari, Morrie berkata kami ada satu lagi latihan untuk dicuba. Kami dikehendaki berdiri membelakangkan rakan-rakan sekuliah, dan menjatuhkan tubuh kami ke belakang, bergantung kepada rakan-rakan menahan tubuh kami agar tidak jatuh. Ramai di antara kami tidak selesa dengan latihan ini, kami tidak boleh menjatuhkan diri lebih daripada beberapa inci sebelum kami berhenti dan tegak semula. Kami ketawa malu.

Kesudahannya, seorang pelajar, kurus, pendiam, gadis berambut hitam, yang selalu aku nampak dia memakai baju sejuk tebal dan longgar, berpeluk tubuh, memejamkan matanya, mencondongkan tubuhnya ke belakang, dan terus merebahkannya seperti iklan teh Lipton di mana pelakon yang berkenaan jatuh terlentang ke atas permukaan air kolam.

Buat seketika, aku yakin dia akan jatuh terlentang ke atas lantai. Tetapi secepat kilat pasangannya menahan kepala dan bahunya dan menolak dia ke atas supaya tegak semula.


"Whoa!" jerit beberapa orang pelajar. Ada yang bertepuk tangan.

Akhirnya Morrie tersenyum.


"Lihat," katanya kepada pelajar kurus itu, "kamu memejamkan mata. Itu satu kelainan. Kadang-kadang kamu tidak percaya dengan apa yang kamu lihat, kamu perlu percaya dengan apa yang kamu rasa. Dan kamu mahu orang lain mempercayai kamu, kamu mesti merasa yang kamu juga mempercayai mereka - walau kamu dalam kegelapan. Walau ketika kamu sedang jatuh."


Pengajaran yang sangat berguna terkandung dalam perenggan-perenggan di atas ini. Ceritanya berkisar tentang 'Trust'. Kadang-kadang kita perlu mengabaikan satu pancaindera kita baru kita dapat rasa kepercayaan kita.

Entri ini didedikasikan kepada seluruh peserta dan para fasilitator Program S.P.I.E.S anjuran Pejabat EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan pada akhir Februari lalu di Kem Bina Insan, Ampang Pecah, KKB.